I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, February 14, 2013

Jadikan 2013 Sebagai Tahun Senyum : CUEPACS



KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan penjawat awam menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang penuh dengan senyuman. 


Presidennya, Datuk Omar Osman membuat saranan itu kerana mendapati budaya senyum masih kurang diamalkan dalam kalangan penjawat awam terutama semasa melayani pelanggan. 


"Sudah banyak kempen senyum ini diadakan di mana-mana tempat namun kesedaran menerapkan budaya senyum ini masih rendah terutamanya semasa dalam situasi melayan pelanggan.



"Kalau boleh pagi-pagi datang kerja jangan bawa masalah peribadi datang ke pejabat. Sebagai pekerja berkaliber kita mesti tunjukkan semangat dengan penuh keceriaan. Kita kena fikir semua orang ada masalah dan kalau kita bawa 'mood' ceria ke tempat kerja, produktiviti kerja pun meningkat," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan harus memberikan penekanan kepada isu berkenaan dalam setiap mesyuarat supaya budaya itu dirasakan menjadi satu tanggungjawab kepada setiap kakitangan. 

"Memang kita akui setiap jabatan mempunyai piagamnya tersendiri dan kandungan piagamnya ada yang menyatakan budaya ini namun pelaksanaannya tidak begitu rancak di kalangan kakitangan. 

"Malah ada sesetengah kakitangan diwajibkan memakai tag lambang senyum di uniform mereka tetapi apabila lambang senyum itu sekadar dijadikan hiasan ia dilihat sebagai simbol semata-mata," katanya. 

Omar berkata, beliau pernah menerima beberapa aduan berkenaan sikap atau layanan sesetengah kakitangan kerajaan yang tidak memuaskan semasa mendapatkan perkhidmatan. 

"Apabila mendapat aduan seperti itu saya rasa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan dan pada pendapat saya kalau pekerjaan yang memerlukan kakitangan untuk berada di kaunter perlu diberikan kepada orang muda atau yang belum berkahwin kerana mereka mungkin tidak banyak masalah kekeluargaan lagi," katanya. 


Beliau berkata, ketua-ketua jabatan juga boleh mengundang CUEPACS untuk memberi taklimat berkenaan budaya berkenaan kepada kakitangan masing-masing. 

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai mempunyai pendapat tersendiri berhubung budaya senyum. 

Seorang pelajar, Razlina Ahmat, 24, berkata beliau amat kecewa kerana masih ramai memandang remeh budaya senyum. 

"Banyak saya lihat iklan mengamalkan budaya senyum di merata-rata tempat tetapi kebanyakan iklan hanya menjadi bahan bacaan semata-mata. Tidak salah jika kita senyum pada orang lain kerana bukan sahaja nampak manis malah akan mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain," katanya. 

Pekerja swasta, Ismadi Adnan, 26, berpendapat seseorang profesional seharusnya tidak membawa masalah di rumah ke tempat kerja. 

"Saya akui semua orang mempunyai masalah tersendiri namun sebagai seorang yang profesional mereka mestilah pandai membezakan antara masalah peribadi dan tempat kerja," katanya. - BERNAMA 


sumber : 

Pengurusan Masa


"Masa itu emas!". Ayat tersebut sudah selalu kedengaran di mana-mana sahaja seakan-akan manusia sudah lali dengannya. Apa tidaknya, di media sosial (Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya) telah dikongsikan atau didedahkan bukan sahaja dengan ayat itu, namun ayat-ayat hikmah yang lain juga. Walau bagaimanapun, di sini penulis ingin tekankan berkenaan dengan masa kerana masa yang berlalu takkan berulang (macam lirik lagu pula).

Penggunaan masa yang bijak dalam kehidupan seharian mampu memberikan satu impak yang cukup besar. Sebagai contoh, seorang anak perantauan yang tidak mahu mengangkat telefon ibunya walaupun hanya sekejap telah menyebabkan satu penyesalan seumur hidupnya kerana panggilan tersebut merupakan panggilan terakhir ibunya yang ingin memberitahu bahawa dirinya sedang menanti malaikat maut untk dicabut nyawanya. Adakah perkara ini perlu dibiarkan? Kisah lain yang ingin saya bawakan adalah tentang seseorang yang hanya sesaat sahaja melanggar lampu merah (tandanya berhenti). Namun kecelakaan telah menimpa dan akhirnya maut bertemu.

Benar, masa sangat penting dan ia takkan kembali berulang. Di dalam dunia perfileman yang kadang-kala tidak masuk akal juga telah cuba menonjolkan idea untuk membina mesin masa. Ingat! Kita hanya hamba Allah dan keupayaan kita terhad! Jangan sesekali mengubah ciptaan Allah Taala kerana ia akan mendatangkan kerosakan yang nyata.


Bagi pelajar yang sedang menuntut di mana-mana institusi pendidikan, mereka sebenarnya mempunyai pembahagian waktu yang cukup kompleks. Mereka perlu membahagikan masa antara pelajaran yang pelbagai subjeknya, latihan demi latihan, persediaan peperiksaan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya. Belum cukup dengan itu, ditambahnya pula dengan aktiviti luar bilik darjah (ko-kurikulum). Begitulah kompleksnya pembahagian masa mereka.

Bagaimanapun golongan pekerja juga tidak kurang hebatnya. Pembahagian masa yang mereka miliki bukan hanya pada pekerjaan, namun juga kepada diri, ibu dan bapanya, keluarganya dan juga keluarga mertua (sekiranya sudah berkahwin). Kita sendiri dapat lihat apabila awal bulan di mana begitu ramai yang beratur di kaunter-kaunter pembayaran dan tidak lupa juga kaunter kemasukan dan pengeluaran terutamanya di bank. Itu sememangnya kita tidak dapat sangkal lagi.

Justeru, dengan kata yang mudah, pengurusan masa itu amat penting kerana ia sangat bernilai harganya. Bukan wang ringgit menjadi taruhannya. Namun taruhannya adalah sejauhmana anda semua dapat menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Susun setiap aktiviti terutamanya pada setiap awal bulan. Langkah tersebut dijangka mampu memberi gambaran kepada anda akan segala aktiviti yang akan berlangsung pada bulan tersebut. Kepada pengguna telefon pintar dan telefon yang ada aplikasi kalender, boleh terus atur jadual anda kerana ia dapat memberikan peringatan kepada anda setiap kali sampai pada waktunya.

Sekian, sedikit perkongsian dari penulis khas untuk anda.



Ikhlas daripada :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
SM. Sn. Sos.,  Master student
Sains Pengurusan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Wednesday, February 13, 2013

Parlimen Belia Malaysia



Parlimen Belia Malaysia merupakan salah satu platform untuk para belia menunjukkan kredibiliti dan kualiti belia Malaysia. Ia diwujudkan bagi memberi latihan kepada golongan belia dalam kepimpinan negara kerana merekalah yang akan pewaris yang akan memacu negara suatu hari nanti.

Difahamkan model Parlimen yang digunakan adalah berdasarkan model Parlimen Belia Australia yang dilihat lebih lama bertapak di negara tersebut berbanding Parlimen Belia di negara-negara yang lain.

Langkah permulaan, pendaftaran pemilihan Parlimen Belia Malaysia boleh dilakukan di laman web www.parlimenbelia.gov.my. Mereka yang layak adalah belia berwarganegara Malaysia yang berumur 15 tahun hingga 40 tahun  pada tahun semasa.

Bagi pemohon yang ingin bertanding, pengundi, pencalon dan pencadang perlu berdaftar sebagai pemilih bagi Parlimen Belia Malaysia.

Justeru, ayuh golongan belia untuk sama-sama memberi sokongan atas pengwujudan Parlimen Belia Malaysia ini!



Daripada :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
SM. Sn. Sos.,  Master student
Sains Pengurusan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)