I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label MAKANAN. Show all posts
Showing posts with label MAKANAN. Show all posts

Wednesday, February 20, 2013

Leka Hembusan Asap Shisha



MENIKMATI segelas teh tarik sambil bersembang berjam-jam lamanya bersama rakan-rakan pada malam minggu di restoran mamak merupakan senario yang biasa kita lihat di mana-mana jua bandar besar.

Hari ini walaupun senario tersebut masih lagi 'diamalkan' warga kota pada malam-malam minggu tetapi kini mereka tidak lagi hanya memesan segelas teh tarik untuk merancakkan lagi perbualan malah kehadiran shisha memeriahkan lagi suasana.

Kegilaan shisha di kalangan warga kota hari ini nampaknya semakin menjadi-jadi malah boleh dikatakan setiap restoran turut menjadikan shisha satu 'menu' wajib yang disajikan kepada para pengunjung.

Shisha bukanlah satu amalan baru di negara ini kerana kewujudannya adalah seiring dengan kemasukan para pelancong dari negara-negara di Asia Barat. Sudah pasti kewujudan awalnya hanyalah untuk memenuhi permintaan pelancong-pelancong dari sana yang sememangnya gemar menghisap shisha.


Begitupun hari ini shisha semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat setempat termasuk remaja di bawah umur. Ternyata 'kehadiran' shisha di mana-mana juga sudut restoran menjadikan amalan tersebut semakin 'rancak' dalam kalangan remaja dan tidak keterlaluan sekiranya mengkategorikan mereka ini pelajar sekolah.

Tinjauan yang dilakukan pada malam minggu di beberapa buah restoran mamak terutamanya di sekitar ibu kota mendapati shisha kini dipelopori golongan ini (remaja serta pelajar sekolah).

Apa yang menjengkelkan ialah remaja-remaja tersebut seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatan mereka malah menghisap shisha dengan penuh 'khusyuk' bersama rakan-rakan. Malah amalan (hisap shisha) tersebut bukan sahaja ketara dalam kalangan remaja lelaki tetapi ia turut menjadi pilihan remaja-remaja perempuan.

Mereka (remaja perempuan) ini juga dilihat tanpa segan silu menghisap dan menghembus asap shisha dengan penuh bangga tanpa memikirkan orang sekeliling. Daripada pemerhatian, nampak gayanya amalan (menghisap shisha) tersebut kepada mereka adalah perkara biasa dan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Apa yang dikesalkan para remaja ini beranggapan perbuatan mereka tidak salah di sisi undang-undang dan mereka juga tidak mengganggu sesiapa. Seorang remaja yang ditemui dan tidak mahu dikenali menyifatkan kunjungannya ke restoran mamak pada malam minggu sambil melepak bersama rakan-rakan adalah rutin harian mereka.

Malah menghisap shisha bersama rakan-rakan juga adalah aktiviti biasa yang sering mereka lakukan apabila berkumpul bersama.

"Saya hanya hisap shisha dan tidak mengganggu sesiapa pun.

"Lagipun bukannya tiap-tiap hari saya hisap shisha, hanya malam minggu itupun kongsi ramai-ramai," kata seorang remaja yang enggan dikenali.

Daripada perbualan seterusnya juga mendapati dengan harga RM10 dan mampu bertahan berjam-jam lamanya turut menjadi faktor utama kenapa remaja-remaja ini gemar menghisap shisha. Tambahan pula ia boleh didapati dalam pelbagai perasa, menjadikan shisha kini satu 'barangan' yang dicari-cari.


Melalui perbualan itu juga, ternyata golongan ini tidak mengetahui shisha turut mengandungi nikotin sama seperti rokok walaupun jumlahnya sedikit. Mereka juga tidak mengetahui arang yang membakar tembakau shisha juga memberi kesan kepada penghisap.

"Ada nikotin ke? Tak tahu pula saya sebab (shisha) ada pelbagai rasa.

"Arang ni pun terlibat sama ke? Habis tu kalau tak guna arang nak guna apa?

"Lagipun kami hisap shisha guna paip dan tidak secara terus macam hisap rokok," ujar remaja tersebut secara jujur.

Ternyata penjualan secara berleluasa ketika ini dan ditambah pula kurangnya pengetahuan mengenai bahaya shisha menjadikan remaja-remaja hari ini menjadikan tabiat tersebut pilihan utama untuk berseronok. Tinjauan tersebut turut mendapati remaja-remaja tersebut menafikan sekeras-kerasnya shisha menjadikan mereka ketagih seperti menghisap rokok.

Malah mereka turut memberitahu sekurang-kurangnya aktiviti (menghisap shisha) mereka tidaklah seteruk orang yang menghisap rokok. Dalam tinjauan yang dilakukan juga mendapati masyarakat hari ini tidak peka dengan keadaan sekeliling apabila menghisap shisha sambil ditemani kaum keluarga.

Apa yang menyedihkan ada ibu bapa yang menghisap shisha berdekatan dengan anak-anak yang masih kecil tanpa menghiraukan asap tersebut turut disedut anak masing-masing. Jadi tidak mustahil anak-anak kecil ini mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka dengan menghisap shisha apabila dewasa kelak.

Paling menyedihkan ada juga dalam kalangan wanita yang bertudung turut menghisap shisha tanpa memikirkan pandangan orang sekeliling.  Tidak dinafikan itu adalah hak masing-masing tetapi sedarkah mereka kelakuan tersebut menarik perhatian ramai.

Lagi satu senario yang amat mendukacita ialah rata-rata penghisap shisha adalah orang Melayu. Sampai bilakah senario ini akan berterusan dan sehingga bilakah orang Melayu akan dilihat dan 'dicop' sebagai golongan yang mudah dipengaruhi oleh budaya luar?

Jika isu ini isu lapuk yang cuba dibangkitkan semula, cubalah berfikir sekiranya ia tidak dibendung, perlahan-lahan ia menular dalam kehidupan hari ini dan tidak mustahil menjadi satu budaya perosak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130214/kn_01/Leka-hembusan-asap-shisha#ixzz2LV16hs00 


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, May 26, 2012

ANEROXIA NERVOSA

ANEROXIA NERVOSA

Perkataan aneroxia nervosa sebenarnya berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu anerektos dan perkataan Latin iaitu nervosa yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk (Luvhanie, 2011). Ia bukan hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah ia juga berlaku kepada golongan lelaki. Nisbah antara perempuan dengan lelaki yang mengalami masalah aneroxia nervosa ini adalah 20:1 (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail, 2007). Walaupun tiada statistik khusus berkenaannya, namun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan wanita.

Sumber : Google.com
Merujuk kepada pendefinisian, masalah aneroxia nervosa tersebut merupakan masalah yang dihadapi seseorang individu yang mengalami fobia terhadap kegemukan dan keinginan untuk memiliki tubuh yang kurus yang melampau. Ia juga boleh dikatakan sebagai suatu keadaan seseorang yang sangat kurang mengambil makanan, tiada selera makan dan mengalami penurunan berat badan yang mendadak disebabkan keinginan kuat untuk menjadi kurus (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Ia juga sebenarnya merujuk kepada kecelaruan pola pemakanan seseorang individu itu sendiri di mana mereka lebih mengetatkan lagi jadual pemakanan mereka dengan alasan untuk kurus dengan lebih cepat.

Sumber : Google.com
Mereka yang menghidap masalah seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan mempunyai status ekonomi keluarga yang tinggi. Usia remaja merupakan suatu jangka masa yang kompleks terutamanya dari segi sosialisasinya kerana pada masa tersebut, mereka mempunyai semangat inkuiri yang kuat demi kepuasan peribadi terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Hal ini ditambah pula dengan kedudukan dan status keluarga yang tinggi di mana remaja perempuan akan cuba sedaya upaya memperlihatkan dirinya supaya menarik pada pandangan mata masyarakat. Jika mereka miliki tubuh yang gemuk dan gempal, pasti mereka akan beranggapan bahawa salah satu kesempurnaannya terjejas. Hal ini sekaligus akan menjatuhkan martabat mereka sekiranya sukar untuk mencari pasangan hidup sekiranya berkeadaan sedemikian. Demi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka akan cuba sedaya upaya untuk kurus termasuklah dengan menahan rasa lapar dan seterusnya melakukan pelbagai jenis senaman dengan lebih kerap.


FAKTOR ANEROXIA NERVOSA

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah aneroxia nervosa ini berlaku. Antaranya ialah berlakunya tekanan yang teruk seperti kematian, penceraian ibu bapa ataupun kelahiran adik dan bukan kerana takut gemuk (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. 2007). Dalam konteks faktor ini, mereka sebenarnya bukan menganggap kegemukan sebagai sesuatu yang menakutkan, namun mereka menganggap menahan lapar itu adalah merupakan satu kepuasan kepada dirinya supaya mudah untuk melupakan tekanan yang berlaku ke atas dirinya.

Sumber : Google.com
.           Faktor lain yang menyebabkan masalah kecelaruan pemakanan ini adalah persepsi dan tekanan sosial. Di Malaysia kini dilihat persepsi masyarakat terhadap kecantikan itu adalah individu yang memilik tubuh yang kurus, bersih dan ramping. Hal ini sebenarnya bukan hanya berlaku pada masa kini. Namun ianya telah berlaku sejak zaman dahulu lagi di mana masyarakat Malaysia telah ditanamkan dengan persepsi tersebut secara turun-temurun. Dengan hal demikian, ia telah ditambah dan diperkuatkan lagi dengan perkembangan media yang seringkali memaparkan wanita seksi yang bertubuh kurus dan ramping sebagai model iklan demi menarik minat pembeli untuk membeli. Dengan ini secara tak langsung, persepsi tersebut telah menyebabkan individu terutamanya golongan wanita berusaha sedaya-upaya untuk kelihatan kurus supaya oaring disekelilingnya tidak memandang serong kepadanya.

Malah ianya bertambah kritikal lagi apabila wujud pula persepsi negatif terhadap mereka yang memiliki badan yang gempal atau gemuk. Persepsi tersebut sebenarnya telah menakut-nakutkan mereka terutamanya dalam soal perkahwinan di mana mereka yang memilik badan yang gemuk dan gempal akan sukar mendapat pasangan hidup kerana mempunyai tubuh luaran yang tidak menarik.

Selain faktor persepsi dan tekanan sosial, aneroxia nervosa juga berlaku disebabkan oleh masalah psikologi iaitu perasaan ketakutan untuk melihat diri menjadi dewasa (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Umum mengetahui bahawa menjadi dewasa bukan sahaja berlaku peningkatan umur, malah juga perkembangan fizikal juga turut berubah. Perubahan ini seterusnya diikuti oleh pertambahan berat badan. Remaja yang menghidapi masalah aneroxia nervosa ini sebenarnya terdorong untuk menguruskan badan secara agresif apabila melihat kepada pertambahan berat badan mereka sedangkan ia adalah sifat normal manusia apabila berlakunya pertambahan tersebut dari semasa ke semasa apabila meniti usia dewasa. Keadaan inilah yang mengganggu psikologi mereka dan terdorong untuk merasa takut untuk memasuki alam dewasa.

Faktor pengabaian keluarga juga boleh menyebabkan masalah aneroxia nervosa. Kebanyakan keluarga yang terlibat dengan masalah ini adalah keluarga yang berstatus sosioekonominya yang tinggi. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tersebut terutamanya ibu dan bapa kurang mengawasi tingkahlaku anak-anak mereka. Malah ada antara mereka yang tidak mengambil berat terhadap perkembangan anak mereka kerana lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga. Akhirnya, anak-anak yang mengalami kemurungan dan kurang kasih sayang keluarga ini akan bertindak secara kurang bijak termasuklah dengan mengetatkan jadual makanan demi mencapai kepuasan peribadi sehingga menyebabkan mereka menghidapi masalah aneroxia nervosa.

Rujukan

Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar. 2008. Kaunseling Remaja : Tip Dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor          Sdn. Bhd.

Atmie Aisty. 2009. Aneroxia Nervosa. (atas talian) http://aizholic.blogspot.com/     2009/11/anorexia-nervosa.html [20 Mei 2012]

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. t. th. Punca dan    Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Luvhanie. 2011. Penyakit Wanita Yang Sering Dihadapi. (atas talian) http://intim.wordpress.        com/2011/12/ [22 Mei 2012]

Siti Norshafinaz Sheikh Maznan. 2008. Kebuluran Diri Penyakit Wanita Kini. (atas talian)             http://anizyn.blogspot.com/2008/01/kebuluran-diri-penyakit-wanita-kini.html#ixzz1vrkEBoyI [20 Mei 2012]


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, March 25, 2012

Ketakselamatan Makanan

Sumber : Google.com
Ketakselamatan makanan merujuk kepada suatu yang terhad atau ketidakpastian tentang kewujudan makanan yang cukup dan selamat atau kemampuan untuk mendapatkan makanan dalam cara yang dibenarkan oleh sosial. Hal ini bermakna, ianya boleh dijelaskan lagi dengan beberapa aspek iaitu makanan tidak cukup, kekurangan zat makanan, kuantiti pengambilan makanan dan juga keracunan makanan. Keempat-empat aspek ini memperihalkan tentang bagaimana seseorang manusia itu boleh dikategorikan sebagai sipemakan makanan yang tidak selamat. 

Dari aspek makanan yang tidak cukup, ianya dapat digambarkan dengan melihat contoh di mana terdapat sesebuah masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, kemunduran, dan sebagainya mudah dijangkiti penyakit. Punca utama berlakunya hal seperti ini adalah menerusi makanannya. Adakah makanan mereka mencukupi untuk menampung semua orang? Dan apabila makanan tidak mencukupi, adakah ianya selamat untuk dimakan kerana mungkin makanan tersebut dicatu dan disimpan terlalu lama. Keadaan seperti ini jelas boleh menyebabkan ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com

Selain itu, ketakselamatan makanan juga melibatkan aspek kekurangan zat makanan. Makanan yang sihat merupakan makanan yang cukup zat dan berkhasiat. Seeorang itu boleh terkena penyakit sekiranya pengamalan makanan yang sihat dan berzat tidak diamalkan. Hal ini kerana, sistem badan manusia memerlukan zat dan protein di samping vitamin sebagai penguat dan pelengkap kepada badan. Zat, protein dan juga vitamin akan hanya diperolehi dengan pemakanan. Sistem amalan yang sihat boleh dilihat dari piramid makanan yang sedia menunjukkan bagaimana pengambilan makanan yang betul dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badan. Piramid makanan juga mampu mengelak daripada ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com
Hal ini berbeza dengan aspek kuantiti makanan. Kuantiti makanan merujuk kepada berapa banyak seseorang itu mengambil makanan. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana adalah boleh dikategorikan sebagai selamat. Jika kuantiti makanan yang diambil terlalu kurang, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kusta, kekurusan yang melampau dan sebagainya. Ia juga boleh dikategorikan sebagai ketakselamatan makanan. Hal ini juga berlaku apabila seseorang individu itu mengambil makanan secara berlebihan. Ia juga mampu menyebabkan masalah kesihatan seperti masalah obesiti, kegemukan, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini juga boleh dikatakan sebagai ketakselamatan makanan. 

Dari aspek keracunan makanan pula, ia dapat dilihat melalui pencemaran yang berlaku ke atas makanan tersebut. Makanan boleh tercemar apabila kandungan makanan tersebut mengandungi bakteria dan juga virus yang berbahaya akibat daripada makanan yang terdedah dengan serangga, pencampuran makanan dengan bahan2 kimia yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Makanan yang telah tercemar ini apabila dimakan akan menyebabkan sistem tubuh sipemakan akan terganggu dan juga boleh membunuh imunisasi badan yang tidak mampu mempertahankan tubuh daripada terkena penyakit. Seseorang itu akan dikesan mengalami keracunan makanan apabila muntah-muntah, cirit-birit, demam secara tiba-tiba, lemah sendi, kulit kemerah-merahan dan sebagainya. Dengan ini makanan yang tercemar atau keracunan makanan sememangnya tidak dapat disangkal lagi, tergolong dalam golongan ketakselamataan makanan.

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)