Perkataan aneroxia nervosa sebenarnya
berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu anerektos dan perkataan Latin
iaitu nervosa yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan
makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk (Luvhanie, 2011). Ia bukan
hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah ia juga berlaku kepada
golongan lelaki. Nisbah antara perempuan dengan lelaki yang mengalami masalah
aneroxia nervosa ini adalah 20:1 (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee
Ahmad & Sharifuddin Ismail, 2007). Walaupun tiada statistik khusus
berkenaannya, namun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan
wanita.
Sumber : Google.com |
Merujuk kepada pendefinisian,
masalah aneroxia nervosa tersebut merupakan masalah yang dihadapi seseorang
individu yang mengalami fobia terhadap kegemukan dan keinginan untuk memiliki
tubuh yang kurus yang melampau. Ia juga boleh dikatakan sebagai suatu keadaan
seseorang yang sangat kurang mengambil makanan, tiada selera makan dan
mengalami penurunan berat badan yang mendadak disebabkan keinginan kuat untuk
menjadi kurus (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Ia juga
sebenarnya merujuk kepada kecelaruan pola pemakanan seseorang individu itu
sendiri di mana mereka lebih mengetatkan lagi jadual pemakanan mereka dengan
alasan untuk kurus dengan lebih cepat.
Sumber : Google.com |
Mereka yang menghidap
masalah seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan mempunyai
status ekonomi keluarga yang tinggi. Usia remaja merupakan suatu jangka masa
yang kompleks terutamanya dari segi sosialisasinya kerana pada masa tersebut,
mereka mempunyai semangat inkuiri yang kuat demi kepuasan peribadi terutamanya
dalam kalangan remaja perempuan. Hal ini ditambah pula dengan kedudukan dan
status keluarga yang tinggi di mana remaja perempuan akan cuba sedaya upaya
memperlihatkan dirinya supaya menarik pada pandangan mata masyarakat. Jika
mereka miliki tubuh yang gemuk dan gempal, pasti mereka akan beranggapan bahawa
salah satu kesempurnaannya terjejas. Hal ini sekaligus akan menjatuhkan
martabat mereka sekiranya sukar untuk mencari pasangan hidup sekiranya
berkeadaan sedemikian. Demi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka akan
cuba sedaya upaya untuk kurus termasuklah dengan menahan rasa lapar dan
seterusnya melakukan pelbagai jenis senaman dengan lebih kerap.
FAKTOR
ANEROXIA NERVOSA
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan
masalah aneroxia nervosa ini berlaku. Antaranya ialah berlakunya tekanan yang
teruk seperti kematian, penceraian ibu bapa ataupun kelahiran adik dan bukan
kerana takut gemuk (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad &
Sharifuddin Ismail. 2007). Dalam konteks faktor ini, mereka sebenarnya bukan
menganggap kegemukan sebagai sesuatu yang menakutkan, namun mereka menganggap
menahan lapar itu adalah merupakan satu kepuasan kepada dirinya supaya mudah
untuk melupakan tekanan yang berlaku ke atas dirinya.
Sumber : Google.com |
. Faktor
lain yang menyebabkan masalah kecelaruan pemakanan ini adalah persepsi dan
tekanan sosial. Di Malaysia kini dilihat persepsi masyarakat terhadap
kecantikan itu adalah individu yang memilik tubuh yang kurus, bersih dan
ramping. Hal ini sebenarnya bukan hanya berlaku pada masa kini. Namun ianya telah
berlaku sejak zaman dahulu lagi di mana masyarakat Malaysia telah ditanamkan
dengan persepsi tersebut secara turun-temurun. Dengan hal demikian, ia telah
ditambah dan diperkuatkan lagi dengan perkembangan media yang seringkali
memaparkan wanita seksi yang bertubuh kurus dan ramping sebagai model iklan
demi menarik minat pembeli untuk membeli. Dengan ini secara tak langsung,
persepsi tersebut telah menyebabkan individu terutamanya golongan wanita
berusaha sedaya-upaya untuk kelihatan kurus supaya oaring disekelilingnya tidak
memandang serong kepadanya.
Malah ianya bertambah
kritikal lagi apabila wujud pula persepsi negatif terhadap mereka yang memiliki
badan yang gempal atau gemuk. Persepsi tersebut sebenarnya telah
menakut-nakutkan mereka terutamanya dalam soal perkahwinan di mana mereka yang
memilik badan yang gemuk dan gempal akan sukar mendapat pasangan hidup kerana
mempunyai tubuh luaran yang tidak menarik.
Selain faktor persepsi
dan tekanan sosial, aneroxia nervosa juga berlaku disebabkan oleh masalah
psikologi iaitu perasaan ketakutan untuk melihat diri menjadi dewasa (Amaludin
Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Umum mengetahui bahawa menjadi dewasa
bukan sahaja berlaku peningkatan umur, malah juga perkembangan fizikal juga
turut berubah. Perubahan ini seterusnya diikuti oleh pertambahan berat badan.
Remaja yang menghidapi masalah aneroxia nervosa ini sebenarnya terdorong untuk
menguruskan badan secara agresif apabila melihat kepada pertambahan berat badan
mereka sedangkan ia adalah sifat normal manusia apabila berlakunya pertambahan
tersebut dari semasa ke semasa apabila meniti usia dewasa. Keadaan inilah yang
mengganggu psikologi mereka dan terdorong untuk merasa takut untuk memasuki
alam dewasa.
Faktor pengabaian
keluarga juga boleh menyebabkan masalah aneroxia nervosa. Kebanyakan keluarga
yang terlibat dengan masalah ini adalah keluarga yang berstatus sosioekonominya
yang tinggi. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tersebut terutamanya ibu dan
bapa kurang mengawasi tingkahlaku anak-anak mereka. Malah ada antara mereka
yang tidak mengambil berat terhadap perkembangan anak mereka kerana lebih
mementingkan kerjaya daripada keluarga. Akhirnya, anak-anak yang mengalami
kemurungan dan kurang kasih sayang keluarga ini akan bertindak secara kurang
bijak termasuklah dengan mengetatkan jadual makanan demi mencapai kepuasan
peribadi sehingga menyebabkan mereka menghidapi masalah aneroxia nervosa.
Rujukan
Amaludin Abdul Rahman & Noralina
Omar. 2008. Kaunseling Remaja : Tip Dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur : Utusan
Publication & Distributor Sdn.
Bhd.
Atmie Aisty. 2009. Aneroxia Nervosa.
(atas talian) http://aizholic.blogspot.com/ 2009/11/anorexia-nervosa.html
[20 Mei 2012]
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah,
Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. t. th. Punca dan Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor
: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Luvhanie. 2011. Penyakit Wanita Yang
Sering Dihadapi. (atas talian) http://intim.wordpress. com/2011/12/ [22 Mei 2012]
Siti Norshafinaz Sheikh Maznan. 2008.
Kebuluran Diri Penyakit Wanita Kini. (atas talian) http://anizyn.blogspot.com/2008/01/kebuluran-diri-penyakit-wanita-kini.html#ixzz1vrkEBoyI [20 Mei 2012]
Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment