I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, August 8, 2012

Gelaran Emak dan Ibu

Sumber : google.com
Seseorang individu yang bergelar manusia keseluruhannya berasal dari perut seorang wanita yang bergelar ibu. Asal kita sebenarnya hanyalah segumpal darah yang diadun bersama tulang-tulang kecil, ditiupkan roh (nyawa) kedalam gumpalan darah tersebut sehinggalah ianya betul-betul bernyawa dan mulai bergerak. Pada tempoh yang matang dan sudah mencukupi, maka terkeluarlah seorang bayi yang telah berada dalam kandungan ibunya selama lebih lapan bulan lamanya. Dan di saat itulah bayi tersebut akan dibentuk dan diisi jiwanya dengan pelbagai ilmu kehidupan bagi memberi perlindungan dirinya di masa akan datang.
Sumber : google.com
Pada waktu anak itu sudah mulai matang dan boleh bertutur dengan baik, maka akan terpacullah suara yang memanggil-manggil 'mama' dan 'papa', 'emak' dan 'abah', 'ibu' dan 'ayah' serta lain-lain panggilan untuk diberikan kepada kedua orang yang telah menyebabkan mereka lahir. Sehingga dewasa, mereka akan menjaga anak-anak mereka dengan sepenuh kasih-sayang sehinggakan kalau boleh tidak langsung dibenarkan nyamuk menggigit kulit mulus anak-anak mereka. Begitulah besarnya pengorbanan mereka yang bergelar emak, ibu, mama dan tidak lupa juga mereka yang bergelar bapa, abah dan papa.

Seorang wanita yang bergelar emak ataupun ibu normalnya merupakan seorang isteri kepada seorang suami. Normal di sini bermaksud wanita tersebut semestinya sudah melepasi gelaran Raja Sehari atau lebih dikenali sebagai pengantin. Pengantin yang sudah siap diijabkabulkan  oleh imam serta telah disahkan oleh dua orang wali ini sememangnya wajar bergelar emak dan abah atau ibu dan bapa. Sekiranya kita lihat pada hari ini, ramai 'pengantin' tidak diijabkabulkan dan sememangnya tidak sesuailah mereka dipanggil dengan panggilan berharga tersebut.

Lain pula mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai emak atau ibu sedangkan mereka bukanlah ibu atau emak kandung kepada si anak. Mereka ini sebenarnya adalah ibu atau emak angkat yang sudi memelihara anak orang lain untuk dijadikan anak sendiri. Ibu atau emak angkat ini sememangnya mempunyai hati yang luhur, ikhlas dan tidak ada rasa timbal balik (inginkan seseuatu) daripada pengorbanan yang telah mereka lakukan ini. Masakan tidak, mungkin sejumlah pelaburan yang mereka telah lakukan untuk membesarkan, melindungi dan memelihara si anak angkat itu dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Semua ini dilakukan atas dasar untuk melampiaskan rasa keibuan yang terpendam di dalam hati seorang wanita kepada si anak yang tidak kesampaian.


Sumber : google.com
Setelah saya renung kembali ke zaman lampau mengenai pengalaman yang telah saya lalui, ianya cukup dengan warna-warni, suka-duka, pahit manis dan sebagainya. Pada satu-satu masa itu, saya pernah memiliki seorang yang bergelar 'emak' yang sememangnya emak kandung yang telah melahir dan membesarkan saya dengan kasih sayang dan seorang lagi bergelar 'ibu' yang merupakan ibu angkat. sewaktu saya sekolah dahulu Kedua-duanya amat dan teramat saya sayangi sehingga hari ini. Dan kedua-duanya tidak akan saya lupa hingga akhir nafasku terhenti. Seribu kemaafan kumohon kepada 'emak' andai terlaku perbuatan yang mengecik hati sepanjang 'emak' membesarkan ku. Ribuan kemaafan juga ku mohon buat 'ibu' kerana mungkin telah melukakan hatimu suatu ketika dahulu. Semoga mereka sentiasa dipermudahkan urusannya dan sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat dari Allah S.W.T. Amiiin ya Rabb.


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Ramadhan, Muhasabah Dan Matlamat

Sumber : google.com
 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah, kini umat Islam sudah berada di pertengahan bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan limpahan rahmat dari Allah S.W.T.

Dalam hidup kita di dunia ini sememangnya banyak cabaran dan dugaan. Menjadi insan yang 'terbaik' itu adalah matlamat wajib bagi kita. Namun perspektifnya berbeza antara satu sama lain. Untuk itu, muhasabah diri adalah perkara yang penting untuk kita sama-sama nilai 'siapa diri kita untuk diri sendiri' dan 'siapa diri kita untuk orang lain'. Ini ada adalah bagi melahirkan rasa insaf dan rendah diri serta sentiasa mensyukuri segala nikmat tidak terhingga yang dikurniakan dari-Nya.

Sesungguhnya, dalam bulan Ramadhan inilah platform terbaik untuk setiap umat Islam bermuhasabah diri di samping menjalani ibadah puasa dan beramal dengan sepenuh hati bagi memperoleh keredhaan-Nya. Jika dinilai balik apakah matlamat utama kita di dunia dan diakhirat sebenarnya adalah untuk mendapat 'pelukan' rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah yang sudah tentu dijanjikan syurga Firdaus.

Justeru, marilah kita bersama bermunajat memohon kemaafan dan sentiasa membasahi bibir dengan puji-pujian kepada Allah S.A.W. Salam Ramadhan al-Mubarak dan tak lupa juga Salam Lebaran Aidilfitri untuk semua.

Sumber : google.com
Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Saturday, May 26, 2012

ANEROXIA NERVOSA

ANEROXIA NERVOSA

Perkataan aneroxia nervosa sebenarnya berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu anerektos dan perkataan Latin iaitu nervosa yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk (Luvhanie, 2011). Ia bukan hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah ia juga berlaku kepada golongan lelaki. Nisbah antara perempuan dengan lelaki yang mengalami masalah aneroxia nervosa ini adalah 20:1 (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail, 2007). Walaupun tiada statistik khusus berkenaannya, namun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan wanita.

Sumber : Google.com
Merujuk kepada pendefinisian, masalah aneroxia nervosa tersebut merupakan masalah yang dihadapi seseorang individu yang mengalami fobia terhadap kegemukan dan keinginan untuk memiliki tubuh yang kurus yang melampau. Ia juga boleh dikatakan sebagai suatu keadaan seseorang yang sangat kurang mengambil makanan, tiada selera makan dan mengalami penurunan berat badan yang mendadak disebabkan keinginan kuat untuk menjadi kurus (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Ia juga sebenarnya merujuk kepada kecelaruan pola pemakanan seseorang individu itu sendiri di mana mereka lebih mengetatkan lagi jadual pemakanan mereka dengan alasan untuk kurus dengan lebih cepat.

Sumber : Google.com
Mereka yang menghidap masalah seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan mempunyai status ekonomi keluarga yang tinggi. Usia remaja merupakan suatu jangka masa yang kompleks terutamanya dari segi sosialisasinya kerana pada masa tersebut, mereka mempunyai semangat inkuiri yang kuat demi kepuasan peribadi terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Hal ini ditambah pula dengan kedudukan dan status keluarga yang tinggi di mana remaja perempuan akan cuba sedaya upaya memperlihatkan dirinya supaya menarik pada pandangan mata masyarakat. Jika mereka miliki tubuh yang gemuk dan gempal, pasti mereka akan beranggapan bahawa salah satu kesempurnaannya terjejas. Hal ini sekaligus akan menjatuhkan martabat mereka sekiranya sukar untuk mencari pasangan hidup sekiranya berkeadaan sedemikian. Demi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka akan cuba sedaya upaya untuk kurus termasuklah dengan menahan rasa lapar dan seterusnya melakukan pelbagai jenis senaman dengan lebih kerap.


FAKTOR ANEROXIA NERVOSA

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah aneroxia nervosa ini berlaku. Antaranya ialah berlakunya tekanan yang teruk seperti kematian, penceraian ibu bapa ataupun kelahiran adik dan bukan kerana takut gemuk (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. 2007). Dalam konteks faktor ini, mereka sebenarnya bukan menganggap kegemukan sebagai sesuatu yang menakutkan, namun mereka menganggap menahan lapar itu adalah merupakan satu kepuasan kepada dirinya supaya mudah untuk melupakan tekanan yang berlaku ke atas dirinya.

Sumber : Google.com
.           Faktor lain yang menyebabkan masalah kecelaruan pemakanan ini adalah persepsi dan tekanan sosial. Di Malaysia kini dilihat persepsi masyarakat terhadap kecantikan itu adalah individu yang memilik tubuh yang kurus, bersih dan ramping. Hal ini sebenarnya bukan hanya berlaku pada masa kini. Namun ianya telah berlaku sejak zaman dahulu lagi di mana masyarakat Malaysia telah ditanamkan dengan persepsi tersebut secara turun-temurun. Dengan hal demikian, ia telah ditambah dan diperkuatkan lagi dengan perkembangan media yang seringkali memaparkan wanita seksi yang bertubuh kurus dan ramping sebagai model iklan demi menarik minat pembeli untuk membeli. Dengan ini secara tak langsung, persepsi tersebut telah menyebabkan individu terutamanya golongan wanita berusaha sedaya-upaya untuk kelihatan kurus supaya oaring disekelilingnya tidak memandang serong kepadanya.

Malah ianya bertambah kritikal lagi apabila wujud pula persepsi negatif terhadap mereka yang memiliki badan yang gempal atau gemuk. Persepsi tersebut sebenarnya telah menakut-nakutkan mereka terutamanya dalam soal perkahwinan di mana mereka yang memilik badan yang gemuk dan gempal akan sukar mendapat pasangan hidup kerana mempunyai tubuh luaran yang tidak menarik.

Selain faktor persepsi dan tekanan sosial, aneroxia nervosa juga berlaku disebabkan oleh masalah psikologi iaitu perasaan ketakutan untuk melihat diri menjadi dewasa (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Umum mengetahui bahawa menjadi dewasa bukan sahaja berlaku peningkatan umur, malah juga perkembangan fizikal juga turut berubah. Perubahan ini seterusnya diikuti oleh pertambahan berat badan. Remaja yang menghidapi masalah aneroxia nervosa ini sebenarnya terdorong untuk menguruskan badan secara agresif apabila melihat kepada pertambahan berat badan mereka sedangkan ia adalah sifat normal manusia apabila berlakunya pertambahan tersebut dari semasa ke semasa apabila meniti usia dewasa. Keadaan inilah yang mengganggu psikologi mereka dan terdorong untuk merasa takut untuk memasuki alam dewasa.

Faktor pengabaian keluarga juga boleh menyebabkan masalah aneroxia nervosa. Kebanyakan keluarga yang terlibat dengan masalah ini adalah keluarga yang berstatus sosioekonominya yang tinggi. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tersebut terutamanya ibu dan bapa kurang mengawasi tingkahlaku anak-anak mereka. Malah ada antara mereka yang tidak mengambil berat terhadap perkembangan anak mereka kerana lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga. Akhirnya, anak-anak yang mengalami kemurungan dan kurang kasih sayang keluarga ini akan bertindak secara kurang bijak termasuklah dengan mengetatkan jadual makanan demi mencapai kepuasan peribadi sehingga menyebabkan mereka menghidapi masalah aneroxia nervosa.

Rujukan

Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar. 2008. Kaunseling Remaja : Tip Dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor          Sdn. Bhd.

Atmie Aisty. 2009. Aneroxia Nervosa. (atas talian) http://aizholic.blogspot.com/     2009/11/anorexia-nervosa.html [20 Mei 2012]

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. t. th. Punca dan    Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Luvhanie. 2011. Penyakit Wanita Yang Sering Dihadapi. (atas talian) http://intim.wordpress.        com/2011/12/ [22 Mei 2012]

Siti Norshafinaz Sheikh Maznan. 2008. Kebuluran Diri Penyakit Wanita Kini. (atas talian)             http://anizyn.blogspot.com/2008/01/kebuluran-diri-penyakit-wanita-kini.html#ixzz1vrkEBoyI [20 Mei 2012]


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)