Wanita merupakan makhluk yang sangat istimewa. Dikurniakan kecantikan serta keindahan yang tersendiri dan ianya berbeza sama sekali antara satu sama lain. Keanggunan wanita juga boleh terserlah dari pelbagai aspek termasuklah dari aspek pakaian, pandangan mata, gaya dan lenggang-lenggok serta keayuan wajah. Walau bagaimanapun, dalam agama Islam khususnya, keanggunan atau keseksian tersebut sebenarnya merupakan persoalan peribadi yang tidak boleh dikongsi kepada orang lain.
Persoalan peribadi ini menyentuh soal sensitiviti yang melibatkan maruah seseorang individu. Di sini kita dapat lihat dalam masyarakat Melayu itu sendiri, sekiranya seseorang itu mempertonton keanggunan atau keseksiannya walaupun sedikit, sudah pasti individu yang melakukannya itu akan dicemuh dan dipandang serong oleh masyarakat. Hal ini kerana dalam masyarakat Melayu itu juga terkenal dengan adat dan tatasusila yang sememangnya dititikberatkan termasuklah dalam soal pemakaian.
Dalam dunia hiburan pada masa kini sudah tidak asing lagi dengan pemakaian artis yang semakin seksi dan semakin berani menayangkan alur-alur tubuh mereka seolah-olah perasaan malu mereka 'terpaksa' dibuang jauh-jauh untuk mendapatkan publisiti popular dunia hiburan. Wal hal mereka sebenarnya sedar bahawa kesan dan tindakan mereka dalam pemakaian mereka itu akan mengundang kesan buruk kepada diri sendiri.
Dalam perkara ini, bukan cemuhan yang ingin difokuskan, tetapi pandangan masyarakat yang melihat dan menilai budaya barat tersebut. Negara Malaysia diakui merupakan salah sebuah negara yang membangun dan semakin kearah kemajuan dari segala aspek termasuklah aspek kehidupan sosial. Namun, jika kita lihat hari ini, sebagai salah sebuah negara Islam, adakah ianya dibenarkan berpakaian seksi dan menjolok mata? Adakah artis di Malaysia yang gemar berpakaian seksi ini tidak menjadi tontonan masyarakat lebih-lebih lagi golongan bawah umur? Di sinilah kita sukar untuk mentafsirkannya.
Jika hendak menyelesaikan sesuatu masalah, kita perlu menyelesaikan masalah tersebut bermula dari akar umbinya terlebih dahulu kerana setiap masalah pasti ada puncanya dan ianya pasti dapat diselesaikan dengan satu jalan.
Sebenarnya, bukanlah golongan artis yang ingin dipersalahkan, tetapi jika ianya perlu dibendung bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti jenayah rogol, cabul dan sebagainya, ianya memerlukan kersama yang erat oleh semua pihak masyarakat tidak kira usia dan golongan, badan kerajaan mahupun bukan, institusi pendidikan serta pihak yang berwajib dan ianya perlukan kerjasama yang mantap dan bukanlah sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja. Insya-ALLAH, perkara buruk yang kita tidak ingini dapat dibendung dan masyarakat pula akan dapat hidup dengan aman dan tenteram.
Disediakan oleh
Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment