Secara lumrahnya, manusia diciptakan saling berbeza antara satu sama lain. Perbezaan yng ketara dapat dilihat dari aspek jantinanya, perlakuannya, perangainya, umurnya dan sebagainya yang telah menjadikan dunia sebagai satu alam yang cukup indah dengan warna-warni kehidupan. Perbezaan ini juga meliputi aspek matlamat seseorang individu di dalam kehidupannya.
Matlamat merupakan satu aspek yang cukup sinonim dengan angan-angan. Hal ini bermaksud, matlamat bermula daripada bayangan yang cuba ditonjolkan oleh seseorang individu bagi menggambarkan keinginannya dalam melengkapkan kehidupan sehariannya sebagai seorang manusia.
Sesungguhnya di dalam Surah al-Asr ayat 1 dan 2 yang menyebut, 'Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian'. Dalam ayat tersebut, Allah menyatakan bahawa, manusia sentiasa berada dalam kerugian iaitu berada dalam kekurangan dan sentiasa berkeinginan dan berkehendak. Dalam hal ini, manusia digambarkan sebagai makhluk yang sentiasa berangan bagi membayangkan kehendak dan keinginannya. Dan pembayangan tersebut akhirnya telah melahirkan matlamat dan disertakan dengan langkah atau strategi yang terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.
Seringkali kita dengar pakar motivasi ada menyatakan bahawa, untuk menjadi insan yang cemerlang, manusia perlu menggunakan akal dan sentiasa berfikiran positif dalam setiap langkahnya menuju matlamat hidup. Kita perlu bersikap positif kerana setiap yang berlaku itu sebenarnya ada hikmah yang tersebunyi walaupun ianya kadangkala menyakitkan, menyedihkan dan menggeramkan hati individu lain dalam sesebuah masyarakat. Seseorang yang sentiasa berburuk sangka selalunya akan dijauhi, dipinggirkan oleh masyarakat dan juga idea yang berada di dalam kotak fikirannya juga tidak mampu untuk dikeluarkan menjadi satu idea yang bernas.
Matlamat sebenarnya boleh diubah mengikut perkembangan semasa dunia masa kini yang semakin pesat membangun. Jika 10 tahun dahulu seseorang itu teringin membeli sebuah kereta proton wira, tetapi kini mungkin keinginanannya untuk memiliki sebuah kereta wira tidak terlaksana kerana telah banyak keluaran kereta yang pelbagai jenis dan sudah pasti kereta yang dikeluarkan terkini itu lebih baik dari yang sebelumnya.
Jadi, dapatlah diterangkan di sini bahawa keinginan manusia itu seringkali berubah-ubah setiap hari. Walaupun kadangkala manusia merasakan itu sahajalah keinginan yang ingin dicapai, satu hari nanti pasti akan berubah jua. Kadangkala perubahan itu tidak mengambil masa yang lama. Mungkin hari esok, atau mungkin setiap jam yang seterusnya.
Justeru, seseorang manusia yang hebat dan mantap adalah seseorang yang menghalakan matlamat dan keinginannya pada satu jalan yang lurus. dalam erti kata lain, individu tersebut memfokuskan terhadap matlamat yang ingin dicapainya pada masa hadapan. Kita sebagai manusia tidak perlu menjadi sebagai salah seorang manusia yang gelojoh dan tidak terurus. Keadaan seperti itulah yang akan memusnahkan hidup diri sendiri kelak. Ingatlah, hari esok pasti akan hadir dan mungkin disaat itulah, keinginan dan matlamat hidup kita akan berubah.
Sekian.
Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat
Antropologi & Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment