Pada abad ini semakin banyak isu-isu sensitif yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyaknnya bertujuan untuk kepentingan peribadi mahupun golongan-golongan tertentu. Adapun isu-isu tersebut, antaranya mempersoalkan tentang isu warga emas di mana persoalan yang timbul adalah berkaitan dengan penjagaan yang sempurna oleh pihak tertentu. Di sini kita dapat lihat bahawa, terdapat dua pihak yang terlibat dalam isu ini iaitu pihak kerajaan di bawah kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) mahupun pihak keluarga kepada warga emas itu sendiri.
Bagi pihak KPWKM, penjagaan warga emas sememangnya merupakan salah satu tanggungjawab sosial selain daripada wanita, keluarga, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak, orang papa, dan juga mangsa bencana alam. Ianya jelas diperlihatkan melalui laman web rasminya iaitu www.kpwkm.gov.my . Menerusi elemen warga emas di dalam web rasmi tersebut, ianya sudah cukup untuk menonjolkan bahawa tangunggajawab sosial yang dimainkan oleh pihak kementerian kepada golongan emas ini adalah yang terbaik. Sebagai contoh, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak kementerian telah menyediakan Institusi Warga Emas seperti Pusat Jagaan Harian Warga Emas, Desa Bina Diri, Rumah Ehsan, dan juga Rumah Seri Kenangan yang dilengkapi dengan pelbagai fasilitis dan kepelbagaian kemudahan.
Selain itu juga, pihak kementerian juga mewujudkan Unit Penyayang Warga Emas di mana ianya merupakan kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga Pertubuhan Sukarela Kebajikan iaitu Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (MPKSM). Bukan itu sahaja, bagi memudah dan meringankan beban warga emas, pihak kementerian turut menyediakan bantuan kewangan yang disebut sebagai Bantuan Orang Tua (BOT) yang dianggarkan sebanyak RM 300 sebulan akan diberikan kepada warga emas yang berkelayakan. Terdapat juga disediakan Bantuan Alat Tiruan atau Alat Sokongan (BAT/AS) oleh pihak JKM di bawah KPWKM. Bantuan tersebut adalah untuk membantu dalam membeli peralatan seperti kaki palsu, tangan palsu, callipers, tongkat tangan, kerusi roda, alat pendengaran dan sebagainya. Ianya adalah untuk memudahkan pergerakan mereka selain daripada meningkatkan keupayaan mereka untuk bergerak.
Walau bagaimanapun, segala perkhidmatan terbaik ini telah disalah ertikan oleh mereka yang hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri semata-mata. Mereka ini adalah terdiri daripada ahli keluarga warga emas itu sendiri terutamanya anak-anak. Kebanyakan dari mereka adalah tergolong dalam golongan kelas pertengahan dan atasan di mana mereka kerap memberikan alasan masa sebagai faktor penghalang untuk mereka memberi sepenuh perhatian terhadap penjagaan ibu atau ayah yang sudah berada pada tahap warga emas.
Jika kita lihat pada masa kini, masyarakat di Malaysia terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar dan juga pinggir bandar lebih memilih untuk menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat jagaan warga emas. Lebih mendukacitakan lagi, terdapat segelintir daripada mereka turut menghantar warga emas ke pusat-pusat kebajikan masyarakat di mana mereka hanya akan hanya melawat ibu bapa mereka bla tiba hujung minggu dan lebih teruk lagi ada yang jarang sekali untuk melawat orang tua mereka itu. Ianya cukup memberikan gambaran bahawa, masyarakat kini hanya lebih berfikir tentang kepentingan diri sendiri semata-mata. Sedangkan jika kita fikirkan sejenak, manusia semakin lama semakin tua dan tidakkah mereka berfikir bahawa mereka juga akan tua suatu masa nanti? Bagaimana pula perasaan mereka yang dihantar ke pusat-pusat kebajikan tersebut? Adakah mereka gembira ataupun sebaliknya?
Walaupun begitu, bukan semua masyarakat yang tidak mengambil endah tentang penjagaan warga emas ini. Pada hakikatnya, manusia tetap manusia yang mempunyai perasaan belas terhadap orang tua mereka yang berkemungkinan telah uzur. Bagi golongan seperti ini, mereka tidak meletakkan sepenuhnya terhadap bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Ianya lebih kepada memikirkan tentang tanggungjawab sosial diri sendiri di mana berkemungkinan besar mereka yang terdiri dari anak-anak ini ingin membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa ketika membesarkan mereka sehingga ke hari ini.
Secara keseluruhannya, tidak kira siapa, pihak kerajaan mahupun pihak keluarga sebenarnya perlu memainkan peranan masing-masing tanpa melibatkan perasaan pilih kasih mahupun hanya memikirkan tentang kepentingan masing-masing. Masalah ini semakin lama semakin mendapat perhatian umum kerana ianya juga melibatkan kuatili pekerjaan dan hasil produk yang semakin lama semakin meningkat. Jika kita kaji semula tentang isu ini sedalam-dalamnya, satu mekanisme yang terbaik pasti akan dapat dicapai untuk mengatasi masalah ini secara produktif dan berkesan.
Bagi umat Islam pula, ia sememangnya diwajibkan untuk menjaga kedua ibu bapa yang telah memasuki golongan warga emas ini kerana Syurga adalah berada di bawah telapak kaki ibu dan cukup besar pahalanya sekiranya kita sebagai anak berbakti kepada ibu dan bapa. Ingatlah wahai manusia, ibu bapa itu adalah permulaan kita dan kita sememangnya perlu menghormati dan mentaati perintah mereka untuk mendapat keberkatan hidup untuk dibawa ke akhirat kelak.
Disediakan oleh:
Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment