Teknologi merupakan suatu kaedah yang memudahkan manusia untuk mencapai kehendak dan keperluan. Dalam konteks masyarakat hari ini, teknologi dilihat lebih cenderung kepada penciptaan peralatan canggih yang sifatnya lebih memudahkan manusia untuk hidup. Sebagai contoh penciptaan teknologi maklumat atau internet yang semakin berkembang pesat dan telah menjadikan zaman kini sebagai zaman dunia tanpa batasan dan sempadan. Walau bagaimanapun teknologi dan inovasi yang tercipta ini bukan sahaja mendatangkan banyak kebaikan, tetapi juga boleh menjejaskan akhlak dan sahsiah pelajar-pelajar khususnya dan pada pengguna amnya. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan teknologi dan inovasi tidak menjejaskan disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar khasnya dan para pengguna amnya
Bermula dari rumah, pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah perlu dititikberatkan. Dalam menggunakan sebarang teknologi termasuklah telefon bimbit, televisyen, internet, gadjet, permainan video, mp3, mp4 dan sebagainya oleh kanak-kanak atau remaja sememangnya memerlukan pengawasan yang konsisten oleh ibu bapa. Hal ini disebabkan oleh minda kanak-kanak atau remaja lebih cenderung untuk dipengaruhi dan mudah dikuasai oleh sesuatu yang mereka minati. Sebagai contoh, kanak-kanak yang obses dengan permainan video akan lebih cenderung untuk meniru watak yang terdapat di dalam permainan tersebut yang kadangkala memakai pakaian tidak senonoh.
Ibu bapa juga merupakan individu-individu pertama yang mencorakkan anak-anak. Anak-anak pada kebiasaannya akan menjadikan ibu bapa mereka sebagai rol model mereka. Apa yang dilihat, sudah pasti sedikit sebanyak perbuatan ibu dan bapa mereka itu akan cuba ditiru oleh anak-anak. Hal ini juga berlaku dalam penggunaan teknologi dan inovasi masa kini. Oleh itu, ibu bapa perlu menjaga tingkah laku selain memainkan peranan yang sepatutnya tidak kira apa jua kaedah dan caranya bagi memastikan penggunaan teknologi maklumat atau internet sentiasa dalam landasan yang betul dan terpelihara serta tidak menjejaskan akhlak dan sahsiah anak-anak.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga bertanggungjawab dalam menerapkan didikan agama dan moral dalam kalangan anak-anak bagi memastikan kerohanian mereka kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang aktiviti negatif dan tidak sihat menerusi penggunaan teknologi dan inovasi masa kini yang semakin berkembang. Didikan agama dan moral sebenarnya mampu memberikan peringatan dan kesedaran di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri dan sanubari bukan sahaja anak-anak, tetapi juga ibu bapa. Jika rohani mereka kuat, maka daya tahan mereka akan turut kukuh dan tidak mudah runtuh dengan mudah.
Selain itu, sebagai ibu bapa kedua kepada anak-anak di sekolah, guru juga memainkan peranan penting bagi memastikan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar lebih berkesan. Sebagai contoh, selain daripada memantau dan mengawasi pelajar semasa menggunakan teknologi komputer contohnya, guru juga perlu sentiasa memberikan nasihat dan peringatan berkenaan teknik atau kaedah yang betul semasa menggunakannya. Hal ini bukan sahaja mampu memastikan para pelajar mendapat didikan secara formal dengan lebih berkesan, malah mereka juga mendapat didikan tidak formal terutamanya mengenai tatatertib dan nilai-nilai murni yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks masyarakat pula, organisasi kepimpinan komuniti setempat yang sentiasa menjadi tunjang kestabilan sosial perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk memastikan teknologi dan inovasi ini tidak disalahgunakan yang mengakibatkan disiplin, akhlak serta sahsiah para pelajar dan pengguna aan terjejas. Pelancaran kempen dan program-program yang berbentuk ilmiah dan pembinaan jatidiri seperti program kerohanian, motivasi, kursus kepimpinan, pameran kesedaran dan sebagainya perlu dilaksanakan. Hal ini sedikit sebanyak dapat mempertingkatkan jatidiri, kerohanian dan sahsiah di samping menerapkan kesedaran tentang bahaya salah guna teknologi masa kini. Pihak yang terlibat juga boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan serta media massa untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan program-program tersebut supaya penyampaiannya lebih berkesan.
Bagi pihak kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, pengawasan terhadap sebarang bentuk teknologi dan inovasi di negara ini perlu diperketat lagi. Dalam hal ini, keutamaan perlu diberikan kepada penggunaan internet. Penggunaan internet tanpa pengawalan oleh pihak kerajaan dibimbangi akan mengakibatkan minda dan perlakuan masyarakat akan diracuni dengan perkara negatif dan juga budaya hedonisme global yang boleh menjejaskan kestabilan sosial negara. Hal ini kerana, dengan kuasa teknologi internet yang ada masa kini, segala budaya global secara tidak langsung boleh disebarkan tanpa batasan ke serata dunia.
Disediakan oleh,
Mohd Nur Syufaat
Antropologi Dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sememangnya, teknologi mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam kehidupan manusia, pada masa kini. Teknologi seharusnya dimanfaatkan secara yang betul supaya fungsinya dapat digunakan kepada perkara yang berfaedah. Kanak-kanak merupakan antara golongan yang mudah terpengaruh dengan teknologi yang semakin canggih ini. Pada masa kini, kebanyakan rumah sudah memiliki komputer dan internet. Ibu bapa seharusnya memantau aktiviti anak-anak yang menggunakan internet agar anak-anak tidak melayari laman web yang boleh merosakkan mereka. Kita tidak boleh menolak pengaruh teknologi dalam kehidupan kita kerana pada masa kini, teknologi amat diperlukan. Perkara yang paling penting adalah, bagaimana kita memanfaatkan teknologi tersebut.
ReplyDeleteSITI NOR AINU BT LASI
A128529
ANSOS