I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, June 10, 2013

Promosi Pakej Business Card & Flyers!

Assalamualaikum w.b.t.

Promosi bulan Jun sehingga September 2013!!! Hubungi saya di talian yang tertera untuk tempahan. Terima kasih!



Disediakan oleh :

MOHD NUR SYUFAAT BIN JAMIRAN (Sm. Sn. Sos.)
Sarjana Sains Pengurusan Teknologi
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
UTHM, Parit Raja, Batu Pahat
Johor Darul Ta'zim

Wednesday, May 15, 2013

Perutusan Hari Guru Dari Saya



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU buat seluruh insan yang bergelar guru tidak kira guru sekolah, pensyarah, guru bahasa, guru kemahiran, tenaga pengajar, guru tuisyen, guru masak, guru silat, guru mengaji, guru tadika dan ramai lagi. Yang penting mereka itu pernah mengajar terutamanya abah dan emak saya yang sememangnya seorang 'guru di rumah' dan 'guru di sekolah'. Tak lupa juga buat along, angah dan juga suaminya. Hebat sungguh mereka sebab mereka sebenarnya mampu mengetepikan kepentingan diri mereka untuk mendidik anak bangsa mereka supaya terus maju dan terus berilmu. Teringat kisah Rasulullah yang 'terpaksa' belajar 'membaca' demi menyebarkan agama Islam yang suci ini. Nah, lihatlah kini, agama Islam terus menerus tersebar ke seluruh dunia. Semuanya bermula dari membaca yang pastinya akan memperoleh ilmu. Tahniah buat semua guru di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Saya dengan ini menyusun sepuluh jari memohon ribuan ampun dan maaf kepada cikgu-cikgu yang pernah saya lukai hatinya walaupun secebis. Mungkin bagi yang dewasa merasakan seperti perkara biasa kerana 'budak-budak, macam tulah'. Tetapi bagi saya yang dah dewasa ini pastinya akan mengenangkan kisah-kisah silam yang bermain di benak pemikiran ini terutamanya di waktu persekolahan. Kena tarik telinga, bumping, dirotan di belakang dan di tangan, ketuk ketampi, jalan itik, berdiri atas kerusi dan banyak lagi denda yang dikenakan ke atas saya pada waktu itu. Bukan saja-saja mereka mendenda, tetapi untuk mendidik kita supaya jadi yang berguna. Saat saya menulis ucapan Hari Guru ini, terbayang-bayang wajah guru yang pernah mengajar dan mewarnai hidup saya. Terima kasih semua. Terima kasih cikgu!!!

Ucapan ini khas buat semua guru terutamanya :
- Sekolah Kebangsaan Setia Jaya
- Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Betak
- Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Mahmood Iskandar
- Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon
- Universiti Kebangsaan Malaysia
- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Ikhlas dari :

MOHD NUR SYUFAAT BIN JAMIRAN (Sm. Sn. Sos.)
Sarjana Sains Pengurusan Teknologi
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
UTHM, Parit Raja, Batu Pahat
Johor Darul Ta'zim

Wednesday, February 20, 2013

Leka Hembusan Asap Shisha



MENIKMATI segelas teh tarik sambil bersembang berjam-jam lamanya bersama rakan-rakan pada malam minggu di restoran mamak merupakan senario yang biasa kita lihat di mana-mana jua bandar besar.

Hari ini walaupun senario tersebut masih lagi 'diamalkan' warga kota pada malam-malam minggu tetapi kini mereka tidak lagi hanya memesan segelas teh tarik untuk merancakkan lagi perbualan malah kehadiran shisha memeriahkan lagi suasana.

Kegilaan shisha di kalangan warga kota hari ini nampaknya semakin menjadi-jadi malah boleh dikatakan setiap restoran turut menjadikan shisha satu 'menu' wajib yang disajikan kepada para pengunjung.

Shisha bukanlah satu amalan baru di negara ini kerana kewujudannya adalah seiring dengan kemasukan para pelancong dari negara-negara di Asia Barat. Sudah pasti kewujudan awalnya hanyalah untuk memenuhi permintaan pelancong-pelancong dari sana yang sememangnya gemar menghisap shisha.


Begitupun hari ini shisha semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat setempat termasuk remaja di bawah umur. Ternyata 'kehadiran' shisha di mana-mana juga sudut restoran menjadikan amalan tersebut semakin 'rancak' dalam kalangan remaja dan tidak keterlaluan sekiranya mengkategorikan mereka ini pelajar sekolah.

Tinjauan yang dilakukan pada malam minggu di beberapa buah restoran mamak terutamanya di sekitar ibu kota mendapati shisha kini dipelopori golongan ini (remaja serta pelajar sekolah).

Apa yang menjengkelkan ialah remaja-remaja tersebut seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatan mereka malah menghisap shisha dengan penuh 'khusyuk' bersama rakan-rakan. Malah amalan (hisap shisha) tersebut bukan sahaja ketara dalam kalangan remaja lelaki tetapi ia turut menjadi pilihan remaja-remaja perempuan.

Mereka (remaja perempuan) ini juga dilihat tanpa segan silu menghisap dan menghembus asap shisha dengan penuh bangga tanpa memikirkan orang sekeliling. Daripada pemerhatian, nampak gayanya amalan (menghisap shisha) tersebut kepada mereka adalah perkara biasa dan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Apa yang dikesalkan para remaja ini beranggapan perbuatan mereka tidak salah di sisi undang-undang dan mereka juga tidak mengganggu sesiapa. Seorang remaja yang ditemui dan tidak mahu dikenali menyifatkan kunjungannya ke restoran mamak pada malam minggu sambil melepak bersama rakan-rakan adalah rutin harian mereka.

Malah menghisap shisha bersama rakan-rakan juga adalah aktiviti biasa yang sering mereka lakukan apabila berkumpul bersama.

"Saya hanya hisap shisha dan tidak mengganggu sesiapa pun.

"Lagipun bukannya tiap-tiap hari saya hisap shisha, hanya malam minggu itupun kongsi ramai-ramai," kata seorang remaja yang enggan dikenali.

Daripada perbualan seterusnya juga mendapati dengan harga RM10 dan mampu bertahan berjam-jam lamanya turut menjadi faktor utama kenapa remaja-remaja ini gemar menghisap shisha. Tambahan pula ia boleh didapati dalam pelbagai perasa, menjadikan shisha kini satu 'barangan' yang dicari-cari.


Melalui perbualan itu juga, ternyata golongan ini tidak mengetahui shisha turut mengandungi nikotin sama seperti rokok walaupun jumlahnya sedikit. Mereka juga tidak mengetahui arang yang membakar tembakau shisha juga memberi kesan kepada penghisap.

"Ada nikotin ke? Tak tahu pula saya sebab (shisha) ada pelbagai rasa.

"Arang ni pun terlibat sama ke? Habis tu kalau tak guna arang nak guna apa?

"Lagipun kami hisap shisha guna paip dan tidak secara terus macam hisap rokok," ujar remaja tersebut secara jujur.

Ternyata penjualan secara berleluasa ketika ini dan ditambah pula kurangnya pengetahuan mengenai bahaya shisha menjadikan remaja-remaja hari ini menjadikan tabiat tersebut pilihan utama untuk berseronok. Tinjauan tersebut turut mendapati remaja-remaja tersebut menafikan sekeras-kerasnya shisha menjadikan mereka ketagih seperti menghisap rokok.

Malah mereka turut memberitahu sekurang-kurangnya aktiviti (menghisap shisha) mereka tidaklah seteruk orang yang menghisap rokok. Dalam tinjauan yang dilakukan juga mendapati masyarakat hari ini tidak peka dengan keadaan sekeliling apabila menghisap shisha sambil ditemani kaum keluarga.

Apa yang menyedihkan ada ibu bapa yang menghisap shisha berdekatan dengan anak-anak yang masih kecil tanpa menghiraukan asap tersebut turut disedut anak masing-masing. Jadi tidak mustahil anak-anak kecil ini mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka dengan menghisap shisha apabila dewasa kelak.

Paling menyedihkan ada juga dalam kalangan wanita yang bertudung turut menghisap shisha tanpa memikirkan pandangan orang sekeliling.  Tidak dinafikan itu adalah hak masing-masing tetapi sedarkah mereka kelakuan tersebut menarik perhatian ramai.

Lagi satu senario yang amat mendukacita ialah rata-rata penghisap shisha adalah orang Melayu. Sampai bilakah senario ini akan berterusan dan sehingga bilakah orang Melayu akan dilihat dan 'dicop' sebagai golongan yang mudah dipengaruhi oleh budaya luar?

Jika isu ini isu lapuk yang cuba dibangkitkan semula, cubalah berfikir sekiranya ia tidak dibendung, perlahan-lahan ia menular dalam kehidupan hari ini dan tidak mustahil menjadi satu budaya perosak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130214/kn_01/Leka-hembusan-asap-shisha#ixzz2LV16hs00 


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, February 14, 2013

Jadikan 2013 Sebagai Tahun Senyum : CUEPACS



KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan penjawat awam menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang penuh dengan senyuman. 


Presidennya, Datuk Omar Osman membuat saranan itu kerana mendapati budaya senyum masih kurang diamalkan dalam kalangan penjawat awam terutama semasa melayani pelanggan. 


"Sudah banyak kempen senyum ini diadakan di mana-mana tempat namun kesedaran menerapkan budaya senyum ini masih rendah terutamanya semasa dalam situasi melayan pelanggan.



"Kalau boleh pagi-pagi datang kerja jangan bawa masalah peribadi datang ke pejabat. Sebagai pekerja berkaliber kita mesti tunjukkan semangat dengan penuh keceriaan. Kita kena fikir semua orang ada masalah dan kalau kita bawa 'mood' ceria ke tempat kerja, produktiviti kerja pun meningkat," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan harus memberikan penekanan kepada isu berkenaan dalam setiap mesyuarat supaya budaya itu dirasakan menjadi satu tanggungjawab kepada setiap kakitangan. 

"Memang kita akui setiap jabatan mempunyai piagamnya tersendiri dan kandungan piagamnya ada yang menyatakan budaya ini namun pelaksanaannya tidak begitu rancak di kalangan kakitangan. 

"Malah ada sesetengah kakitangan diwajibkan memakai tag lambang senyum di uniform mereka tetapi apabila lambang senyum itu sekadar dijadikan hiasan ia dilihat sebagai simbol semata-mata," katanya. 

Omar berkata, beliau pernah menerima beberapa aduan berkenaan sikap atau layanan sesetengah kakitangan kerajaan yang tidak memuaskan semasa mendapatkan perkhidmatan. 

"Apabila mendapat aduan seperti itu saya rasa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan dan pada pendapat saya kalau pekerjaan yang memerlukan kakitangan untuk berada di kaunter perlu diberikan kepada orang muda atau yang belum berkahwin kerana mereka mungkin tidak banyak masalah kekeluargaan lagi," katanya. 


Beliau berkata, ketua-ketua jabatan juga boleh mengundang CUEPACS untuk memberi taklimat berkenaan budaya berkenaan kepada kakitangan masing-masing. 

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai mempunyai pendapat tersendiri berhubung budaya senyum. 

Seorang pelajar, Razlina Ahmat, 24, berkata beliau amat kecewa kerana masih ramai memandang remeh budaya senyum. 

"Banyak saya lihat iklan mengamalkan budaya senyum di merata-rata tempat tetapi kebanyakan iklan hanya menjadi bahan bacaan semata-mata. Tidak salah jika kita senyum pada orang lain kerana bukan sahaja nampak manis malah akan mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain," katanya. 

Pekerja swasta, Ismadi Adnan, 26, berpendapat seseorang profesional seharusnya tidak membawa masalah di rumah ke tempat kerja. 

"Saya akui semua orang mempunyai masalah tersendiri namun sebagai seorang yang profesional mereka mestilah pandai membezakan antara masalah peribadi dan tempat kerja," katanya. - BERNAMA 


sumber : 

Pengurusan Masa


"Masa itu emas!". Ayat tersebut sudah selalu kedengaran di mana-mana sahaja seakan-akan manusia sudah lali dengannya. Apa tidaknya, di media sosial (Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya) telah dikongsikan atau didedahkan bukan sahaja dengan ayat itu, namun ayat-ayat hikmah yang lain juga. Walau bagaimanapun, di sini penulis ingin tekankan berkenaan dengan masa kerana masa yang berlalu takkan berulang (macam lirik lagu pula).

Penggunaan masa yang bijak dalam kehidupan seharian mampu memberikan satu impak yang cukup besar. Sebagai contoh, seorang anak perantauan yang tidak mahu mengangkat telefon ibunya walaupun hanya sekejap telah menyebabkan satu penyesalan seumur hidupnya kerana panggilan tersebut merupakan panggilan terakhir ibunya yang ingin memberitahu bahawa dirinya sedang menanti malaikat maut untk dicabut nyawanya. Adakah perkara ini perlu dibiarkan? Kisah lain yang ingin saya bawakan adalah tentang seseorang yang hanya sesaat sahaja melanggar lampu merah (tandanya berhenti). Namun kecelakaan telah menimpa dan akhirnya maut bertemu.

Benar, masa sangat penting dan ia takkan kembali berulang. Di dalam dunia perfileman yang kadang-kala tidak masuk akal juga telah cuba menonjolkan idea untuk membina mesin masa. Ingat! Kita hanya hamba Allah dan keupayaan kita terhad! Jangan sesekali mengubah ciptaan Allah Taala kerana ia akan mendatangkan kerosakan yang nyata.


Bagi pelajar yang sedang menuntut di mana-mana institusi pendidikan, mereka sebenarnya mempunyai pembahagian waktu yang cukup kompleks. Mereka perlu membahagikan masa antara pelajaran yang pelbagai subjeknya, latihan demi latihan, persediaan peperiksaan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya. Belum cukup dengan itu, ditambahnya pula dengan aktiviti luar bilik darjah (ko-kurikulum). Begitulah kompleksnya pembahagian masa mereka.

Bagaimanapun golongan pekerja juga tidak kurang hebatnya. Pembahagian masa yang mereka miliki bukan hanya pada pekerjaan, namun juga kepada diri, ibu dan bapanya, keluarganya dan juga keluarga mertua (sekiranya sudah berkahwin). Kita sendiri dapat lihat apabila awal bulan di mana begitu ramai yang beratur di kaunter-kaunter pembayaran dan tidak lupa juga kaunter kemasukan dan pengeluaran terutamanya di bank. Itu sememangnya kita tidak dapat sangkal lagi.

Justeru, dengan kata yang mudah, pengurusan masa itu amat penting kerana ia sangat bernilai harganya. Bukan wang ringgit menjadi taruhannya. Namun taruhannya adalah sejauhmana anda semua dapat menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Susun setiap aktiviti terutamanya pada setiap awal bulan. Langkah tersebut dijangka mampu memberi gambaran kepada anda akan segala aktiviti yang akan berlangsung pada bulan tersebut. Kepada pengguna telefon pintar dan telefon yang ada aplikasi kalender, boleh terus atur jadual anda kerana ia dapat memberikan peringatan kepada anda setiap kali sampai pada waktunya.

Sekian, sedikit perkongsian dari penulis khas untuk anda.



Ikhlas daripada :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
SM. Sn. Sos.,  Master student
Sains Pengurusan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Wednesday, February 13, 2013

Parlimen Belia Malaysia



Parlimen Belia Malaysia merupakan salah satu platform untuk para belia menunjukkan kredibiliti dan kualiti belia Malaysia. Ia diwujudkan bagi memberi latihan kepada golongan belia dalam kepimpinan negara kerana merekalah yang akan pewaris yang akan memacu negara suatu hari nanti.

Difahamkan model Parlimen yang digunakan adalah berdasarkan model Parlimen Belia Australia yang dilihat lebih lama bertapak di negara tersebut berbanding Parlimen Belia di negara-negara yang lain.

Langkah permulaan, pendaftaran pemilihan Parlimen Belia Malaysia boleh dilakukan di laman web www.parlimenbelia.gov.my. Mereka yang layak adalah belia berwarganegara Malaysia yang berumur 15 tahun hingga 40 tahun  pada tahun semasa.

Bagi pemohon yang ingin bertanding, pengundi, pencalon dan pencadang perlu berdaftar sebagai pemilih bagi Parlimen Belia Malaysia.

Justeru, ayuh golongan belia untuk sama-sama memberi sokongan atas pengwujudan Parlimen Belia Malaysia ini!



Daripada :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
SM. Sn. Sos.,  Master student
Sains Pengurusan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

PM lancar Skim Prihatin Pendidikan 1 Malaysia





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) untuk membantu pelajar-pelajar peringkat pengajian tinggi mendapat kemudahan pinjaman kewangan tambahan.



Perdana menteri berkata kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bentuk pinjaman mahupun biasisiwa, memandangkan kos pendidikan tinggi semakin meningkat sekaligus memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya yang membiayai pendidikan anak secara persendirian. 

"Menyedari keperluan itu kerajaan memperkenalkan SPP1M sebagai dana tambahan dengan jumlah pinjaman dihadkan RM150,000 untuk bidang kepakaran perubatan dan RM100,000 bagi bidang khusus kritikal dan terpilih," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran skim tersebut di Putrajaya hari ini.

SPP1M bertindak sebagai pinjaman tambahan kepada dana atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sedia ada untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang tertentu.

Pelaksanaan SPP1M akan diadakan dalam dua peringkat iaitu suku kedua tahun 2013 untuk kemasukan ke universiti tempatan dan Jun 2013 untuk program berkembar dan program luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) untuk membantu pelajar-pelajar peringkat pengajian tinggi mendapat kemudahan pinjaman kewangan tambahan.



Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bentuk pinjaman mahupun biasisiwa, memandangkan kos pendidikan tinggi semakin meningkat sekaligus memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya yang membiayai pendidikan anak secara persendirian.

"Menyedari keperluan itu kerajaan memperkenalkan SPP1M sebagai dana tambahan dengan jumlah pinjaman dihadkan RM150,000 untuk bidang kepakaran perubatan dan RM100,000 bagi bidang khusus kritikal dan terpilih," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran skim tersebut hari ini.

SPP1M bertindak sebagai pinjaman tambahan kepada dana atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sedia ada untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang tertentu.

Pelaksanaan SPP1M akan diadakan dalam dua peringkat iaitu suku kedua tahun 2013 untuk kemasukan ke universiti tempatan dan Jun 2013 untuk program berkembar dan program luar negara.

Bagi tujuan itu, jumlah jaminan kerajaan ialah RM500 juta merangkumi peratusan jaminan sebanyak sepuluh peratus daripada jumlah dana SPP1M yang berjumlah RM5 bilion. SPP1M ditawarkan kepada institusi pengajian tinggi tempatan seperti yang disenaraikan dalam sistem penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2011 (SETARA 2011) oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan berdaftar dengan YPPB.



Senarai pengajian pula adalah berdasarkan National Education Code yang akan disediakan di dalam laman sesawang www.penerajuedu.com. dalam masa terdekat. Pada 2011, terdapat 943,548 pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dan daripada jumlah itu 508,256 melanjutkan pengajian di IPT awam, 482,973 di IPT swasta dan 6,319 di kolej komuniti.

Pelajar yang menyambung pengajian ke institusi luar negara pula berjumlah 89,686 di mana 27,003 pelajar di bawah tajaan kerajaan, korporat, serta agensi lain sementara 62,683 atas tajaan sendiri.

- Bernama

sumber : http://www.malaysiakini.com/news/220856

Wednesday, August 8, 2012

Gelaran Emak dan Ibu

Sumber : google.com
Seseorang individu yang bergelar manusia keseluruhannya berasal dari perut seorang wanita yang bergelar ibu. Asal kita sebenarnya hanyalah segumpal darah yang diadun bersama tulang-tulang kecil, ditiupkan roh (nyawa) kedalam gumpalan darah tersebut sehinggalah ianya betul-betul bernyawa dan mulai bergerak. Pada tempoh yang matang dan sudah mencukupi, maka terkeluarlah seorang bayi yang telah berada dalam kandungan ibunya selama lebih lapan bulan lamanya. Dan di saat itulah bayi tersebut akan dibentuk dan diisi jiwanya dengan pelbagai ilmu kehidupan bagi memberi perlindungan dirinya di masa akan datang.
Sumber : google.com
Pada waktu anak itu sudah mulai matang dan boleh bertutur dengan baik, maka akan terpacullah suara yang memanggil-manggil 'mama' dan 'papa', 'emak' dan 'abah', 'ibu' dan 'ayah' serta lain-lain panggilan untuk diberikan kepada kedua orang yang telah menyebabkan mereka lahir. Sehingga dewasa, mereka akan menjaga anak-anak mereka dengan sepenuh kasih-sayang sehinggakan kalau boleh tidak langsung dibenarkan nyamuk menggigit kulit mulus anak-anak mereka. Begitulah besarnya pengorbanan mereka yang bergelar emak, ibu, mama dan tidak lupa juga mereka yang bergelar bapa, abah dan papa.

Seorang wanita yang bergelar emak ataupun ibu normalnya merupakan seorang isteri kepada seorang suami. Normal di sini bermaksud wanita tersebut semestinya sudah melepasi gelaran Raja Sehari atau lebih dikenali sebagai pengantin. Pengantin yang sudah siap diijabkabulkan  oleh imam serta telah disahkan oleh dua orang wali ini sememangnya wajar bergelar emak dan abah atau ibu dan bapa. Sekiranya kita lihat pada hari ini, ramai 'pengantin' tidak diijabkabulkan dan sememangnya tidak sesuailah mereka dipanggil dengan panggilan berharga tersebut.

Lain pula mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai emak atau ibu sedangkan mereka bukanlah ibu atau emak kandung kepada si anak. Mereka ini sebenarnya adalah ibu atau emak angkat yang sudi memelihara anak orang lain untuk dijadikan anak sendiri. Ibu atau emak angkat ini sememangnya mempunyai hati yang luhur, ikhlas dan tidak ada rasa timbal balik (inginkan seseuatu) daripada pengorbanan yang telah mereka lakukan ini. Masakan tidak, mungkin sejumlah pelaburan yang mereka telah lakukan untuk membesarkan, melindungi dan memelihara si anak angkat itu dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Semua ini dilakukan atas dasar untuk melampiaskan rasa keibuan yang terpendam di dalam hati seorang wanita kepada si anak yang tidak kesampaian.


Sumber : google.com
Setelah saya renung kembali ke zaman lampau mengenai pengalaman yang telah saya lalui, ianya cukup dengan warna-warni, suka-duka, pahit manis dan sebagainya. Pada satu-satu masa itu, saya pernah memiliki seorang yang bergelar 'emak' yang sememangnya emak kandung yang telah melahir dan membesarkan saya dengan kasih sayang dan seorang lagi bergelar 'ibu' yang merupakan ibu angkat. sewaktu saya sekolah dahulu Kedua-duanya amat dan teramat saya sayangi sehingga hari ini. Dan kedua-duanya tidak akan saya lupa hingga akhir nafasku terhenti. Seribu kemaafan kumohon kepada 'emak' andai terlaku perbuatan yang mengecik hati sepanjang 'emak' membesarkan ku. Ribuan kemaafan juga ku mohon buat 'ibu' kerana mungkin telah melukakan hatimu suatu ketika dahulu. Semoga mereka sentiasa dipermudahkan urusannya dan sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat dari Allah S.W.T. Amiiin ya Rabb.


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Ramadhan, Muhasabah Dan Matlamat

Sumber : google.com
 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah, kini umat Islam sudah berada di pertengahan bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan limpahan rahmat dari Allah S.W.T.

Dalam hidup kita di dunia ini sememangnya banyak cabaran dan dugaan. Menjadi insan yang 'terbaik' itu adalah matlamat wajib bagi kita. Namun perspektifnya berbeza antara satu sama lain. Untuk itu, muhasabah diri adalah perkara yang penting untuk kita sama-sama nilai 'siapa diri kita untuk diri sendiri' dan 'siapa diri kita untuk orang lain'. Ini ada adalah bagi melahirkan rasa insaf dan rendah diri serta sentiasa mensyukuri segala nikmat tidak terhingga yang dikurniakan dari-Nya.

Sesungguhnya, dalam bulan Ramadhan inilah platform terbaik untuk setiap umat Islam bermuhasabah diri di samping menjalani ibadah puasa dan beramal dengan sepenuh hati bagi memperoleh keredhaan-Nya. Jika dinilai balik apakah matlamat utama kita di dunia dan diakhirat sebenarnya adalah untuk mendapat 'pelukan' rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah yang sudah tentu dijanjikan syurga Firdaus.

Justeru, marilah kita bersama bermunajat memohon kemaafan dan sentiasa membasahi bibir dengan puji-pujian kepada Allah S.A.W. Salam Ramadhan al-Mubarak dan tak lupa juga Salam Lebaran Aidilfitri untuk semua.

Sumber : google.com
Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Saturday, May 26, 2012

ANEROXIA NERVOSA

ANEROXIA NERVOSA

Perkataan aneroxia nervosa sebenarnya berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu anerektos dan perkataan Latin iaitu nervosa yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk (Luvhanie, 2011). Ia bukan hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah ia juga berlaku kepada golongan lelaki. Nisbah antara perempuan dengan lelaki yang mengalami masalah aneroxia nervosa ini adalah 20:1 (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail, 2007). Walaupun tiada statistik khusus berkenaannya, namun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan wanita.

Sumber : Google.com
Merujuk kepada pendefinisian, masalah aneroxia nervosa tersebut merupakan masalah yang dihadapi seseorang individu yang mengalami fobia terhadap kegemukan dan keinginan untuk memiliki tubuh yang kurus yang melampau. Ia juga boleh dikatakan sebagai suatu keadaan seseorang yang sangat kurang mengambil makanan, tiada selera makan dan mengalami penurunan berat badan yang mendadak disebabkan keinginan kuat untuk menjadi kurus (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Ia juga sebenarnya merujuk kepada kecelaruan pola pemakanan seseorang individu itu sendiri di mana mereka lebih mengetatkan lagi jadual pemakanan mereka dengan alasan untuk kurus dengan lebih cepat.

Sumber : Google.com
Mereka yang menghidap masalah seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan mempunyai status ekonomi keluarga yang tinggi. Usia remaja merupakan suatu jangka masa yang kompleks terutamanya dari segi sosialisasinya kerana pada masa tersebut, mereka mempunyai semangat inkuiri yang kuat demi kepuasan peribadi terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Hal ini ditambah pula dengan kedudukan dan status keluarga yang tinggi di mana remaja perempuan akan cuba sedaya upaya memperlihatkan dirinya supaya menarik pada pandangan mata masyarakat. Jika mereka miliki tubuh yang gemuk dan gempal, pasti mereka akan beranggapan bahawa salah satu kesempurnaannya terjejas. Hal ini sekaligus akan menjatuhkan martabat mereka sekiranya sukar untuk mencari pasangan hidup sekiranya berkeadaan sedemikian. Demi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka akan cuba sedaya upaya untuk kurus termasuklah dengan menahan rasa lapar dan seterusnya melakukan pelbagai jenis senaman dengan lebih kerap.


FAKTOR ANEROXIA NERVOSA

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah aneroxia nervosa ini berlaku. Antaranya ialah berlakunya tekanan yang teruk seperti kematian, penceraian ibu bapa ataupun kelahiran adik dan bukan kerana takut gemuk (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. 2007). Dalam konteks faktor ini, mereka sebenarnya bukan menganggap kegemukan sebagai sesuatu yang menakutkan, namun mereka menganggap menahan lapar itu adalah merupakan satu kepuasan kepada dirinya supaya mudah untuk melupakan tekanan yang berlaku ke atas dirinya.

Sumber : Google.com
.           Faktor lain yang menyebabkan masalah kecelaruan pemakanan ini adalah persepsi dan tekanan sosial. Di Malaysia kini dilihat persepsi masyarakat terhadap kecantikan itu adalah individu yang memilik tubuh yang kurus, bersih dan ramping. Hal ini sebenarnya bukan hanya berlaku pada masa kini. Namun ianya telah berlaku sejak zaman dahulu lagi di mana masyarakat Malaysia telah ditanamkan dengan persepsi tersebut secara turun-temurun. Dengan hal demikian, ia telah ditambah dan diperkuatkan lagi dengan perkembangan media yang seringkali memaparkan wanita seksi yang bertubuh kurus dan ramping sebagai model iklan demi menarik minat pembeli untuk membeli. Dengan ini secara tak langsung, persepsi tersebut telah menyebabkan individu terutamanya golongan wanita berusaha sedaya-upaya untuk kelihatan kurus supaya oaring disekelilingnya tidak memandang serong kepadanya.

Malah ianya bertambah kritikal lagi apabila wujud pula persepsi negatif terhadap mereka yang memiliki badan yang gempal atau gemuk. Persepsi tersebut sebenarnya telah menakut-nakutkan mereka terutamanya dalam soal perkahwinan di mana mereka yang memilik badan yang gemuk dan gempal akan sukar mendapat pasangan hidup kerana mempunyai tubuh luaran yang tidak menarik.

Selain faktor persepsi dan tekanan sosial, aneroxia nervosa juga berlaku disebabkan oleh masalah psikologi iaitu perasaan ketakutan untuk melihat diri menjadi dewasa (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Umum mengetahui bahawa menjadi dewasa bukan sahaja berlaku peningkatan umur, malah juga perkembangan fizikal juga turut berubah. Perubahan ini seterusnya diikuti oleh pertambahan berat badan. Remaja yang menghidapi masalah aneroxia nervosa ini sebenarnya terdorong untuk menguruskan badan secara agresif apabila melihat kepada pertambahan berat badan mereka sedangkan ia adalah sifat normal manusia apabila berlakunya pertambahan tersebut dari semasa ke semasa apabila meniti usia dewasa. Keadaan inilah yang mengganggu psikologi mereka dan terdorong untuk merasa takut untuk memasuki alam dewasa.

Faktor pengabaian keluarga juga boleh menyebabkan masalah aneroxia nervosa. Kebanyakan keluarga yang terlibat dengan masalah ini adalah keluarga yang berstatus sosioekonominya yang tinggi. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tersebut terutamanya ibu dan bapa kurang mengawasi tingkahlaku anak-anak mereka. Malah ada antara mereka yang tidak mengambil berat terhadap perkembangan anak mereka kerana lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga. Akhirnya, anak-anak yang mengalami kemurungan dan kurang kasih sayang keluarga ini akan bertindak secara kurang bijak termasuklah dengan mengetatkan jadual makanan demi mencapai kepuasan peribadi sehingga menyebabkan mereka menghidapi masalah aneroxia nervosa.

Rujukan

Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar. 2008. Kaunseling Remaja : Tip Dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor          Sdn. Bhd.

Atmie Aisty. 2009. Aneroxia Nervosa. (atas talian) http://aizholic.blogspot.com/     2009/11/anorexia-nervosa.html [20 Mei 2012]

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. t. th. Punca dan    Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Luvhanie. 2011. Penyakit Wanita Yang Sering Dihadapi. (atas talian) http://intim.wordpress.        com/2011/12/ [22 Mei 2012]

Siti Norshafinaz Sheikh Maznan. 2008. Kebuluran Diri Penyakit Wanita Kini. (atas talian)             http://anizyn.blogspot.com/2008/01/kebuluran-diri-penyakit-wanita-kini.html#ixzz1vrkEBoyI [20 Mei 2012]


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, April 3, 2012

Ringkasan | Positivisme

Assalamualaikum w.b.t.
Di sini saya ingin kongsikan serba sedikit mengenai teori awal sains sosial yang telah dikemukakan oleh Auguste Comte iaitu 'Positivisme'.

Sumber : Google.com


Diasaskan oleh Auguste Comte (1798-1857) dari Perancis.


Beliau menyatakan bahawa tingkah laku manusia dipengaruhi oleh faktor luaran dan tingkah laku manusia juga boleh dikaji dan diselidiki.


Menggunakan metod pengamatan, eksperimen dan perbandingan.


Menurut aliran ini, manusia boleh memajukan diri tanpa terikat dengan aturan tradisi dan pantang larang.


Aliran ini juga menekankan tatasosial atau struktur sosial dan kemajuan atau perubahan sosial.


Menekankan juga falsafah sains yang mengagungkan pengetahuan tentang manusia dan masyarakat yang dilihat dari pemerhatian yang sistematik dan eksperimen, bukannya melalui spekulasi abstrak.


Sumber : Google.com


Menyarankan pengkaji menggunakan kaedah saintifik kerana kaedah ini dapat memberi pengetahuan kepada kita tentang hukum-hukum yang mendasari kehidupan manusia dan perubahan sekeliling.


Terdapat 3 tahap yang mesti dilalui manusia iaitu tahap teologi (keagamaan, tidak bebas), tahap metafizik (banyak spekulasi falsafah) dan tahap sains atau positif (ilmu pengetahuan yang kukuh, masuk akal, renaissance).


Menyarankan pengkaji agar melihat dan mengkaji masyarakat sebagai satu keseluruhan atau satu sistem yang berada dalam keadaan seimbang dan harmoni.



Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Anak Orang Asli | M N Syufaat

Assalamualaikum w.b.t. 
Alhamdulillah bertemu lagi. 
Sudah lama rasanya tak berkongsi foto-foto di blog ni.
Kali ini, saya sajikan foto yang diambil ketika melakukan kerja lapangan untuk salah satu subjek saya semasa pada tahun dua pengajian di UKM.
Alhamdulillah, kini sudah berada di tahun tiga.
Semakin hampir meniti saat akhir di UKM ini.
Oleh, itu, terimalah perkongsian foto ini yang bertajuk

'Anak Orang Asli'

Anak Orang Asli  |  M N Syufaat

Insya-Allah, foto-foto koleksi saya yang lain akan menyusul.
Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, March 29, 2012

Penari Tiang dihukum RM25

Sumber : Google.com
Hari ini, 29 Mac 2012, sedang kecoh mengenai berita sensasi di atas. Tidak kira di media cetak mahupun di media elektronik termasuk laman sosial, blog dan sebagainya. Ramai yang memberikan pendapat dan pandangan yang masing-masing ternyata berbeza. Ada yang mencemuh, ada yang mengata dan tidak kurang juga memberi nasihat kepada pihak yang berkenaan.

Dalam Islam sememangnya memandang jijik segala perlakuan yang sia-sia seperti 'menari di tiang' seperti ini. Lebih-lebih lagi mereka ini terdiri daripada golongan wanita dan  mendedahkan aurat. Mereka bukan sahaja mendedahkan aurat, malah turut juga beraksi ghairah di hadapan penonton-penontonnya yang kebanyakannya lelaki. Memang itulah resam dunia masa kini. Tiada lagi rasa malu dan segan untuk menunjukkan betapa dirinya itu adalah dirinya sendiri yang kononnya tidak hipokrit. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan. Mereka adalah tertuduh beragama Islam yang pertama di Negeri Sembilan disabitkan kesalahan melakukan tarian tiang di bawah akta tersebut. Hanya membayar RM25 atau dipenjara 14 hari, ramai yang mengatakan bahawa hukuman yang diberikan adalah tidak wajar dan tidak akan mampu memberikan ketiga-tiga mahkluk yang bergelar perempuan itu suatu kesedaran. Hanya RM25 dan penjara 14 hari. Itu sememangnya langsung tidak wajar untuk memberi pengajaran kepada mereka dan kepada seluruh umat manusia.

Walaupun begitu sedar atau tidak sedar, hukuman tersebut telah mencelikkan mata masyarakat manusia akan perlakuan yang sumbang tersebut. Kebanyakan daripada masyarakat mula jijik dengan aktiviti negatif dan sia-sia itu dengan memandang rendah si pelakunya serendah-rendahnya. Secara psikologinya, mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman ini akan menyebarkan isu ini dengan cara tertentu dan akhirnya akan meresap masuk ke dalam masyarakat sedikit demi sedikit. Alangkah indahnya sekiranya seluruh rakyat Malaysia memandang jijik dan keji aktiviti tdak bermoral tersebut. Hanya dengan hukuman RM25.

Bukan itu sahaja, hukuman RM 25 juga sebenarnya telah menjadikan ketiga-tiga perempuan tersebut merasakan diri mereka sangat rendah martabatnya. Ya, dengan nilai RM25, memang itulah yang layak baginya. Semoga mereka dan masyarakat mampu menilainya sebagai satu jumlah yang sama dengan harga diri terutamanya seorang perempuan apabila melakukan kegiatan yang memalukan itu.

Sumber : Google.com

RM 25 juga menunjukkan bahawa nilai yang sama sahaja dari segi hukuman. Tidak kira ianya beratus ribu sekalipun, ia sebenarnya sama sahaja. Persoalan di sini adalah, insafkah mereka yang menerima hukuman itu? Dengan hukuman beratus ribu, adakah ianya mampu mengubah mereka ke jalan yang lurus? Mungkin ya. Tetapi adakah benar-benar berkesan? Wallahualam...Berbalik semula kepada hati mereka sendiri.

RM25, nilai yang sedikit bagi kita untuk tindakan mereka yang sungguh memalukan masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, yakinlah dengan azab Allah SWT. Mereka boleh terlepas dengan hukuman dunia yang 'ringan' ini. Pastinya Allah tidak akan melepaskannya daripada menerima hukuman yang penuh azab di akhirat kelak.

Jadilah seorang umat yang taat menurut segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan kes ini mampu membuka minda kita dan seterusnya menjadi iktibar buat kita sesama umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perlakuan kita di dunia yang fana ini.

Sumber : Google.com


Sesungguhnya, sebaik-baik perhiasan dunia itu adalah wanita solehah...

Disediakan Oleh :

Mohd Nur Syufaat 
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia


Sunday, March 25, 2012

Ketakselamatan Makanan

Sumber : Google.com
Ketakselamatan makanan merujuk kepada suatu yang terhad atau ketidakpastian tentang kewujudan makanan yang cukup dan selamat atau kemampuan untuk mendapatkan makanan dalam cara yang dibenarkan oleh sosial. Hal ini bermakna, ianya boleh dijelaskan lagi dengan beberapa aspek iaitu makanan tidak cukup, kekurangan zat makanan, kuantiti pengambilan makanan dan juga keracunan makanan. Keempat-empat aspek ini memperihalkan tentang bagaimana seseorang manusia itu boleh dikategorikan sebagai sipemakan makanan yang tidak selamat. 

Dari aspek makanan yang tidak cukup, ianya dapat digambarkan dengan melihat contoh di mana terdapat sesebuah masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, kemunduran, dan sebagainya mudah dijangkiti penyakit. Punca utama berlakunya hal seperti ini adalah menerusi makanannya. Adakah makanan mereka mencukupi untuk menampung semua orang? Dan apabila makanan tidak mencukupi, adakah ianya selamat untuk dimakan kerana mungkin makanan tersebut dicatu dan disimpan terlalu lama. Keadaan seperti ini jelas boleh menyebabkan ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com

Selain itu, ketakselamatan makanan juga melibatkan aspek kekurangan zat makanan. Makanan yang sihat merupakan makanan yang cukup zat dan berkhasiat. Seeorang itu boleh terkena penyakit sekiranya pengamalan makanan yang sihat dan berzat tidak diamalkan. Hal ini kerana, sistem badan manusia memerlukan zat dan protein di samping vitamin sebagai penguat dan pelengkap kepada badan. Zat, protein dan juga vitamin akan hanya diperolehi dengan pemakanan. Sistem amalan yang sihat boleh dilihat dari piramid makanan yang sedia menunjukkan bagaimana pengambilan makanan yang betul dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badan. Piramid makanan juga mampu mengelak daripada ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com
Hal ini berbeza dengan aspek kuantiti makanan. Kuantiti makanan merujuk kepada berapa banyak seseorang itu mengambil makanan. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana adalah boleh dikategorikan sebagai selamat. Jika kuantiti makanan yang diambil terlalu kurang, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kusta, kekurusan yang melampau dan sebagainya. Ia juga boleh dikategorikan sebagai ketakselamatan makanan. Hal ini juga berlaku apabila seseorang individu itu mengambil makanan secara berlebihan. Ia juga mampu menyebabkan masalah kesihatan seperti masalah obesiti, kegemukan, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini juga boleh dikatakan sebagai ketakselamatan makanan. 

Dari aspek keracunan makanan pula, ia dapat dilihat melalui pencemaran yang berlaku ke atas makanan tersebut. Makanan boleh tercemar apabila kandungan makanan tersebut mengandungi bakteria dan juga virus yang berbahaya akibat daripada makanan yang terdedah dengan serangga, pencampuran makanan dengan bahan2 kimia yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Makanan yang telah tercemar ini apabila dimakan akan menyebabkan sistem tubuh sipemakan akan terganggu dan juga boleh membunuh imunisasi badan yang tidak mampu mempertahankan tubuh daripada terkena penyakit. Seseorang itu akan dikesan mengalami keracunan makanan apabila muntah-muntah, cirit-birit, demam secara tiba-tiba, lemah sendi, kulit kemerah-merahan dan sebagainya. Dengan ini makanan yang tercemar atau keracunan makanan sememangnya tidak dapat disangkal lagi, tergolong dalam golongan ketakselamataan makanan.

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)