I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, September 10, 2011

Cemburu Si Isteri




Seorang isteri ingin menghubungi suaminya untuk memberitahu suatu perkara yang penting. Malang sekali apabila telefon bimbitnya kehabisan kredit. Si isteri lantas menyuruh anak lelakinya menghubungi bapanya itu dengan menggunakan telefon awam di hadapan kedai tidak jauh dari rumahnya.

Setelah si anak membuat panggilan beberapa kali, si anak memberitahu kepada ibunya bahawa seorang perempuan telah menjawab telefon. Walaupun sudah berkali-kali si anak telefon, perempuan itu tetap menjawabnya.

Si isteri dengan marahnya menunggu kepulangan suami dihadapan pintu rumah. Sesampainya suami, si isteri terus membelasah habis-habisan si suami kerana perlakuan curangnya.

Habis berkumpul semua jiran tetangga melihat aksi drama tersebut. Si isteri dengan lantangnya menyuruh anaknya memberitahu semua orang tentang apa yang dikatakan oleh perempuan yang menjawab telefon tadi.

Si anak pun menjawab, "Harap maaf, nombor yang anda dail berada di luar kawasan liputan. Sila cuba sebentar lagi..."



Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, September 8, 2011

Peranan Warga Tua


Contoh Karangan : Peranan Warga Tua


Di  Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran.  Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.  Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.  Ini merupakan satu tanggapan yang salah.  Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.  
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan.  Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.  Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini.  Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.  Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.  Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini?  Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.  Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini.  Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat.  Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.  Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.  
Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.  Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.  Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya.  Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.  Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 
Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.  Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari. Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.  Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 
Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.  Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian.  Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan.  Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang.  Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  
Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi.  Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara.  Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

(Salinan di laman web Minda Bahasa pada tarikh 07 September 2011)

Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Wednesday, September 7, 2011

Penjagaan Warga Emas : Kerajaan @ Keluarga?



Pada abad ini semakin banyak isu-isu sensitif yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyaknnya bertujuan untuk kepentingan peribadi mahupun golongan-golongan tertentu. Adapun isu-isu tersebut, antaranya mempersoalkan tentang isu warga emas di mana persoalan yang timbul adalah berkaitan dengan penjagaan yang sempurna oleh pihak tertentu. Di sini kita dapat lihat bahawa, terdapat dua pihak yang terlibat dalam isu ini iaitu pihak kerajaan di bawah kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) mahupun pihak keluarga kepada warga emas itu sendiri.


Bagi pihak KPWKM, penjagaan warga emas sememangnya merupakan salah satu tanggungjawab sosial selain daripada wanita, keluarga, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak, orang papa, dan juga mangsa bencana alam. Ianya jelas diperlihatkan melalui laman web rasminya iaitu www.kpwkm.gov.my . Menerusi elemen warga emas di dalam web rasmi tersebut, ianya sudah cukup untuk menonjolkan bahawa tangunggajawab sosial yang dimainkan oleh pihak kementerian kepada golongan emas ini adalah yang terbaik. Sebagai contoh, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak kementerian telah menyediakan Institusi Warga Emas seperti Pusat Jagaan Harian Warga Emas, Desa Bina Diri, Rumah Ehsan, dan juga Rumah Seri Kenangan yang dilengkapi dengan pelbagai fasilitis dan kepelbagaian kemudahan. 

Selain itu juga, pihak kementerian juga mewujudkan Unit Penyayang Warga Emas di mana ianya merupakan kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga Pertubuhan Sukarela Kebajikan iaitu Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (MPKSM). Bukan itu sahaja, bagi memudah dan meringankan beban warga emas, pihak kementerian turut menyediakan bantuan kewangan yang disebut sebagai Bantuan Orang Tua (BOT) yang dianggarkan sebanyak RM 300 sebulan akan diberikan kepada warga emas yang berkelayakan. Terdapat juga disediakan Bantuan Alat Tiruan atau Alat Sokongan (BAT/AS) oleh pihak JKM di bawah KPWKM. Bantuan tersebut adalah untuk membantu dalam membeli peralatan seperti kaki palsu, tangan palsu, callipers, tongkat tangan, kerusi roda, alat pendengaran dan sebagainya. Ianya adalah untuk memudahkan pergerakan mereka selain daripada meningkatkan keupayaan mereka untuk bergerak.

Walau bagaimanapun, segala perkhidmatan terbaik ini telah disalah ertikan oleh mereka yang hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri semata-mata. Mereka ini adalah terdiri daripada ahli keluarga warga emas itu sendiri terutamanya anak-anak. Kebanyakan dari mereka adalah tergolong dalam golongan kelas pertengahan dan atasan di mana mereka kerap memberikan alasan masa sebagai faktor penghalang untuk mereka memberi sepenuh perhatian terhadap penjagaan ibu atau ayah yang sudah berada pada tahap warga emas.

Jika kita lihat pada masa kini, masyarakat di Malaysia terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar dan juga pinggir bandar lebih memilih untuk menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat jagaan warga emas. Lebih mendukacitakan lagi, terdapat segelintir daripada mereka turut menghantar warga emas ke pusat-pusat kebajikan masyarakat di mana mereka hanya akan hanya melawat ibu bapa mereka bla tiba hujung minggu dan lebih teruk lagi ada yang jarang sekali untuk melawat orang tua mereka itu. Ianya cukup memberikan gambaran bahawa, masyarakat kini hanya lebih berfikir tentang kepentingan diri sendiri semata-mata. Sedangkan jika kita fikirkan sejenak, manusia semakin lama semakin tua dan tidakkah mereka berfikir bahawa mereka juga akan tua suatu masa nanti? Bagaimana pula perasaan mereka yang dihantar ke pusat-pusat kebajikan tersebut? Adakah mereka gembira ataupun sebaliknya?

Walaupun begitu, bukan semua masyarakat yang tidak mengambil endah tentang penjagaan warga emas ini. Pada hakikatnya, manusia tetap manusia yang mempunyai perasaan belas terhadap orang tua mereka yang berkemungkinan telah uzur. Bagi golongan seperti ini, mereka tidak meletakkan sepenuhnya terhadap bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Ianya lebih kepada memikirkan tentang tanggungjawab sosial diri sendiri di mana berkemungkinan besar mereka yang terdiri dari anak-anak ini ingin membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa ketika membesarkan mereka sehingga ke hari ini. 

Secara keseluruhannya, tidak kira siapa, pihak kerajaan mahupun pihak keluarga sebenarnya perlu memainkan peranan masing-masing tanpa melibatkan perasaan pilih kasih mahupun hanya memikirkan tentang kepentingan masing-masing. Masalah ini semakin lama semakin mendapat perhatian umum kerana ianya juga melibatkan kuatili pekerjaan dan hasil produk yang semakin lama semakin meningkat. Jika kita kaji semula tentang isu ini sedalam-dalamnya, satu mekanisme yang terbaik pasti akan dapat dicapai untuk mengatasi masalah ini secara produktif dan berkesan.




Bagi umat Islam pula, ia sememangnya diwajibkan untuk menjaga kedua ibu bapa yang telah memasuki golongan warga emas ini kerana Syurga adalah berada di bawah telapak kaki ibu dan cukup besar pahalanya sekiranya kita sebagai anak berbakti kepada ibu dan bapa. Ingatlah wahai manusia, ibu bapa itu adalah permulaan kita dan kita sememangnya perlu menghormati dan mentaati perintah mereka untuk mendapat keberkatan hidup untuk dibawa ke akhirat kelak.

Disediakan oleh:

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)