I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, August 8, 2012

Gelaran Emak dan Ibu

Sumber : google.com
Seseorang individu yang bergelar manusia keseluruhannya berasal dari perut seorang wanita yang bergelar ibu. Asal kita sebenarnya hanyalah segumpal darah yang diadun bersama tulang-tulang kecil, ditiupkan roh (nyawa) kedalam gumpalan darah tersebut sehinggalah ianya betul-betul bernyawa dan mulai bergerak. Pada tempoh yang matang dan sudah mencukupi, maka terkeluarlah seorang bayi yang telah berada dalam kandungan ibunya selama lebih lapan bulan lamanya. Dan di saat itulah bayi tersebut akan dibentuk dan diisi jiwanya dengan pelbagai ilmu kehidupan bagi memberi perlindungan dirinya di masa akan datang.
Sumber : google.com
Pada waktu anak itu sudah mulai matang dan boleh bertutur dengan baik, maka akan terpacullah suara yang memanggil-manggil 'mama' dan 'papa', 'emak' dan 'abah', 'ibu' dan 'ayah' serta lain-lain panggilan untuk diberikan kepada kedua orang yang telah menyebabkan mereka lahir. Sehingga dewasa, mereka akan menjaga anak-anak mereka dengan sepenuh kasih-sayang sehinggakan kalau boleh tidak langsung dibenarkan nyamuk menggigit kulit mulus anak-anak mereka. Begitulah besarnya pengorbanan mereka yang bergelar emak, ibu, mama dan tidak lupa juga mereka yang bergelar bapa, abah dan papa.

Seorang wanita yang bergelar emak ataupun ibu normalnya merupakan seorang isteri kepada seorang suami. Normal di sini bermaksud wanita tersebut semestinya sudah melepasi gelaran Raja Sehari atau lebih dikenali sebagai pengantin. Pengantin yang sudah siap diijabkabulkan  oleh imam serta telah disahkan oleh dua orang wali ini sememangnya wajar bergelar emak dan abah atau ibu dan bapa. Sekiranya kita lihat pada hari ini, ramai 'pengantin' tidak diijabkabulkan dan sememangnya tidak sesuailah mereka dipanggil dengan panggilan berharga tersebut.

Lain pula mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai emak atau ibu sedangkan mereka bukanlah ibu atau emak kandung kepada si anak. Mereka ini sebenarnya adalah ibu atau emak angkat yang sudi memelihara anak orang lain untuk dijadikan anak sendiri. Ibu atau emak angkat ini sememangnya mempunyai hati yang luhur, ikhlas dan tidak ada rasa timbal balik (inginkan seseuatu) daripada pengorbanan yang telah mereka lakukan ini. Masakan tidak, mungkin sejumlah pelaburan yang mereka telah lakukan untuk membesarkan, melindungi dan memelihara si anak angkat itu dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Semua ini dilakukan atas dasar untuk melampiaskan rasa keibuan yang terpendam di dalam hati seorang wanita kepada si anak yang tidak kesampaian.


Sumber : google.com
Setelah saya renung kembali ke zaman lampau mengenai pengalaman yang telah saya lalui, ianya cukup dengan warna-warni, suka-duka, pahit manis dan sebagainya. Pada satu-satu masa itu, saya pernah memiliki seorang yang bergelar 'emak' yang sememangnya emak kandung yang telah melahir dan membesarkan saya dengan kasih sayang dan seorang lagi bergelar 'ibu' yang merupakan ibu angkat. sewaktu saya sekolah dahulu Kedua-duanya amat dan teramat saya sayangi sehingga hari ini. Dan kedua-duanya tidak akan saya lupa hingga akhir nafasku terhenti. Seribu kemaafan kumohon kepada 'emak' andai terlaku perbuatan yang mengecik hati sepanjang 'emak' membesarkan ku. Ribuan kemaafan juga ku mohon buat 'ibu' kerana mungkin telah melukakan hatimu suatu ketika dahulu. Semoga mereka sentiasa dipermudahkan urusannya dan sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat dari Allah S.W.T. Amiiin ya Rabb.


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Ramadhan, Muhasabah Dan Matlamat

Sumber : google.com
 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah, kini umat Islam sudah berada di pertengahan bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan limpahan rahmat dari Allah S.W.T.

Dalam hidup kita di dunia ini sememangnya banyak cabaran dan dugaan. Menjadi insan yang 'terbaik' itu adalah matlamat wajib bagi kita. Namun perspektifnya berbeza antara satu sama lain. Untuk itu, muhasabah diri adalah perkara yang penting untuk kita sama-sama nilai 'siapa diri kita untuk diri sendiri' dan 'siapa diri kita untuk orang lain'. Ini ada adalah bagi melahirkan rasa insaf dan rendah diri serta sentiasa mensyukuri segala nikmat tidak terhingga yang dikurniakan dari-Nya.

Sesungguhnya, dalam bulan Ramadhan inilah platform terbaik untuk setiap umat Islam bermuhasabah diri di samping menjalani ibadah puasa dan beramal dengan sepenuh hati bagi memperoleh keredhaan-Nya. Jika dinilai balik apakah matlamat utama kita di dunia dan diakhirat sebenarnya adalah untuk mendapat 'pelukan' rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah yang sudah tentu dijanjikan syurga Firdaus.

Justeru, marilah kita bersama bermunajat memohon kemaafan dan sentiasa membasahi bibir dengan puji-pujian kepada Allah S.A.W. Salam Ramadhan al-Mubarak dan tak lupa juga Salam Lebaran Aidilfitri untuk semua.

Sumber : google.com
Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Saturday, May 26, 2012

ANEROXIA NERVOSA

ANEROXIA NERVOSA

Perkataan aneroxia nervosa sebenarnya berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu anerektos dan perkataan Latin iaitu nervosa yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk (Luvhanie, 2011). Ia bukan hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah ia juga berlaku kepada golongan lelaki. Nisbah antara perempuan dengan lelaki yang mengalami masalah aneroxia nervosa ini adalah 20:1 (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail, 2007). Walaupun tiada statistik khusus berkenaannya, namun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan wanita.

Sumber : Google.com
Merujuk kepada pendefinisian, masalah aneroxia nervosa tersebut merupakan masalah yang dihadapi seseorang individu yang mengalami fobia terhadap kegemukan dan keinginan untuk memiliki tubuh yang kurus yang melampau. Ia juga boleh dikatakan sebagai suatu keadaan seseorang yang sangat kurang mengambil makanan, tiada selera makan dan mengalami penurunan berat badan yang mendadak disebabkan keinginan kuat untuk menjadi kurus (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Ia juga sebenarnya merujuk kepada kecelaruan pola pemakanan seseorang individu itu sendiri di mana mereka lebih mengetatkan lagi jadual pemakanan mereka dengan alasan untuk kurus dengan lebih cepat.

Sumber : Google.com
Mereka yang menghidap masalah seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan mempunyai status ekonomi keluarga yang tinggi. Usia remaja merupakan suatu jangka masa yang kompleks terutamanya dari segi sosialisasinya kerana pada masa tersebut, mereka mempunyai semangat inkuiri yang kuat demi kepuasan peribadi terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Hal ini ditambah pula dengan kedudukan dan status keluarga yang tinggi di mana remaja perempuan akan cuba sedaya upaya memperlihatkan dirinya supaya menarik pada pandangan mata masyarakat. Jika mereka miliki tubuh yang gemuk dan gempal, pasti mereka akan beranggapan bahawa salah satu kesempurnaannya terjejas. Hal ini sekaligus akan menjatuhkan martabat mereka sekiranya sukar untuk mencari pasangan hidup sekiranya berkeadaan sedemikian. Demi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka akan cuba sedaya upaya untuk kurus termasuklah dengan menahan rasa lapar dan seterusnya melakukan pelbagai jenis senaman dengan lebih kerap.


FAKTOR ANEROXIA NERVOSA

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah aneroxia nervosa ini berlaku. Antaranya ialah berlakunya tekanan yang teruk seperti kematian, penceraian ibu bapa ataupun kelahiran adik dan bukan kerana takut gemuk (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. 2007). Dalam konteks faktor ini, mereka sebenarnya bukan menganggap kegemukan sebagai sesuatu yang menakutkan, namun mereka menganggap menahan lapar itu adalah merupakan satu kepuasan kepada dirinya supaya mudah untuk melupakan tekanan yang berlaku ke atas dirinya.

Sumber : Google.com
.           Faktor lain yang menyebabkan masalah kecelaruan pemakanan ini adalah persepsi dan tekanan sosial. Di Malaysia kini dilihat persepsi masyarakat terhadap kecantikan itu adalah individu yang memilik tubuh yang kurus, bersih dan ramping. Hal ini sebenarnya bukan hanya berlaku pada masa kini. Namun ianya telah berlaku sejak zaman dahulu lagi di mana masyarakat Malaysia telah ditanamkan dengan persepsi tersebut secara turun-temurun. Dengan hal demikian, ia telah ditambah dan diperkuatkan lagi dengan perkembangan media yang seringkali memaparkan wanita seksi yang bertubuh kurus dan ramping sebagai model iklan demi menarik minat pembeli untuk membeli. Dengan ini secara tak langsung, persepsi tersebut telah menyebabkan individu terutamanya golongan wanita berusaha sedaya-upaya untuk kelihatan kurus supaya oaring disekelilingnya tidak memandang serong kepadanya.

Malah ianya bertambah kritikal lagi apabila wujud pula persepsi negatif terhadap mereka yang memiliki badan yang gempal atau gemuk. Persepsi tersebut sebenarnya telah menakut-nakutkan mereka terutamanya dalam soal perkahwinan di mana mereka yang memilik badan yang gemuk dan gempal akan sukar mendapat pasangan hidup kerana mempunyai tubuh luaran yang tidak menarik.

Selain faktor persepsi dan tekanan sosial, aneroxia nervosa juga berlaku disebabkan oleh masalah psikologi iaitu perasaan ketakutan untuk melihat diri menjadi dewasa (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Umum mengetahui bahawa menjadi dewasa bukan sahaja berlaku peningkatan umur, malah juga perkembangan fizikal juga turut berubah. Perubahan ini seterusnya diikuti oleh pertambahan berat badan. Remaja yang menghidapi masalah aneroxia nervosa ini sebenarnya terdorong untuk menguruskan badan secara agresif apabila melihat kepada pertambahan berat badan mereka sedangkan ia adalah sifat normal manusia apabila berlakunya pertambahan tersebut dari semasa ke semasa apabila meniti usia dewasa. Keadaan inilah yang mengganggu psikologi mereka dan terdorong untuk merasa takut untuk memasuki alam dewasa.

Faktor pengabaian keluarga juga boleh menyebabkan masalah aneroxia nervosa. Kebanyakan keluarga yang terlibat dengan masalah ini adalah keluarga yang berstatus sosioekonominya yang tinggi. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tersebut terutamanya ibu dan bapa kurang mengawasi tingkahlaku anak-anak mereka. Malah ada antara mereka yang tidak mengambil berat terhadap perkembangan anak mereka kerana lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga. Akhirnya, anak-anak yang mengalami kemurungan dan kurang kasih sayang keluarga ini akan bertindak secara kurang bijak termasuklah dengan mengetatkan jadual makanan demi mencapai kepuasan peribadi sehingga menyebabkan mereka menghidapi masalah aneroxia nervosa.

Rujukan

Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar. 2008. Kaunseling Remaja : Tip Dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor          Sdn. Bhd.

Atmie Aisty. 2009. Aneroxia Nervosa. (atas talian) http://aizholic.blogspot.com/     2009/11/anorexia-nervosa.html [20 Mei 2012]

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. t. th. Punca dan    Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Luvhanie. 2011. Penyakit Wanita Yang Sering Dihadapi. (atas talian) http://intim.wordpress.        com/2011/12/ [22 Mei 2012]

Siti Norshafinaz Sheikh Maznan. 2008. Kebuluran Diri Penyakit Wanita Kini. (atas talian)             http://anizyn.blogspot.com/2008/01/kebuluran-diri-penyakit-wanita-kini.html#ixzz1vrkEBoyI [20 Mei 2012]


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, April 3, 2012

Ringkasan | Positivisme

Assalamualaikum w.b.t.
Di sini saya ingin kongsikan serba sedikit mengenai teori awal sains sosial yang telah dikemukakan oleh Auguste Comte iaitu 'Positivisme'.

Sumber : Google.com


Diasaskan oleh Auguste Comte (1798-1857) dari Perancis.


Beliau menyatakan bahawa tingkah laku manusia dipengaruhi oleh faktor luaran dan tingkah laku manusia juga boleh dikaji dan diselidiki.


Menggunakan metod pengamatan, eksperimen dan perbandingan.


Menurut aliran ini, manusia boleh memajukan diri tanpa terikat dengan aturan tradisi dan pantang larang.


Aliran ini juga menekankan tatasosial atau struktur sosial dan kemajuan atau perubahan sosial.


Menekankan juga falsafah sains yang mengagungkan pengetahuan tentang manusia dan masyarakat yang dilihat dari pemerhatian yang sistematik dan eksperimen, bukannya melalui spekulasi abstrak.


Sumber : Google.com


Menyarankan pengkaji menggunakan kaedah saintifik kerana kaedah ini dapat memberi pengetahuan kepada kita tentang hukum-hukum yang mendasari kehidupan manusia dan perubahan sekeliling.


Terdapat 3 tahap yang mesti dilalui manusia iaitu tahap teologi (keagamaan, tidak bebas), tahap metafizik (banyak spekulasi falsafah) dan tahap sains atau positif (ilmu pengetahuan yang kukuh, masuk akal, renaissance).


Menyarankan pengkaji agar melihat dan mengkaji masyarakat sebagai satu keseluruhan atau satu sistem yang berada dalam keadaan seimbang dan harmoni.



Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Anak Orang Asli | M N Syufaat

Assalamualaikum w.b.t. 
Alhamdulillah bertemu lagi. 
Sudah lama rasanya tak berkongsi foto-foto di blog ni.
Kali ini, saya sajikan foto yang diambil ketika melakukan kerja lapangan untuk salah satu subjek saya semasa pada tahun dua pengajian di UKM.
Alhamdulillah, kini sudah berada di tahun tiga.
Semakin hampir meniti saat akhir di UKM ini.
Oleh, itu, terimalah perkongsian foto ini yang bertajuk

'Anak Orang Asli'

Anak Orang Asli  |  M N Syufaat

Insya-Allah, foto-foto koleksi saya yang lain akan menyusul.
Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, March 29, 2012

Penari Tiang dihukum RM25

Sumber : Google.com
Hari ini, 29 Mac 2012, sedang kecoh mengenai berita sensasi di atas. Tidak kira di media cetak mahupun di media elektronik termasuk laman sosial, blog dan sebagainya. Ramai yang memberikan pendapat dan pandangan yang masing-masing ternyata berbeza. Ada yang mencemuh, ada yang mengata dan tidak kurang juga memberi nasihat kepada pihak yang berkenaan.

Dalam Islam sememangnya memandang jijik segala perlakuan yang sia-sia seperti 'menari di tiang' seperti ini. Lebih-lebih lagi mereka ini terdiri daripada golongan wanita dan  mendedahkan aurat. Mereka bukan sahaja mendedahkan aurat, malah turut juga beraksi ghairah di hadapan penonton-penontonnya yang kebanyakannya lelaki. Memang itulah resam dunia masa kini. Tiada lagi rasa malu dan segan untuk menunjukkan betapa dirinya itu adalah dirinya sendiri yang kononnya tidak hipokrit. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan. Mereka adalah tertuduh beragama Islam yang pertama di Negeri Sembilan disabitkan kesalahan melakukan tarian tiang di bawah akta tersebut. Hanya membayar RM25 atau dipenjara 14 hari, ramai yang mengatakan bahawa hukuman yang diberikan adalah tidak wajar dan tidak akan mampu memberikan ketiga-tiga mahkluk yang bergelar perempuan itu suatu kesedaran. Hanya RM25 dan penjara 14 hari. Itu sememangnya langsung tidak wajar untuk memberi pengajaran kepada mereka dan kepada seluruh umat manusia.

Walaupun begitu sedar atau tidak sedar, hukuman tersebut telah mencelikkan mata masyarakat manusia akan perlakuan yang sumbang tersebut. Kebanyakan daripada masyarakat mula jijik dengan aktiviti negatif dan sia-sia itu dengan memandang rendah si pelakunya serendah-rendahnya. Secara psikologinya, mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman ini akan menyebarkan isu ini dengan cara tertentu dan akhirnya akan meresap masuk ke dalam masyarakat sedikit demi sedikit. Alangkah indahnya sekiranya seluruh rakyat Malaysia memandang jijik dan keji aktiviti tdak bermoral tersebut. Hanya dengan hukuman RM25.

Bukan itu sahaja, hukuman RM 25 juga sebenarnya telah menjadikan ketiga-tiga perempuan tersebut merasakan diri mereka sangat rendah martabatnya. Ya, dengan nilai RM25, memang itulah yang layak baginya. Semoga mereka dan masyarakat mampu menilainya sebagai satu jumlah yang sama dengan harga diri terutamanya seorang perempuan apabila melakukan kegiatan yang memalukan itu.

Sumber : Google.com

RM 25 juga menunjukkan bahawa nilai yang sama sahaja dari segi hukuman. Tidak kira ianya beratus ribu sekalipun, ia sebenarnya sama sahaja. Persoalan di sini adalah, insafkah mereka yang menerima hukuman itu? Dengan hukuman beratus ribu, adakah ianya mampu mengubah mereka ke jalan yang lurus? Mungkin ya. Tetapi adakah benar-benar berkesan? Wallahualam...Berbalik semula kepada hati mereka sendiri.

RM25, nilai yang sedikit bagi kita untuk tindakan mereka yang sungguh memalukan masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, yakinlah dengan azab Allah SWT. Mereka boleh terlepas dengan hukuman dunia yang 'ringan' ini. Pastinya Allah tidak akan melepaskannya daripada menerima hukuman yang penuh azab di akhirat kelak.

Jadilah seorang umat yang taat menurut segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan kes ini mampu membuka minda kita dan seterusnya menjadi iktibar buat kita sesama umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perlakuan kita di dunia yang fana ini.

Sumber : Google.com


Sesungguhnya, sebaik-baik perhiasan dunia itu adalah wanita solehah...

Disediakan Oleh :

Mohd Nur Syufaat 
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia


Sunday, March 25, 2012

Ketakselamatan Makanan

Sumber : Google.com
Ketakselamatan makanan merujuk kepada suatu yang terhad atau ketidakpastian tentang kewujudan makanan yang cukup dan selamat atau kemampuan untuk mendapatkan makanan dalam cara yang dibenarkan oleh sosial. Hal ini bermakna, ianya boleh dijelaskan lagi dengan beberapa aspek iaitu makanan tidak cukup, kekurangan zat makanan, kuantiti pengambilan makanan dan juga keracunan makanan. Keempat-empat aspek ini memperihalkan tentang bagaimana seseorang manusia itu boleh dikategorikan sebagai sipemakan makanan yang tidak selamat. 

Dari aspek makanan yang tidak cukup, ianya dapat digambarkan dengan melihat contoh di mana terdapat sesebuah masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, kemunduran, dan sebagainya mudah dijangkiti penyakit. Punca utama berlakunya hal seperti ini adalah menerusi makanannya. Adakah makanan mereka mencukupi untuk menampung semua orang? Dan apabila makanan tidak mencukupi, adakah ianya selamat untuk dimakan kerana mungkin makanan tersebut dicatu dan disimpan terlalu lama. Keadaan seperti ini jelas boleh menyebabkan ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com

Selain itu, ketakselamatan makanan juga melibatkan aspek kekurangan zat makanan. Makanan yang sihat merupakan makanan yang cukup zat dan berkhasiat. Seeorang itu boleh terkena penyakit sekiranya pengamalan makanan yang sihat dan berzat tidak diamalkan. Hal ini kerana, sistem badan manusia memerlukan zat dan protein di samping vitamin sebagai penguat dan pelengkap kepada badan. Zat, protein dan juga vitamin akan hanya diperolehi dengan pemakanan. Sistem amalan yang sihat boleh dilihat dari piramid makanan yang sedia menunjukkan bagaimana pengambilan makanan yang betul dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badan. Piramid makanan juga mampu mengelak daripada ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com
Hal ini berbeza dengan aspek kuantiti makanan. Kuantiti makanan merujuk kepada berapa banyak seseorang itu mengambil makanan. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana adalah boleh dikategorikan sebagai selamat. Jika kuantiti makanan yang diambil terlalu kurang, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kusta, kekurusan yang melampau dan sebagainya. Ia juga boleh dikategorikan sebagai ketakselamatan makanan. Hal ini juga berlaku apabila seseorang individu itu mengambil makanan secara berlebihan. Ia juga mampu menyebabkan masalah kesihatan seperti masalah obesiti, kegemukan, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini juga boleh dikatakan sebagai ketakselamatan makanan. 

Dari aspek keracunan makanan pula, ia dapat dilihat melalui pencemaran yang berlaku ke atas makanan tersebut. Makanan boleh tercemar apabila kandungan makanan tersebut mengandungi bakteria dan juga virus yang berbahaya akibat daripada makanan yang terdedah dengan serangga, pencampuran makanan dengan bahan2 kimia yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Makanan yang telah tercemar ini apabila dimakan akan menyebabkan sistem tubuh sipemakan akan terganggu dan juga boleh membunuh imunisasi badan yang tidak mampu mempertahankan tubuh daripada terkena penyakit. Seseorang itu akan dikesan mengalami keracunan makanan apabila muntah-muntah, cirit-birit, demam secara tiba-tiba, lemah sendi, kulit kemerah-merahan dan sebagainya. Dengan ini makanan yang tercemar atau keracunan makanan sememangnya tidak dapat disangkal lagi, tergolong dalam golongan ketakselamataan makanan.

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, March 19, 2012

Warisan : Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu

Sumber : Google.com.my

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu merupakan salah satu kesan peninggalan penjajahan British di Tanah Melayu yang menggambarkan kemuncak kegemilangan pembangunan bagi keretapi Tanah Melayu. Bangunan tersebut yang terletak di Jalan Sultan Hisamudin, Kuala Lumpur ini mula dibina pada tahun 1914 dan siap sepenuhnya pada tahun 1917. Bangunan ini miliki sepenuhnya oleh pihak kerajaan Persekutuan dan juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan masih dipulihara sehingga ke hari ini.

Bangunan bersejarah ini telah direkabentuk oleh seorang arkitek British iaitu Athur Benison Hubback yang bertugas sebagai pemangku arkitek di Jabatan Kerja Raya Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga telah merekabentuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang telah dibina pada tahun 1907. Sebelum beliau berkhidmat di Tanah Melayu pada tahun 1901, beliau telah berkhidmat di India. Dengan pengalaman yang ada, beliau juga pernah menerima tawaran daripada pihak Hong Kong untuk merekabentuk sebuah stesen keretapi di Kowloon pada tahun 1912.

Sumber : Google.com.my

Dari segi sejarah pembinaannya, pada tahun 1913, pihak British menawarkan Athur Benison Hubback untuk mereka bentuk sebuah ibu pejabat khas bagi pengurusan Keretapi Tanah Melayu yang terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu. Pembinaannya yang mengambil masa selama hampir tiga tahun itu sebenarnya telah tergendala akibat daripada Perang Dunia Pertama yang berlaku pada tahun 1914 sehingga 1918. Ketika itu, kontraktor yang menguruskannya adalah Ang Seng. Anggaran kos pembinaan bangunan tersebut menelan belanja sebanyak $780,422 (dolar negeri selat) dan telah diaudit pada tahun 1917 iaitu setelah sempurna pembinaannya.

Jika dilihat dari segi kesenian rekabentuknya, bangunan ini lebih bercirikan kesenian masyarakat Morish iaitu masyarakat Islam yang melambangkan keagungan kerajaan Mogul dan Ottoman pada abad ke 13 dan 14. Pengaruh senibina Morish ini banyak terdapat di India sebagai contoh di bangunan-bangunan kerajaan, masjid atau rumah-rumah ibadat dan lain-lain.

Sebagai sebuah bangunan yang bertentangan dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur, banyak sejarah yang telah tercipta di persekitaran kawasan tersebut. Antaranya pada tahun 1946, perhimpunan secara besar-besaran telah diadakan bagi membantah dan memulau perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union di Tanah Melayu. Penentangan ini berlaku akibat daripada penubuhan Malayan Union yang telah memusnahkan kuasa Raja-Raja Melayu dan juga hak orang Melayu sebagai penduduk bumiputera.

Bukan itu sahaja, bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu juga menjadi saksi akan satu perhimpunan besar-besaran sekali lagi. Pada 20 Januari 1961, kebanjiran masyarakat di kawasan tersebut adalah bertujuan untuk menyambut kepulangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah Ibni Al-Marhum Tengku Ismail setelah berkunjung ke luar negara selama enam minggu.

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga pernah dilawati oleh rombongan Pengurus Besar Keretapi Thai (RSR) pada 18 Julai 1984. Rombongan tersebut merupakan wakil persidangan bersama antara KTM dengan RSR yang membincangkan tentang perkongsian perkara berkaitan teknologi, pentadbiran dan juga kejuruteraan.

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu ini telah mengalami dua kerosakan teruk yang hampir memusnahkan keseluruhan bangunan tersebut. Kerosakan besar yang pertama dilaporkan berlaku semasa Perang Dunia Kedua di bahagian utara bangunan akibat terkena bom manakala kerosakan kedua pula juga berlaku di tempat yang sama, tingkat kedua akibat daripada kebakaran yang berlaku pada 14 November 1968.

Sumber : Google.com.my
Walau bagaimanapun, pemuliharaannya tetap dilakukan bagi mengekalkan warisan seni bina bangunan tersebut untuk tatapan generasi masa kini. Salah satu langkah pemuliharaannya adalah dengan penyenaraian Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu di dalam Sistem Daftar Warisan bagi kategori Tapak Warisan Kebudayaan Negara.


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Saturday, January 14, 2012

Good Governan : Matlamat Organisasi

Istilah 'good governan' telah mula dipopularkan oleh organisasi terkenal antarabangsa World Bank pada tahun 1989 dalam kertas kerjanya mengenai pembangunan Sahara Barat pada ketika itu. Sejak itu, istilah ini terus menerus digunakan oleh pelbagai pihak bagi menerangkan tentang pengurusan yang baik dalam suatu organisasi. Hal ini telah menjadikan istilah tersebut sungguh popular pada hari ini.



     'Good governan' atau tadbir urus yang baik merupakan satu elemen penting dalam memastikan sesebuah negara atau organisasi tertentu diurus dengan baik. Ianya boleh ditafsirkan sebagai satu istilah yang diberikan khusus kepada sistem pengurusan yang memastikan setiap individu mahupun masyarakat dibawahnya menerima manfaat dan keuntungan tertentu. Ia juga bukan hanya merujuk kepada sistem politik, malah ianya juga merujuk kepada sistem pentadbiran awam, sistem ekonomi dan juga sistem perundangan.

Jika dianalisis, terdapat empat elemen utama yang harus ada bagi memastikan suatu sistem itu mencapai gelaran 'good governan' :

i)   Akauntabiliti
ii)  Integriti
iii) Transparensi (telus)
iv)  Partisipansi (Penglibatan)

     Akauntabiliti merujuk kepada matlamat sesebuah organisasi yang wajib dicapai oleh mereka tanpa melanggar undang-undang. Hal ini kerana, setiap organisasi itu wujud atas dasar suatu matlamat tertentu. Organisasi tersebut perlu menyusun pelbagai kaedah mahupun strategi bagi memastikan matlamat tersebut tercapai tidak kira dalam jangka masa pendek ataupun panjang. Sebagai contoh, dalam sesebuah projek pembangunan sesebuah taman perumahan, setiap aktiviti perlu disusun mengikut peringkat-peringkat tertentu iaitu dari peringkat permulaan pembersihan, penambakan, menanam cerucuk sehinggalah terdirinya sebuah bangunan yang siap untuk diduduki. Dalam 'good governan' perancangan yang sistematik dan tersusun adalah penting. Setiap perancangan perlu disusun mengikut tahap tertentu dan dilaksanakan satu per satu sehinggalah ianya mencapai matlamat yang disasarkan.



     Integriti merujuk kepada ciri-ciri positif yang wujud sama ada dalam diri seseorang individu, ataupun sesebuah organisasi. Jika dinilai dari aspek individu, integriti merujuk kepada bagaimana seseorang individu itu mampu memilih nilai-nilai positif dalam dirinya sehinggakan ianya mempengaruhi segala tindak-tanduk serta pemikirannya walaupun keuntungan tidak menyebelahi dirinya. Ia juga sebenarnya lebih kepada sifat kejujuran seseorang indidvidu dalam melaksanakan setiap tingkah lakunya. Manakala dari aspek organisasi pula, integriti lebih menekankan amalan moral yang tinggi dan perlu ada dalam sesebuah organisasi. Hal ini merujuk kepada kebersamaan dan kesepaduan yang perlu ditonjolkan dalam organisasi bagi memastikan matlamat organisasi tercapai tanpa mengetepikan nilai, norma dan budaya masyarakat sekeliling. Dari aspek istilah 'good governan', integiriti sememangnya perlu ada dan perlu ditanam dalam setiap individu yang terdapat dalam sesebuah organisasi. Sistem organisasi yang baik berpunca daripada pengurusan yang amanah dan mengamalkan nilai-nilai moral yang tinggi dalam melaksanakan tugasnya. Ia ibarat memberi sebuah epal yang baik kepada seseorang individu untuk disampaikan kepada fakir miskin. Dan individu tersebut perlu memberikan sebuah epal yang baik juga kepada si fakir miskin tanpa mengubah dan memakannya walau segigit pun.

     Telus merupakan satu istilah popular terutamanya dalam sistem pentadbiran sesebuah negara. Ketelusan (transparensi) merupakan satu sifat berterus-terang, kejujuran dan ikhlas dalam sesuatu tindakan tidak kira oleh individu mahupun organisasi. Seseorang individu atau sesebuah organisasi perlu sentiasa konsistan dengan setiap tindakannya bagi mencerminkan ketelusannya. Hal ini bagi mengelak daripada orang lain atau ahlinya berfikir dan memberikan pandangan yang negatif kepada diri mahupun kepada sesebuah organisasi. Sebagai contoh, jika sesebuah organisasi melancarkan satu program bersifat keagamaan yang bermatlamat mewujudkan perpaduan ummah, tetapi mereka telah menyelitkan konsert hiburan yang melalaikan, maka ketelusan tidak wujud di situ kerana timbulnya keraguan dalam kalangan pengunjung mahupun orang ramai. Dari segi 'good governan' istilah ketelusan itu penting kerana pengurusan yang telus melambangkan organisasi yang baik dan tersusun yang mampu mencerminkan keadilan dan kesaksamaan kepada ahlinya. Ia juga bagi memastikan tidak ada pihak-pihak tertentu dalam organisasi meraih keuntungan yang lebih bersifat peribadi.

     Penglibatan ahli cukup penting bagi memastikan sesebuah organisasi mampu mencapai status 'good governan'. Penglibatan atau partisipansi merujuk kepada satu tindakan sukarela individu dan melaluinya individu tersebut mengambil peluang dan memikul tanggungjawab secara bersama. Dalam konteks 'good governan', hal ini boleh dijelaskan dengan penyertaan setiap ahli di bawah organisasi tersebut demi mencapai matlamat yang disasarkan tanpa melanggar sistem undang-undang serta nilai dan norma yang diamalkan oleh ahlinya. Penglibatan ahli juga sebenarnya boleh mencerminkan sejauhmana baiknya pengurusan organisasi tersebut.

     Secara keseluruhan, walaupun matlamat organisasi kebanyakannya berorientasikan suatu kejayaan dan ianya berjaya atau hampir dicapai, ia sebenarnya belum tentu mencerminkan betapa baiknya pengurusannya. Jika dilihat dalam konteks dunia hari ini, telah banyak juga organisasi yang melakukan penyelewengan. Penyelewengan di sini merujuk kepada tidak berlandaskan peranannya yang utama dalam mencapai matlamat. Terdapat juga, organisasi yang menkalankan tugasnya dengan baik dan boleh dianggap sebagai 'good governan', namun malangnya, atas desakan dan pengaruh-pengaruh asing, organisasi tersebut dipandang negatif. Walau bagaimana sekalipun, penekanan kepada empat elemen utama tersebut itu penting dan setiap organisasi yang wujud perlulah mengamalkannya walaupun menghadapi pelbagai ancaman dan halangan tertentu. Hal ini tidak lain adalah untuk memastikan pencapaian matlamat mampu diiringi dengan kegembiraan dan kesejahteraan setiap ahlinya.


Rujukan :




Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, January 10, 2012

HAZREEQ & ARNI | Mohd Nur Syufaat






Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

ASWAD & SITI | Mohd Nur Syufaat








Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, January 9, 2012

Cekodok Pisang


Cekodok yang berada di sisi
Penambah seri diufuk pagi
Yang mencerminkan keindahan
Tatkala mengenang suatu kenangan

Satu persatu ku jamah
Hingga keri tidak terkata
Apabila sambal ku cicah
Yang tadinya ku siram limpah

Jemariku kian menggaris luka
Pen kuning mencarut-carut
Peristiwa lalu cukup mengusik
Sinaran kelam ku terasa asyik

Cekodok pisang sedia meneman
Di samping teh O ais pembasah lidah
Ku lihat ke kiri dan ke kanan
Mencari-cari idea untuk berlidah

Kini tinggal empat biji
Ianya masih menanti
Untuk dijamah si penyibuk
Sejuk hilang ditelan si cekodok


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)