I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, March 19, 2012

Warisan : Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu

Sumber : Google.com.my

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu merupakan salah satu kesan peninggalan penjajahan British di Tanah Melayu yang menggambarkan kemuncak kegemilangan pembangunan bagi keretapi Tanah Melayu. Bangunan tersebut yang terletak di Jalan Sultan Hisamudin, Kuala Lumpur ini mula dibina pada tahun 1914 dan siap sepenuhnya pada tahun 1917. Bangunan ini miliki sepenuhnya oleh pihak kerajaan Persekutuan dan juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan masih dipulihara sehingga ke hari ini.

Bangunan bersejarah ini telah direkabentuk oleh seorang arkitek British iaitu Athur Benison Hubback yang bertugas sebagai pemangku arkitek di Jabatan Kerja Raya Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga telah merekabentuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang telah dibina pada tahun 1907. Sebelum beliau berkhidmat di Tanah Melayu pada tahun 1901, beliau telah berkhidmat di India. Dengan pengalaman yang ada, beliau juga pernah menerima tawaran daripada pihak Hong Kong untuk merekabentuk sebuah stesen keretapi di Kowloon pada tahun 1912.

Sumber : Google.com.my

Dari segi sejarah pembinaannya, pada tahun 1913, pihak British menawarkan Athur Benison Hubback untuk mereka bentuk sebuah ibu pejabat khas bagi pengurusan Keretapi Tanah Melayu yang terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu. Pembinaannya yang mengambil masa selama hampir tiga tahun itu sebenarnya telah tergendala akibat daripada Perang Dunia Pertama yang berlaku pada tahun 1914 sehingga 1918. Ketika itu, kontraktor yang menguruskannya adalah Ang Seng. Anggaran kos pembinaan bangunan tersebut menelan belanja sebanyak $780,422 (dolar negeri selat) dan telah diaudit pada tahun 1917 iaitu setelah sempurna pembinaannya.

Jika dilihat dari segi kesenian rekabentuknya, bangunan ini lebih bercirikan kesenian masyarakat Morish iaitu masyarakat Islam yang melambangkan keagungan kerajaan Mogul dan Ottoman pada abad ke 13 dan 14. Pengaruh senibina Morish ini banyak terdapat di India sebagai contoh di bangunan-bangunan kerajaan, masjid atau rumah-rumah ibadat dan lain-lain.

Sebagai sebuah bangunan yang bertentangan dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur, banyak sejarah yang telah tercipta di persekitaran kawasan tersebut. Antaranya pada tahun 1946, perhimpunan secara besar-besaran telah diadakan bagi membantah dan memulau perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union di Tanah Melayu. Penentangan ini berlaku akibat daripada penubuhan Malayan Union yang telah memusnahkan kuasa Raja-Raja Melayu dan juga hak orang Melayu sebagai penduduk bumiputera.

Bukan itu sahaja, bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu juga menjadi saksi akan satu perhimpunan besar-besaran sekali lagi. Pada 20 Januari 1961, kebanjiran masyarakat di kawasan tersebut adalah bertujuan untuk menyambut kepulangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah Ibni Al-Marhum Tengku Ismail setelah berkunjung ke luar negara selama enam minggu.

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga pernah dilawati oleh rombongan Pengurus Besar Keretapi Thai (RSR) pada 18 Julai 1984. Rombongan tersebut merupakan wakil persidangan bersama antara KTM dengan RSR yang membincangkan tentang perkongsian perkara berkaitan teknologi, pentadbiran dan juga kejuruteraan.

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu ini telah mengalami dua kerosakan teruk yang hampir memusnahkan keseluruhan bangunan tersebut. Kerosakan besar yang pertama dilaporkan berlaku semasa Perang Dunia Kedua di bahagian utara bangunan akibat terkena bom manakala kerosakan kedua pula juga berlaku di tempat yang sama, tingkat kedua akibat daripada kebakaran yang berlaku pada 14 November 1968.

Sumber : Google.com.my
Walau bagaimanapun, pemuliharaannya tetap dilakukan bagi mengekalkan warisan seni bina bangunan tersebut untuk tatapan generasi masa kini. Salah satu langkah pemuliharaannya adalah dengan penyenaraian Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu di dalam Sistem Daftar Warisan bagi kategori Tapak Warisan Kebudayaan Negara.


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)