I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, March 29, 2012

Penari Tiang dihukum RM25

Sumber : Google.com
Hari ini, 29 Mac 2012, sedang kecoh mengenai berita sensasi di atas. Tidak kira di media cetak mahupun di media elektronik termasuk laman sosial, blog dan sebagainya. Ramai yang memberikan pendapat dan pandangan yang masing-masing ternyata berbeza. Ada yang mencemuh, ada yang mengata dan tidak kurang juga memberi nasihat kepada pihak yang berkenaan.

Dalam Islam sememangnya memandang jijik segala perlakuan yang sia-sia seperti 'menari di tiang' seperti ini. Lebih-lebih lagi mereka ini terdiri daripada golongan wanita dan  mendedahkan aurat. Mereka bukan sahaja mendedahkan aurat, malah turut juga beraksi ghairah di hadapan penonton-penontonnya yang kebanyakannya lelaki. Memang itulah resam dunia masa kini. Tiada lagi rasa malu dan segan untuk menunjukkan betapa dirinya itu adalah dirinya sendiri yang kononnya tidak hipokrit. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan. Mereka adalah tertuduh beragama Islam yang pertama di Negeri Sembilan disabitkan kesalahan melakukan tarian tiang di bawah akta tersebut. Hanya membayar RM25 atau dipenjara 14 hari, ramai yang mengatakan bahawa hukuman yang diberikan adalah tidak wajar dan tidak akan mampu memberikan ketiga-tiga mahkluk yang bergelar perempuan itu suatu kesedaran. Hanya RM25 dan penjara 14 hari. Itu sememangnya langsung tidak wajar untuk memberi pengajaran kepada mereka dan kepada seluruh umat manusia.

Walaupun begitu sedar atau tidak sedar, hukuman tersebut telah mencelikkan mata masyarakat manusia akan perlakuan yang sumbang tersebut. Kebanyakan daripada masyarakat mula jijik dengan aktiviti negatif dan sia-sia itu dengan memandang rendah si pelakunya serendah-rendahnya. Secara psikologinya, mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman ini akan menyebarkan isu ini dengan cara tertentu dan akhirnya akan meresap masuk ke dalam masyarakat sedikit demi sedikit. Alangkah indahnya sekiranya seluruh rakyat Malaysia memandang jijik dan keji aktiviti tdak bermoral tersebut. Hanya dengan hukuman RM25.

Bukan itu sahaja, hukuman RM 25 juga sebenarnya telah menjadikan ketiga-tiga perempuan tersebut merasakan diri mereka sangat rendah martabatnya. Ya, dengan nilai RM25, memang itulah yang layak baginya. Semoga mereka dan masyarakat mampu menilainya sebagai satu jumlah yang sama dengan harga diri terutamanya seorang perempuan apabila melakukan kegiatan yang memalukan itu.

Sumber : Google.com

RM 25 juga menunjukkan bahawa nilai yang sama sahaja dari segi hukuman. Tidak kira ianya beratus ribu sekalipun, ia sebenarnya sama sahaja. Persoalan di sini adalah, insafkah mereka yang menerima hukuman itu? Dengan hukuman beratus ribu, adakah ianya mampu mengubah mereka ke jalan yang lurus? Mungkin ya. Tetapi adakah benar-benar berkesan? Wallahualam...Berbalik semula kepada hati mereka sendiri.

RM25, nilai yang sedikit bagi kita untuk tindakan mereka yang sungguh memalukan masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, yakinlah dengan azab Allah SWT. Mereka boleh terlepas dengan hukuman dunia yang 'ringan' ini. Pastinya Allah tidak akan melepaskannya daripada menerima hukuman yang penuh azab di akhirat kelak.

Jadilah seorang umat yang taat menurut segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan kes ini mampu membuka minda kita dan seterusnya menjadi iktibar buat kita sesama umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perlakuan kita di dunia yang fana ini.

Sumber : Google.com


Sesungguhnya, sebaik-baik perhiasan dunia itu adalah wanita solehah...

Disediakan Oleh :

Mohd Nur Syufaat 
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia


Sunday, March 25, 2012

Ketakselamatan Makanan

Sumber : Google.com
Ketakselamatan makanan merujuk kepada suatu yang terhad atau ketidakpastian tentang kewujudan makanan yang cukup dan selamat atau kemampuan untuk mendapatkan makanan dalam cara yang dibenarkan oleh sosial. Hal ini bermakna, ianya boleh dijelaskan lagi dengan beberapa aspek iaitu makanan tidak cukup, kekurangan zat makanan, kuantiti pengambilan makanan dan juga keracunan makanan. Keempat-empat aspek ini memperihalkan tentang bagaimana seseorang manusia itu boleh dikategorikan sebagai sipemakan makanan yang tidak selamat. 

Dari aspek makanan yang tidak cukup, ianya dapat digambarkan dengan melihat contoh di mana terdapat sesebuah masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, kemunduran, dan sebagainya mudah dijangkiti penyakit. Punca utama berlakunya hal seperti ini adalah menerusi makanannya. Adakah makanan mereka mencukupi untuk menampung semua orang? Dan apabila makanan tidak mencukupi, adakah ianya selamat untuk dimakan kerana mungkin makanan tersebut dicatu dan disimpan terlalu lama. Keadaan seperti ini jelas boleh menyebabkan ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com

Selain itu, ketakselamatan makanan juga melibatkan aspek kekurangan zat makanan. Makanan yang sihat merupakan makanan yang cukup zat dan berkhasiat. Seeorang itu boleh terkena penyakit sekiranya pengamalan makanan yang sihat dan berzat tidak diamalkan. Hal ini kerana, sistem badan manusia memerlukan zat dan protein di samping vitamin sebagai penguat dan pelengkap kepada badan. Zat, protein dan juga vitamin akan hanya diperolehi dengan pemakanan. Sistem amalan yang sihat boleh dilihat dari piramid makanan yang sedia menunjukkan bagaimana pengambilan makanan yang betul dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badan. Piramid makanan juga mampu mengelak daripada ketakselamatan makanan. 

Sumber : Google.com
Hal ini berbeza dengan aspek kuantiti makanan. Kuantiti makanan merujuk kepada berapa banyak seseorang itu mengambil makanan. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana adalah boleh dikategorikan sebagai selamat. Jika kuantiti makanan yang diambil terlalu kurang, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kusta, kekurusan yang melampau dan sebagainya. Ia juga boleh dikategorikan sebagai ketakselamatan makanan. Hal ini juga berlaku apabila seseorang individu itu mengambil makanan secara berlebihan. Ia juga mampu menyebabkan masalah kesihatan seperti masalah obesiti, kegemukan, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini juga boleh dikatakan sebagai ketakselamatan makanan. 

Dari aspek keracunan makanan pula, ia dapat dilihat melalui pencemaran yang berlaku ke atas makanan tersebut. Makanan boleh tercemar apabila kandungan makanan tersebut mengandungi bakteria dan juga virus yang berbahaya akibat daripada makanan yang terdedah dengan serangga, pencampuran makanan dengan bahan2 kimia yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Makanan yang telah tercemar ini apabila dimakan akan menyebabkan sistem tubuh sipemakan akan terganggu dan juga boleh membunuh imunisasi badan yang tidak mampu mempertahankan tubuh daripada terkena penyakit. Seseorang itu akan dikesan mengalami keracunan makanan apabila muntah-muntah, cirit-birit, demam secara tiba-tiba, lemah sendi, kulit kemerah-merahan dan sebagainya. Dengan ini makanan yang tercemar atau keracunan makanan sememangnya tidak dapat disangkal lagi, tergolong dalam golongan ketakselamataan makanan.

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, March 19, 2012

Warisan : Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu

Sumber : Google.com.my

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu merupakan salah satu kesan peninggalan penjajahan British di Tanah Melayu yang menggambarkan kemuncak kegemilangan pembangunan bagi keretapi Tanah Melayu. Bangunan tersebut yang terletak di Jalan Sultan Hisamudin, Kuala Lumpur ini mula dibina pada tahun 1914 dan siap sepenuhnya pada tahun 1917. Bangunan ini miliki sepenuhnya oleh pihak kerajaan Persekutuan dan juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan masih dipulihara sehingga ke hari ini.

Bangunan bersejarah ini telah direkabentuk oleh seorang arkitek British iaitu Athur Benison Hubback yang bertugas sebagai pemangku arkitek di Jabatan Kerja Raya Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga telah merekabentuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang telah dibina pada tahun 1907. Sebelum beliau berkhidmat di Tanah Melayu pada tahun 1901, beliau telah berkhidmat di India. Dengan pengalaman yang ada, beliau juga pernah menerima tawaran daripada pihak Hong Kong untuk merekabentuk sebuah stesen keretapi di Kowloon pada tahun 1912.

Sumber : Google.com.my

Dari segi sejarah pembinaannya, pada tahun 1913, pihak British menawarkan Athur Benison Hubback untuk mereka bentuk sebuah ibu pejabat khas bagi pengurusan Keretapi Tanah Melayu yang terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu. Pembinaannya yang mengambil masa selama hampir tiga tahun itu sebenarnya telah tergendala akibat daripada Perang Dunia Pertama yang berlaku pada tahun 1914 sehingga 1918. Ketika itu, kontraktor yang menguruskannya adalah Ang Seng. Anggaran kos pembinaan bangunan tersebut menelan belanja sebanyak $780,422 (dolar negeri selat) dan telah diaudit pada tahun 1917 iaitu setelah sempurna pembinaannya.

Jika dilihat dari segi kesenian rekabentuknya, bangunan ini lebih bercirikan kesenian masyarakat Morish iaitu masyarakat Islam yang melambangkan keagungan kerajaan Mogul dan Ottoman pada abad ke 13 dan 14. Pengaruh senibina Morish ini banyak terdapat di India sebagai contoh di bangunan-bangunan kerajaan, masjid atau rumah-rumah ibadat dan lain-lain.

Sebagai sebuah bangunan yang bertentangan dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur, banyak sejarah yang telah tercipta di persekitaran kawasan tersebut. Antaranya pada tahun 1946, perhimpunan secara besar-besaran telah diadakan bagi membantah dan memulau perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union di Tanah Melayu. Penentangan ini berlaku akibat daripada penubuhan Malayan Union yang telah memusnahkan kuasa Raja-Raja Melayu dan juga hak orang Melayu sebagai penduduk bumiputera.

Bukan itu sahaja, bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu juga menjadi saksi akan satu perhimpunan besar-besaran sekali lagi. Pada 20 Januari 1961, kebanjiran masyarakat di kawasan tersebut adalah bertujuan untuk menyambut kepulangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah Ibni Al-Marhum Tengku Ismail setelah berkunjung ke luar negara selama enam minggu.

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga pernah dilawati oleh rombongan Pengurus Besar Keretapi Thai (RSR) pada 18 Julai 1984. Rombongan tersebut merupakan wakil persidangan bersama antara KTM dengan RSR yang membincangkan tentang perkongsian perkara berkaitan teknologi, pentadbiran dan juga kejuruteraan.

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu ini telah mengalami dua kerosakan teruk yang hampir memusnahkan keseluruhan bangunan tersebut. Kerosakan besar yang pertama dilaporkan berlaku semasa Perang Dunia Kedua di bahagian utara bangunan akibat terkena bom manakala kerosakan kedua pula juga berlaku di tempat yang sama, tingkat kedua akibat daripada kebakaran yang berlaku pada 14 November 1968.

Sumber : Google.com.my
Walau bagaimanapun, pemuliharaannya tetap dilakukan bagi mengekalkan warisan seni bina bangunan tersebut untuk tatapan generasi masa kini. Salah satu langkah pemuliharaannya adalah dengan penyenaraian Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu di dalam Sistem Daftar Warisan bagi kategori Tapak Warisan Kebudayaan Negara.


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)