I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, December 21, 2010

Hari Terakhir Persekolahan Di SASJ 2010

Assalamualaikum w.b.t. kepada semua pembaca yang menyudikan diri untuk membaca blog kami. Setelah lebih sebulan saya tidak meng'post' di blog ini, akhirnya saya kembali dengan satu pengalaman menarik sepanjang cuti semester yang lepas.

Pada kebiasaannya, cuti semester saya isikan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan boleh memberi manfaat kepada saya serta keluarga. Antaranya ialah menebas semak samun di kebun belakang rumah, bermain badminton, memancing bersama sifu (saya la tu) dan memasak (andai diperlukan). 

Selain itu juga, saya isikan masa cuti saya dengan mengambil gambar kepada sesiapa saja yang memerlukan. Sepanjang cuti tersebut, adalah dua pihak yang memerlukan jurugambar seperti saya (belum mahir lagi) iaitu emak saya, selaku salah seorang guru di Sekolah Agama Setia Jaya di Kampung Parit Haji Ali, Parit Raja. Manakala yang seorang lagi ialah bakal pengantin yang melangsungkan perkahwinannya di Ulu Dengar, Kluang. Tetapi, untuk jurugambar perkahwinan tersebut telah dikendalikan oleh rakan saya (jiran sebelah rumah) yang lebih mesra dipanggil Daus.

Namun halnya bukanlah saya ingin berkongsi tentang gambar perkahwinan tersebut, tetapi saya ingin kongsikan tentang gambar yang saya telah ambil di Sekolah Agama Setia Jaya. Saya telah menggunakan kamera Sony DSLR a230 kepunyaan Daus yang sudi memberi pinjam kamera kesayangannya itu. Dan inilah antara hasilnya...



nyummm3...makan free beb...hehe



Keceriaan jelas terpancar...nak cutila katerkan...



Namanya Yassin...happy go lucky orangnye...



Best!!!...makan kek potong...



Saya sayang kawan saya



Tenaga kerja SASJ (ustazah semuanya)



Inilah anak murid kesayangan emak saya...Tahun depan tak jumpe lagi dah...



Muka kelaparan tatkala diberi mee goreng sepinggan...


Sekian sahajalah perkongsian pengalaman saya kepada anda. Terima kasih sekali lagi kerana sudi membaca blog saya. Salam perjuangan dan selamat maju jaya...(",)




Disediakan oleh

Mohd Nur Syufaat
HM Production

Monday, November 8, 2010

Kenapa Aku Dijadikan Begini?




'Kepala batu!' Perkataan itulah yang sering aku dengari hampir setiap hari. Tidak kiralah siapa yang mendengarnya, ahli keluargaku dan juga termasuklah saudara-mara ku, di mana jua mereka berada, pasti akan mendengar perkataa-perkataan yang cuba dikaitkan dengan 'batu'. 'Batu bata', 'jambu batu', batu kerikil', batu permata', malah ade juga yang mengaitkan batu dengan jerawat. Ada ke patut? Oh, manusia. Kenapa jadi seperti itu? Entahlah, aku pun tidak mengerti...

Perkataan-perkataan seperti itu selalu diucapkan oleh makhluk bergelar 'manusia'. Mungkin mereka berbuat demikian kerana merujuk kepada kekerasan tubuh badanku yang sentiasa kaku membisu. Tapi, mengapa aku dijadikan sebegitu rupa? Mengapa mereka menggunakan perumpamaan aku sebagai bahan ucapan mereka? Aku bukan bernyawa, apatah lagi untuk bergerak. Berkata-kata pun aku tidak tahu bagaimana. Hanya suara hati yang boleh aku lontarkan.

         
          
Kenapa aku dijadikan begini. Sudahlah tidak bernyawa, berkata-kata pun tidak mampu. Selalu juga aku fikirkan perkara ini. Berfikir dan terus berfikir. Makhluk ciptaan yang lain seperti manusia, haiwan dan tumbuhan masing-masing bernyawa, membiak dan memerlukan makanan. Tapi aku? Aku juga makhluk juga, ciptaan Tuhan. Tapi, mengapa aku tidak sama sifatnya dengan mereka-mereka yang boleh tumbuh membiak? Sedangkan aku? Hanya kaku seribu bahasa membatu di situ dan bergerak apabila disepak.

Walau bagaimanapun, apabila aku fikir, fikir dan terus berfikir mengenai asal-usul kejadian ku ini, aku merasakan ada hikmah disebaliknya. Aku tidak kisah, kerana aku ada Allah. Allah sahajalah tempat aku mengadu kerana setiap kata-kata hatiku ini pasti didengari Allah. Boleh dikatakan kata-kata hatiku ini selalu berzikir dan sentiasa mensyukuri dengan nikmat yang melimpah-ruah kepada ku. Aku juga memohon keampunan untuk umat manusia yang beriman dan bertaqwa kepada-Nya. Amar makruf, nahi munkar. Allah sahajalah yang selalu menemaniku. Bukan diriku sahaja, malah semua mahkluk yang ada di muka bumi ini sentiasa ditemani oleh Allah.

Walaupun aku dijadikan begini, aku tahu aku ada banyak kelebihan dan kegunaannya. Aku juga sentiasa beranggap bahawa setiap mahkluk di muka bumi ini ada kelebihan dan kekurangannya masing-masing dan saling memerlukan antara satu sama lain. Keadaan itu sebenarnya untuk mereka saling melengkapi dalam memastikan sistem yang terdapat dalam masyarakat manusia mahupun ekosistem alam menjadi seimbang dan saling berhubungan antara satu sama lain.

Aku bersyukur kerana aku tak bergerak. Aku tahu, jika aku bergerak, pasti disuatu masa nanti aku tersilap langkah. Allah pasti murka. Aku bersyukur kerana aku tak berkata-kata. Aku tahu jika aku berkata-kata, sudah tentu aku tidak akan terlepas dari mengumpat, menghina, cerca-mencerca, dan sebagainya walaupun hanya sekelumit. Aku takut, nanti Allah murka dan akan menjauhi dari diriku. Susah pula untuk kata hati ini didengari-Nya nanti. Aku bersyukur kerana aku tidak dikurniakan akal, kerana aku takut jika aku mempunyai akal nanti, aku akan cuba gunakannya untuk mengkhianati makhluk-mahkluk lain. Pasti Allah akan terus-terusan menjauhi dari diriku. Pati aku akan sedih lalu berasa tidak berguna lagi...




Aku tetap bersyukur kerana aku dijadikan sebagai sebiji batu...


Nukilan Daripada

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Ahli Sosiologi Desa
HM Production

Friday, November 5, 2010

GAY DI MALAYSIA



PENGENALAN

Pengenalan

Proses globalisasi yang telah mempengaruhi dan mentransformasikan institusi ekonomi dan sosial negara telah banyak mengubah lanskap pembangunan negara Malaysia. Proses globalisasi yang menjadikan Malaysia sebuah negara membangun dan stabil ini telah membawa banyak pengaruh-pengaruh luar. Keadaan ini telah menimbulkan satu suasana yang menampilkan sikap individualisme, materialisme, dan juga budaya hedonisme yang sangat tinggi dalam masyarakat khususnya masyarakat di bandar-bandar besar. Hal ini semakin dibimbangi apabila wujudnya satu lagi gejala sosial yang tidak bermoral dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu homoseksual.

Hari ini, gejala tersebut begitu berleluasa dan bukan lagi tertumpu di negara sekular malah merebak ke seluruh negara Islam termasuklah Malaysia. Saiz komuniti homoseksual kini boleh dikatakan sebagai satu angkatan yang seakan tidak terhalang ledakannya (Utusan Malaysia 28 Februari 2010). Homoseksual merupakan satu lagi masalah sosial yang melanda nagara Malaysia pada hari ini. Masalah sosial ini sememangnya boleh dikatakan semakin serius dalam kalangan masyarakat tempatan. Hal ini dapat dilihat apabila individu-individu mengamalkan hubungan ini semakin tidak segan dan silu menonjolkan diri sebenar mereka terhadap khalayak umum. Tidak kira mereka berjantina lelaki ataupun perempuan, mereka sudah tidak mempedulikan lagi pandangan serong masyarakat.



FENOMENA DI MALAYSIA

Fenomena Di Malaysia

Pandangan serong masyarakat terhadap golongan gay di Malaysia semakin menebal. Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak cukup untuk mengatasi masalah tidak bermoral ini kerana jika kita lihat pada ketika ini, hubungan homoseksual dalam kalangan lelaki semakin diiktiraf oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini ditambah lagi dengan berleluasanya aktiviti-aktiviti terancang dengan adanya beberapa kelab dan pertubuhan yang menawarkan perkhidmatan kepada ahlinya (Mohamad Shatar Sabran 2003:134-135).

            Dengan adanya kemudahan internet di negara ini, mereka lebih bergerak ‘maju’. Bagi menggalakkan dan menyebarluaskan aktiviti yang dirancang oleh mereka yang tidak bermoral ini, laman-laman web telah diwujudkan bagi mendukung matlamat tersebut. Bukan itu sahaja, malah mereka juga mencuba untuk menyebarkan aktiviti tidak bermoral mereka di laman sosial seperti di Facebook, Twiter, Friendster dan sebagainya bagi mendapat sokongan dan penyertaan.

Dalam konteks negara Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam, hubungan homoseksual ini memang dipandang serong oleh masyarakat. Namun, ianya menjadi semakin parah apabila bilangan mereka semakin bertambah dan masyarakat semakin lali dengan perkara ini. Bukan itu sahaja, mereka juga sudah mula berani menonjolkan diri mereka sebagai seorang gay mahupun lesbian dengan berpimpin tangan berpelukan dan ada juga yang berciuman di khlayak ramai antara jantina yang sejenis, kebanyakan daripada mereka adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Hal ini amat membimbangkan seluruh masyarakat Islam di Malaysia khususnya kerana agama Islam mengharamkan hubungan sejenis ini dengan menyifatkan ianya lebih berat hukumannya berbanding dengan dosa seorang pembunuh. Dalam Islam itu sendiri telah menegaskan bahawa hukum fitrah kejadian manusia adalah berasal dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan hidup secara berpasangan.

Terdapat juga kes yang telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia dengan penangkapan seorang pengawal keselamatan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu yang didapati bersalah menyebarkan gambar tidak senonohnya melakukan hubungan seks sejenis di internet. Tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 233(1) (a) (i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Lebih memalukan apabila tertuduh yang sudah berumahtangga dan mempunyai enam orang anak itu telah menyebarkan aksi tersebut sejak tiga tahun lalu untuk mencari pelanggan. Persoalannya di sini, mengapakah masalah sosial ini kian melarat di negara Islam sepeti Malaysia? Adakah kelemahan penguatkuasaannya yang menjadi punca utama?




DEFINISI GAY

Definisi Gay

Secara umumnya, homoseksual merupakan hubungan seks yang dijalinkan antara seseorang dengan seseorang yang lain yang masing-masing mempunyai jantina yang sama. Menurut pakar Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Hatta Sidi menyatakan bahawa homoseksual adalah orientasi seksual yang membawa kepada perlakuan tingkah laku, hayalan, dan kecenderungan minat terhadap jantina sejenis (Utusan Malaysia 26 Januari 2001). Selain itu, terdapat juga pakar perubatan dari Indonesia, Dr. Sarlito Wirawan Sarwono mendefinisikan homoseksual sebagai hubungan seks antara dua orang yang mempunyai sama jenis alat kelaminnya.

            Homoseksual ini terbahagi kepada dua hubungan iaitu hubungan gay dan juga hubungan lesbian. Hubungan gay adalah merujuk kepada hubungan homoseksual yang dilakukan oleh mereka yang berjantina lelaki sahaja. Walaupun secara umumnya mereka yang mengamalkan hubungan tersebut adalah terdiri daripada lelaki dan mereka saling suka menyukai antara satu sama lain, terdapat juga segelintir daripada mereka yang turut menyukai gender yang lain iaitu perempuan. Hal ini telah terbukti apabila seorang lelaki yang sudah berumahtangga dan memiliki beberapa orang anak telah mengaku bahawa dia merupakan seorang gay dan sering melakukan hubungan jijik tersebut tanpa pengetahuan isteri dan anak-anaknya.

            Agama Islam telah mengharam dan mengutuk sekeras-kerasnya pengamalan hubungan sejenis ini sehinggakan tokoh dan ulama Islam seperti Sheikh al-Islam, Imam Malik dan juga Imam Syafie telah memutuskan bahawa agama Islam tidak membenarkan hubungan homoseksual ini dan menetapkan hukuman bunuh terhadap sesiapa yang mengamalkannya secara hukum hudud.
           


KATEGORI GAY

Kategori Gay

Gay mempunyai kategorinya yang tersendiri. Secara umumnya, hubungan gay boleh terbahagi kepada lima kategori. Kategori yang pertama adalah trade homosexual yang merujuk kepada golongan gay yang sudah berkahwin atau yang sudah bercerai. Dalam kategori ini kebanyakan daripada mereka berpendapatan rendah dan terdiri daripda individu yang bekerja dalam kumpulan bawahan seperti kerani, tukang cuci, pembantu rumah dan sebagainya. Golongan gay yang berada dalam kategori ini sebenarnya langsung tidak mempunyai rasa cinta dan sayang terhadap pasangan masing-masing. Mereka hanya ingin melampiaskan nafsunya semata-mata. Mereka juga sering bertukar pasangan kerana sudah menjadi lumrah lelaki kerana mempunyai keinginan seks yang begitu besar.

            Bagi kategori yang kedua pula, mereka terdiri daripada golongan yang belum berkahwin dan berpendapatan rendah. Hal ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan mereka yang tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik. Mereka juga boleh dianggap bermasalah dalam pembelajaran formal di sekolah dan cenderung melakukan salahlaku disiplin. Selain itu, mereka ini mempunyai perwatakan sebagai lelaki sejati yang memiliki tubuh yang sasa dan wajah yang tampan. Oleh hal yang demikian, mereka tidak menonjolkan identity mereka sebagai seorang yang homoseksual kepada masyarakat umum. Kategori ini dinamakan closet queen.

            Kategori yang seterusnya adalah ambisexuals. Kebanyakan daripada mereka daripada kategori ini adalah terdiri daripada golongan atasan yang mempunyai jawatan yang tinggi dan berpendapatan sederhana dan ke atas. Bagi kategori ini, mereka keinginan mereka untuk melakukan seks adalah tidak terbatas. Mereka tidak mengira jantina pasangan seksualnya kerana mereka hanya mementingkan kepuasan seks sahaja.

            Kategori yang keempat pula ialah gay guys. Mereka yang berada dalam kategori ini lebih suka menonjolkan dirinya sebagai seorang pengamal homoseksual kepada umum. Kewujudan kelompok bagi kategori ini boleh dikesan melalui tingkah lakunya yang seakan-akan perempuan. Sebagai contoh, ia dapat dilihat melalui percakapan, jelingan dan juga pakaiannya yang seakan-akan perempuan. Mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan tinggi dan juga pada kebiasaannya mereka berstatus bujang. Bagi kategori ini, ia telah banyak berlaku dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta.

            Kategori yang terakhir bagi hubungan gay yang dapat kita lihat pada hari ini adalah situational homosexuals. Kategori ini merujuk kepada golongan gay yang ‘terpaksa’ menjadi pengamal homoseksual kerana atas faktor-faktor tertentu. Sebagai contoh dalam faktor kemiskinan, seseorang itu terpaksa mencari jalan mudah bagi memperoleh sumberpendapatan tidak kira melalui jalan betul mahupun salah. Dalam kontek gay ini, mereka menjadi gay kerana terdesak dan ingin memperoleh wang dengan cepat. Selain faktor ekonomi, faktor persekitaran juga mempengaruhi di mana seseorang yang bersekolah di asrama penuh yang mempunyai satu gender sahaja akan terdorong untuk melakukannya sekiranya didesak ataupun dipengaruhi oleh rakan sebaya (Mohamad Shatar Sabran 2003:133-134).




HURAIAN SOSIOLOGIKAL

Huraian Sosiologikal

Fenomena gay yang semakin berleluasa pada hari ini sememangnya membimbangkan. Penularan masalah ini adalah akibat beberapa faktor. Salah satu faktor penularan gejala ini boleh dilihat dari aspek hubungan sosial. Dalam hal gay ini, seorang lelaki akan terdorong untuk menaruh harapan dan mula memutik rasa sayang apabila merasakan dirinya sering diberi perhatian oleh kaum sejenis. Selain itu, hubungan sosial juga melibatkan pergaulan bebas dengan mereka yang bergelar homoseksual. Keadaan ini sedikit sebanyak dapat mempengaruhi sesiapa sahaja untuk terjebak ke dalam kancah gay.

            Selain hubungan sosial, faktor kecelaruan gender juga merupakan penyebab masalah penularan gejala gay ini. Kecelaruan gender merujuk kepada identiti yang tidak jelas yang dihadapi oleh segelintir masyarakat sahaja. Akibat daripada kekeliruan tersebut, mereka dengan mudah memilih untuk menampilkan diri dengan identiti jantina sebaliknya. Masyarakat yang tidak memahami faktor masalah sebegini akan membuatkan mereka lebih terdorong kearah perlakuan tersebut sebagai jalan hidup mereka.

            Secara psikologikal, seseorang lelaki akan terdorong untuk melibatkan diri dalam masalah tersebut sekiranya ada elemen-elemen lain yang boleh mempengaruhinya. Faktor psikologi ini juga melibatkan interaksi keluarga, pengalaman seksual, dan peniruan kepada  watak dan perwatakan jantina yang berlawanan. Jika kita lihat melalui interaksi keluarga contohnya, sesebuah keluarga yang mempunyai anak perempuan yang ramai dan juga seorang sahaja anak lelaki sebenarnya lebih cenderung untuk terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini. Hal ini kerana berkemungkinan besar ibu bapa yang memiliki situasi tersebut akan cenderung melayan semua anak-anaknya secara majoriti iaitu keperempuanan. Keadaan ini yang dilakukan sejak dari kecil akhirnya akan terbawa-bawa apabila dewasa (Mohamad Shatar Sabran 2003:134-135).


 Hasil Nukilan

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
HM Production
Ahli AnSos
(Antropologi Dan Sosiologi)

Tuesday, November 2, 2010

Kenangan Aidilfitri Edit

Assalamualaikum...

Salam sejahtera kepada sahabat semua yang sudi membaca blog ini. Saya hanya ingin berkongsi dengan para pembaca dengan kenangan di Aidilfitri saya bersama keluarga. Dengan adanya foto yang telah berjaya saya tangkap menggunakan kamera kompak saya berjenama Samsung jenis ES65, saya telah meng'edit' gambar-gambar yang terpilih berdasarkan suasana ketika berlakunya hari yang meriah tersebut. 

Sebenarnya, saya tiba-tiba terasa untuk meng'edit' gambar-gambar ini untuk dijadikan kenangan masa lalu. Bukan sahaja untuk saya, malah untuk ahli keluarga yang lain juga. Ia juga boleh dijadikan kenanganuntuk tatapan anak dan cucu saya suatu ketika nanti...Insya-Allah...


Aidilfitri 2008




Aidilfitri 2009




Aidilfitri 2010

Sekian sahaja perkongsian saya di sini. Terima kasih kepada anda kerana sudi menjengok ke blog kami yang tidak seberapanya ini. Diharap sebarang komen boleh anda lontarkan kepada kami supaya kami boleh meningkatkan lagi mutu dan kualiti hasil foto yang kami siarkan di post-post yang telah, sedang dan akan disiarkan.


Ikhlas daripada

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
HM Production

Sunday, October 31, 2010

Kamera Oh Kamera...

Assalamualaikum sahabat sekalian.

Hari ini saya hendak berkongsi dengan anda tentang satu kamera yang tiba-tiba menarik minat saya untuk menerokainya lebih lanjut lagi. Kamera yang ingin saya tampilkan ini adalah keluaran terbaru iaitu kamera DSLR Nikon D3100


Apabila dilihat sahaja gambar yang telah ditunjukkan oleh kawan semasa bertugas tadi, terus saya jatuh cinta. Dengan maklumat yang diperolehi di internet, dapatlah digambarkan bahawa kamera ini sungguh sesuai untuk pencinta foto yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia fotografi ini. 


Spesifikasi Nikon D3100 :

  • sensor CMOS 14 MP (23.2 x 15.5 mm)
  • live View
  • Continuous AF pada video mode/live view
  • LCD 3 inci  (tidak boleh dilipat-putar/swivel)
  • ISO 100 – 3200, boleh sehingga 12800
  • flash sync 1/200 detik
  • 11 titik AF (multi CAM 1000)
  • Quiet Shutter Release Mode
  • usia shutter 100.000 kali
  • 420-pixel RGB 3D Color Matrix II metering sensor
  • HD Video 1920 x 1080p 24 fps dan 1280 x 720p 30 fps/24 fps
  • AVCHD video codec (H.264), HDMI out
  • EXPEED2 processor
  • pengguna boleh menyimpan picture profiles
  • video editing didalam kamera
  • burst 3 fps saja



Jadi dengan itu saya tampilkan gambar atau model kamera tersebut untuk tatapan semua. Ia mantap dan sungguh berbaloi...Hehe...Insya-Allah, saya akan cuba memilikinya untuk saya terus menjalankan bisnes fotografi bagi sesiapa yang berkehendakannya...(",)
























Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
HM Production

Wednesday, September 1, 2010

Santun Pekerti



Santun pekerti, itu lah perkara yang ingin aku hujahkan pada waktu ni. Hidup kita memang tidak lari dari melakukan sesuatu kesalahan yang kita mungkin akan sesali. Sesekali kita lihat di luar kaca jendela mata kita, anak-anak sunti berlari-larian, berkejar-kejaran sambil memakai baju yang rabak, koyak sana sini, bersama entah lelaki busuk mana yang hanya berselimutkan kain kotor yang dicelup dengan warna putih. Adakah perlakuan tersebut yang menunjukkan santun pekerti?

Sesekali kita membaca di dada-dada akhbar, hanyalah terpampang kes-kes penceraian yang kebanyakkannya tidak masuk akal. Sangat mendukacitakan sekiranya peceraian itu hanyalah disebabkan gosip-gosip murahan yang disiarkan pada majalah hiburan yang melalaikan dan menjahanamkan umat manusia. Adakah ini yang dinamakan santun pekerti?

Hari semakin hari, masa berganti masa, perubahan dunia yang terus menjangkau arus globalisasi ini terus mengubah umatnya yang semakin hari semakin lalai dibuai mimpi indah. Dengan kemudahan internet, teknologi dan sebagainya sepatutnya dapat mematangkan lagi pemikiran manusia. Namun demikian, manusia semakin leka dengan friendster, facebook, myspace, permainan PSP, Game boy, dan banyak lagi.

Maka, di sini lah kita dapat lihat santun pekerti yang sudah tertanam dalam masyarakat Melayu semakin luntur di telan arus kemajuan. Kita perlu sedar akan perubahan yang berlaku ini perlukan satu kata putus dan jalan penyelesaian yang memungkinkan kita berubah dari sesuatu yang tak elok dipandang, kepada yang lebih membawa kebaikan kepada kita, masyarakat agama dan negara. sekian...

Nukilan : Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran



Disediakan oleh

HM Production

Thursday, August 26, 2010

Keredhaan-Nya

Keredhaan-Nya

Foto sebenar telah diambil di kawasan berhampiran Genting Highland. Kami telah memilih foto ini dan menggabungkannya dengan tajuk 'Keredhaan-Nya' adalah kerana ia dilihat sangat bersesuian. Hal ini dapat dilihat daripada keluasan langit yang menggambarkan keluasan kekuasaan-Nya yang tidak terkira banyaknya. Semoga kita mengambil setiap iktibar daripada setiap kejadian di sekeliling kita. Insya-Allah...


 Ikhlas Daripada

HM Production

Terima Kasih Cikgu...

Terima Kasih Cikgu...

Foto yang dihasilkan adalah hasil dari imaginasi pengkarya sendiri. Sungguh mendalam dan sememangnya foto ini memberi makna yang sangat bermakna kepada pengkarya. Terima Kasih Cikgu...

Ikhlas Daripada

HM Production

Monday, August 23, 2010

Mencipta Masa Depan



Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk kawan-kawan semua...

Post kali ini agak 'skema' sedikit kerana lebih kepada perkongsian ilmu dan pendapat yang cuba saya sampaikan dan menjadi tatapan untuk anda semua.

'Mencipta Masa Depan' memang mudah terlintas maksud turutan perkataan tersebut di dalam minda kita. Namun adakah ia sama dengan pemikiran orang lain? Sudah tentu ianya berbeza dan sering bercanggah antara satu sama lain. Dalam pada itu sebenarnya telah wujud persamaan antara perbezaan pemikiran tadi. Walau bagaimanapun mungkin anda boleh bersetuju dengan saya sekiranya saya mengatakan maksud yang sebenar bagi perkataan-perkataan tersebut adalah dengan satu perkataan iaitu cita-cita.

Cita-cita membawa maksud harapan dan impian yang cuba direalitikan oleh setiap insan yang bergelar manusia pada masa hadapan. Ada bermacam cita-cita yang boleh kita impikan. Doktor, guru, arkitek, usahawan berjaya, kerani, dan banyak lagi pekerjaan yang boleh dikaitkan dengan cita-cita. Namun begitu, ada juga manusia yang bercita-cita sesuatu perkara yang negatif contohnya merompak, melepak, menganggur, menyemak tepi kaki lima, kutu rayau, berpoya-poya, raja judi, perogol dan sebagainya. Semua yang disenaraikan ini adalah berkaitan dengan cita-cita makhluk yang bergelar manusia.

Disebabkan cita-citalah yang telah mempengaruhi seseorang manusia itu belajar. Sebagai contoh, seseorang itu hendak menjadi seorang guru. Walau bagaimanapun, untuk menjadi seorang guru mesti memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Untuk memeliki ijazah sarjana muda pula mesti masuk ke universiti terlebih dahulu. Dan untuk masuk ke universiti, seseorang itu perlu menghabiskan pelajarannya di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Dan begitulah selanjutnya sehinggalah ke peringkat tadika lagi. 

Sememangnya ada turutan tersebut dalam meniti kehidupan. Namun, adakah turutan itu rasa 'kelazatannya'? Kelazatan di sini bermaksud sejauhmana kita berusaha menempuh hidup yang diimpikan itu. Sesungguhnya impian tidak semestinya tercapai. Namun ia tidak mustahil untuk dicapai. Hanya fikiran yang menentukan keberjayaan kita memperoleh apa yang kita inginkan pada masa depan. 

Di dalam liku-liku hidup ini, berusahalah mengikut landasan dan keperluan yang betul. Bukan sahaja kita memperoleh impian yang sekian lama kita simpan, kita juga akan memperoleh kenikmatan dan juga kebahagiaan didalam hidup ini. Namun, sebagai manusia sudah pasti ada yang membataskannya. Pastikan ia mengikut landasan syariat yang betul dan tidak menyeleweng supaya hidup bermasyarakat sentiasa dalam keadaan sembang dan harmoni senantiasa. Insya-ALLAH...

Sememangnya ada kekurangan di sini kerana saya cuma menggunakan pemikiran secara spontan dalam menghasilakan artikel ini. Sebenarnya, di sini saya cuma ingin berlatih dan belajar untuk memantapkan diri dari segi penghasilan artikel-artikel atau karya-karya dalam pelbagai bentuk termasuklah karya berbentuk ilmiah, umum, jenaka, kerohanian dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, sekiranya ada pendapat atau komen, boleh diajukan kepada saya dalam ruangan komen supaya saya boleh meningkatkan lagi skil dalam menghasilkan karya-karya bermutu.

Sekian.


Ikhlas daripada

HM Production

Thursday, August 19, 2010

Kelaka Di Saat Genting

Sekadar perkongsian dengan kawan-kawan. Cerita ni saya dapat dari satu laman sosial yang sangat popular zaman sekarang ni. Bila saya baca terus tergelak. HEHEHE... Tapi mungkin ini yang berlaku kat sekeliling kita... So, saya kongsikan di sini untuk anda... 
 



Ada satu famili. Satu hari sedang menantu lelaki tengok TV, bapa mertua lalu di depan. Tiba-tiba bapa mertua rebah sambil memegang dada. Apa lagi, kelam-kabutlah si menantu. Isterinya dan emak mertuanya pun menerkam ke arah bapa mertua sambil pegang-pegang dada bapa mertua.Bapa mertua tak bergerak, senyap saja. Bertambahlah gabra semua yang melihatnya. Emak mertua menyuruh menantu mengajar bapa mertua, yang di atas ribanya itu mengucap. Dia gabra, sampai isterinya pun tolak-tolak bahunya suruh cepat lakukan. Emak mertuanya ulangi lagi suruh dia ajar mengucap.Dalam gabra itu, si menantu pun dekatkan mulutnya ke telinga bapa mertua sambil berkata: "Ma Rabbuka! (Siapa Tuhan kamu!).." Kuat juga dia sebut, hingga terkejut emak mertua bila mendengarnya. Tiba-tiba bapa mertua tersedar dan terus berkata: "Bila masa kau jadi malaikat ni? Aku belum mati lagi la.."


Ikhlas daripada

HM Production

Sunday, August 8, 2010

Sedang Dikemas Kini

Gambar Hiasan

Salam sejahtera kepada anda semua. Semoga setiasa berada dalam keadaan sihat dan ceria.

Untuk pengetahuan anda, web page ini sedang dikemas kini dan masih didalam proses pembikinan lagi. Insya-ALLAH, ia akan siap tidak lama lagi. Al-maklumlah, kami masih dalam proses belajar untuk meningkatkan kemahiran dalam membina blog yang kreatif. Jadi, dengan itu, kami memohon maaflah sekiranya ada maklumat-maklumat yang tidak mencukupi dan kami akan segera menyelesaikannya dalam waktu terdekat ini.

Jika sudah siap nanti, segala maklumat dan informasi yang akan kami salurkan kepada anda tentang produk. tempahan, dan proses pembayaran serta segala-galanya tentang kami akan kami sentiasa UPDATE dari semasa ke semasa untuk menambah lagi sebarang informasi. Semuanya khas untuk anda.

Sekian dari kami,
HM Production

Assalamualaikum Dan Selamat Sejahtera

Salam Pembukaan dan Salam Perkenalan

Salam perkenalan, salam perpaduan, salam pendamaian dan juga salam 1 MALAYSIA kepada semua. Alhamdulillah, dengan berkat dan usaha kami akhirnya berjaya menyiapkan blog yang tak seberapa ini. 

Walau apapun, kami berdua tetap bersyukur. dengan adanya nikmat kemahiran yang kami miliki, kami gunakannya ke arah kebaikan dan akhirnya muncullah kumpulan yang kami gelarkan HM Production yang tubuhkan khas untuk memasarkan produk kami. Walaupun ianya produk yang 'simple' namun, kami tetap mahu mencuba dari bawah dan hanya menggunakan kemahiran dan kepandaian yang kami sedia ada miliki untuk terus meningkat dari satu tahap ke satu tahap yang lain supaya produk kami bertambah seri dan menarik buat anda. 

Semoga dengan 'web page' yang kami siapkan ini dapat membantu anda dalam memenuhi kehendak dan permintaan anda tatkala anda memerlukannya. Selamat maju jaya semua!!!

Sekian dari kami,
HM Production
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)