I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, May 26, 2012

ANEROXIA NERVOSA

ANEROXIA NERVOSA

Perkataan aneroxia nervosa sebenarnya berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu anerektos dan perkataan Latin iaitu nervosa yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk (Luvhanie, 2011). Ia bukan hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah ia juga berlaku kepada golongan lelaki. Nisbah antara perempuan dengan lelaki yang mengalami masalah aneroxia nervosa ini adalah 20:1 (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail, 2007). Walaupun tiada statistik khusus berkenaannya, namun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan wanita.

Sumber : Google.com
Merujuk kepada pendefinisian, masalah aneroxia nervosa tersebut merupakan masalah yang dihadapi seseorang individu yang mengalami fobia terhadap kegemukan dan keinginan untuk memiliki tubuh yang kurus yang melampau. Ia juga boleh dikatakan sebagai suatu keadaan seseorang yang sangat kurang mengambil makanan, tiada selera makan dan mengalami penurunan berat badan yang mendadak disebabkan keinginan kuat untuk menjadi kurus (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Ia juga sebenarnya merujuk kepada kecelaruan pola pemakanan seseorang individu itu sendiri di mana mereka lebih mengetatkan lagi jadual pemakanan mereka dengan alasan untuk kurus dengan lebih cepat.

Sumber : Google.com
Mereka yang menghidap masalah seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan mempunyai status ekonomi keluarga yang tinggi. Usia remaja merupakan suatu jangka masa yang kompleks terutamanya dari segi sosialisasinya kerana pada masa tersebut, mereka mempunyai semangat inkuiri yang kuat demi kepuasan peribadi terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Hal ini ditambah pula dengan kedudukan dan status keluarga yang tinggi di mana remaja perempuan akan cuba sedaya upaya memperlihatkan dirinya supaya menarik pada pandangan mata masyarakat. Jika mereka miliki tubuh yang gemuk dan gempal, pasti mereka akan beranggapan bahawa salah satu kesempurnaannya terjejas. Hal ini sekaligus akan menjatuhkan martabat mereka sekiranya sukar untuk mencari pasangan hidup sekiranya berkeadaan sedemikian. Demi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka akan cuba sedaya upaya untuk kurus termasuklah dengan menahan rasa lapar dan seterusnya melakukan pelbagai jenis senaman dengan lebih kerap.


FAKTOR ANEROXIA NERVOSA

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah aneroxia nervosa ini berlaku. Antaranya ialah berlakunya tekanan yang teruk seperti kematian, penceraian ibu bapa ataupun kelahiran adik dan bukan kerana takut gemuk (Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. 2007). Dalam konteks faktor ini, mereka sebenarnya bukan menganggap kegemukan sebagai sesuatu yang menakutkan, namun mereka menganggap menahan lapar itu adalah merupakan satu kepuasan kepada dirinya supaya mudah untuk melupakan tekanan yang berlaku ke atas dirinya.

Sumber : Google.com
.           Faktor lain yang menyebabkan masalah kecelaruan pemakanan ini adalah persepsi dan tekanan sosial. Di Malaysia kini dilihat persepsi masyarakat terhadap kecantikan itu adalah individu yang memilik tubuh yang kurus, bersih dan ramping. Hal ini sebenarnya bukan hanya berlaku pada masa kini. Namun ianya telah berlaku sejak zaman dahulu lagi di mana masyarakat Malaysia telah ditanamkan dengan persepsi tersebut secara turun-temurun. Dengan hal demikian, ia telah ditambah dan diperkuatkan lagi dengan perkembangan media yang seringkali memaparkan wanita seksi yang bertubuh kurus dan ramping sebagai model iklan demi menarik minat pembeli untuk membeli. Dengan ini secara tak langsung, persepsi tersebut telah menyebabkan individu terutamanya golongan wanita berusaha sedaya-upaya untuk kelihatan kurus supaya oaring disekelilingnya tidak memandang serong kepadanya.

Malah ianya bertambah kritikal lagi apabila wujud pula persepsi negatif terhadap mereka yang memiliki badan yang gempal atau gemuk. Persepsi tersebut sebenarnya telah menakut-nakutkan mereka terutamanya dalam soal perkahwinan di mana mereka yang memilik badan yang gemuk dan gempal akan sukar mendapat pasangan hidup kerana mempunyai tubuh luaran yang tidak menarik.

Selain faktor persepsi dan tekanan sosial, aneroxia nervosa juga berlaku disebabkan oleh masalah psikologi iaitu perasaan ketakutan untuk melihat diri menjadi dewasa (Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar, 2008). Umum mengetahui bahawa menjadi dewasa bukan sahaja berlaku peningkatan umur, malah juga perkembangan fizikal juga turut berubah. Perubahan ini seterusnya diikuti oleh pertambahan berat badan. Remaja yang menghidapi masalah aneroxia nervosa ini sebenarnya terdorong untuk menguruskan badan secara agresif apabila melihat kepada pertambahan berat badan mereka sedangkan ia adalah sifat normal manusia apabila berlakunya pertambahan tersebut dari semasa ke semasa apabila meniti usia dewasa. Keadaan inilah yang mengganggu psikologi mereka dan terdorong untuk merasa takut untuk memasuki alam dewasa.

Faktor pengabaian keluarga juga boleh menyebabkan masalah aneroxia nervosa. Kebanyakan keluarga yang terlibat dengan masalah ini adalah keluarga yang berstatus sosioekonominya yang tinggi. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tersebut terutamanya ibu dan bapa kurang mengawasi tingkahlaku anak-anak mereka. Malah ada antara mereka yang tidak mengambil berat terhadap perkembangan anak mereka kerana lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga. Akhirnya, anak-anak yang mengalami kemurungan dan kurang kasih sayang keluarga ini akan bertindak secara kurang bijak termasuklah dengan mengetatkan jadual makanan demi mencapai kepuasan peribadi sehingga menyebabkan mereka menghidapi masalah aneroxia nervosa.

Rujukan

Amaludin Abdul Rahman & Noralina Omar. 2008. Kaunseling Remaja : Tip Dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor          Sdn. Bhd.

Atmie Aisty. 2009. Aneroxia Nervosa. (atas talian) http://aizholic.blogspot.com/     2009/11/anorexia-nervosa.html [20 Mei 2012]

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. t. th. Punca dan    Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Luvhanie. 2011. Penyakit Wanita Yang Sering Dihadapi. (atas talian) http://intim.wordpress.        com/2011/12/ [22 Mei 2012]

Siti Norshafinaz Sheikh Maznan. 2008. Kebuluran Diri Penyakit Wanita Kini. (atas talian)             http://anizyn.blogspot.com/2008/01/kebuluran-diri-penyakit-wanita-kini.html#ixzz1vrkEBoyI [20 Mei 2012]


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)