I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, November 5, 2010

GAY DI MALAYSIA



PENGENALAN

Pengenalan

Proses globalisasi yang telah mempengaruhi dan mentransformasikan institusi ekonomi dan sosial negara telah banyak mengubah lanskap pembangunan negara Malaysia. Proses globalisasi yang menjadikan Malaysia sebuah negara membangun dan stabil ini telah membawa banyak pengaruh-pengaruh luar. Keadaan ini telah menimbulkan satu suasana yang menampilkan sikap individualisme, materialisme, dan juga budaya hedonisme yang sangat tinggi dalam masyarakat khususnya masyarakat di bandar-bandar besar. Hal ini semakin dibimbangi apabila wujudnya satu lagi gejala sosial yang tidak bermoral dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu homoseksual.

Hari ini, gejala tersebut begitu berleluasa dan bukan lagi tertumpu di negara sekular malah merebak ke seluruh negara Islam termasuklah Malaysia. Saiz komuniti homoseksual kini boleh dikatakan sebagai satu angkatan yang seakan tidak terhalang ledakannya (Utusan Malaysia 28 Februari 2010). Homoseksual merupakan satu lagi masalah sosial yang melanda nagara Malaysia pada hari ini. Masalah sosial ini sememangnya boleh dikatakan semakin serius dalam kalangan masyarakat tempatan. Hal ini dapat dilihat apabila individu-individu mengamalkan hubungan ini semakin tidak segan dan silu menonjolkan diri sebenar mereka terhadap khalayak umum. Tidak kira mereka berjantina lelaki ataupun perempuan, mereka sudah tidak mempedulikan lagi pandangan serong masyarakat.



FENOMENA DI MALAYSIA

Fenomena Di Malaysia

Pandangan serong masyarakat terhadap golongan gay di Malaysia semakin menebal. Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak cukup untuk mengatasi masalah tidak bermoral ini kerana jika kita lihat pada ketika ini, hubungan homoseksual dalam kalangan lelaki semakin diiktiraf oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini ditambah lagi dengan berleluasanya aktiviti-aktiviti terancang dengan adanya beberapa kelab dan pertubuhan yang menawarkan perkhidmatan kepada ahlinya (Mohamad Shatar Sabran 2003:134-135).

            Dengan adanya kemudahan internet di negara ini, mereka lebih bergerak ‘maju’. Bagi menggalakkan dan menyebarluaskan aktiviti yang dirancang oleh mereka yang tidak bermoral ini, laman-laman web telah diwujudkan bagi mendukung matlamat tersebut. Bukan itu sahaja, malah mereka juga mencuba untuk menyebarkan aktiviti tidak bermoral mereka di laman sosial seperti di Facebook, Twiter, Friendster dan sebagainya bagi mendapat sokongan dan penyertaan.

Dalam konteks negara Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam, hubungan homoseksual ini memang dipandang serong oleh masyarakat. Namun, ianya menjadi semakin parah apabila bilangan mereka semakin bertambah dan masyarakat semakin lali dengan perkara ini. Bukan itu sahaja, mereka juga sudah mula berani menonjolkan diri mereka sebagai seorang gay mahupun lesbian dengan berpimpin tangan berpelukan dan ada juga yang berciuman di khlayak ramai antara jantina yang sejenis, kebanyakan daripada mereka adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Hal ini amat membimbangkan seluruh masyarakat Islam di Malaysia khususnya kerana agama Islam mengharamkan hubungan sejenis ini dengan menyifatkan ianya lebih berat hukumannya berbanding dengan dosa seorang pembunuh. Dalam Islam itu sendiri telah menegaskan bahawa hukum fitrah kejadian manusia adalah berasal dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan hidup secara berpasangan.

Terdapat juga kes yang telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia dengan penangkapan seorang pengawal keselamatan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu yang didapati bersalah menyebarkan gambar tidak senonohnya melakukan hubungan seks sejenis di internet. Tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 233(1) (a) (i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Lebih memalukan apabila tertuduh yang sudah berumahtangga dan mempunyai enam orang anak itu telah menyebarkan aksi tersebut sejak tiga tahun lalu untuk mencari pelanggan. Persoalannya di sini, mengapakah masalah sosial ini kian melarat di negara Islam sepeti Malaysia? Adakah kelemahan penguatkuasaannya yang menjadi punca utama?




DEFINISI GAY

Definisi Gay

Secara umumnya, homoseksual merupakan hubungan seks yang dijalinkan antara seseorang dengan seseorang yang lain yang masing-masing mempunyai jantina yang sama. Menurut pakar Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Hatta Sidi menyatakan bahawa homoseksual adalah orientasi seksual yang membawa kepada perlakuan tingkah laku, hayalan, dan kecenderungan minat terhadap jantina sejenis (Utusan Malaysia 26 Januari 2001). Selain itu, terdapat juga pakar perubatan dari Indonesia, Dr. Sarlito Wirawan Sarwono mendefinisikan homoseksual sebagai hubungan seks antara dua orang yang mempunyai sama jenis alat kelaminnya.

            Homoseksual ini terbahagi kepada dua hubungan iaitu hubungan gay dan juga hubungan lesbian. Hubungan gay adalah merujuk kepada hubungan homoseksual yang dilakukan oleh mereka yang berjantina lelaki sahaja. Walaupun secara umumnya mereka yang mengamalkan hubungan tersebut adalah terdiri daripada lelaki dan mereka saling suka menyukai antara satu sama lain, terdapat juga segelintir daripada mereka yang turut menyukai gender yang lain iaitu perempuan. Hal ini telah terbukti apabila seorang lelaki yang sudah berumahtangga dan memiliki beberapa orang anak telah mengaku bahawa dia merupakan seorang gay dan sering melakukan hubungan jijik tersebut tanpa pengetahuan isteri dan anak-anaknya.

            Agama Islam telah mengharam dan mengutuk sekeras-kerasnya pengamalan hubungan sejenis ini sehinggakan tokoh dan ulama Islam seperti Sheikh al-Islam, Imam Malik dan juga Imam Syafie telah memutuskan bahawa agama Islam tidak membenarkan hubungan homoseksual ini dan menetapkan hukuman bunuh terhadap sesiapa yang mengamalkannya secara hukum hudud.
           


KATEGORI GAY

Kategori Gay

Gay mempunyai kategorinya yang tersendiri. Secara umumnya, hubungan gay boleh terbahagi kepada lima kategori. Kategori yang pertama adalah trade homosexual yang merujuk kepada golongan gay yang sudah berkahwin atau yang sudah bercerai. Dalam kategori ini kebanyakan daripada mereka berpendapatan rendah dan terdiri daripda individu yang bekerja dalam kumpulan bawahan seperti kerani, tukang cuci, pembantu rumah dan sebagainya. Golongan gay yang berada dalam kategori ini sebenarnya langsung tidak mempunyai rasa cinta dan sayang terhadap pasangan masing-masing. Mereka hanya ingin melampiaskan nafsunya semata-mata. Mereka juga sering bertukar pasangan kerana sudah menjadi lumrah lelaki kerana mempunyai keinginan seks yang begitu besar.

            Bagi kategori yang kedua pula, mereka terdiri daripada golongan yang belum berkahwin dan berpendapatan rendah. Hal ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan mereka yang tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik. Mereka juga boleh dianggap bermasalah dalam pembelajaran formal di sekolah dan cenderung melakukan salahlaku disiplin. Selain itu, mereka ini mempunyai perwatakan sebagai lelaki sejati yang memiliki tubuh yang sasa dan wajah yang tampan. Oleh hal yang demikian, mereka tidak menonjolkan identity mereka sebagai seorang yang homoseksual kepada masyarakat umum. Kategori ini dinamakan closet queen.

            Kategori yang seterusnya adalah ambisexuals. Kebanyakan daripada mereka daripada kategori ini adalah terdiri daripada golongan atasan yang mempunyai jawatan yang tinggi dan berpendapatan sederhana dan ke atas. Bagi kategori ini, mereka keinginan mereka untuk melakukan seks adalah tidak terbatas. Mereka tidak mengira jantina pasangan seksualnya kerana mereka hanya mementingkan kepuasan seks sahaja.

            Kategori yang keempat pula ialah gay guys. Mereka yang berada dalam kategori ini lebih suka menonjolkan dirinya sebagai seorang pengamal homoseksual kepada umum. Kewujudan kelompok bagi kategori ini boleh dikesan melalui tingkah lakunya yang seakan-akan perempuan. Sebagai contoh, ia dapat dilihat melalui percakapan, jelingan dan juga pakaiannya yang seakan-akan perempuan. Mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan tinggi dan juga pada kebiasaannya mereka berstatus bujang. Bagi kategori ini, ia telah banyak berlaku dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta.

            Kategori yang terakhir bagi hubungan gay yang dapat kita lihat pada hari ini adalah situational homosexuals. Kategori ini merujuk kepada golongan gay yang ‘terpaksa’ menjadi pengamal homoseksual kerana atas faktor-faktor tertentu. Sebagai contoh dalam faktor kemiskinan, seseorang itu terpaksa mencari jalan mudah bagi memperoleh sumberpendapatan tidak kira melalui jalan betul mahupun salah. Dalam kontek gay ini, mereka menjadi gay kerana terdesak dan ingin memperoleh wang dengan cepat. Selain faktor ekonomi, faktor persekitaran juga mempengaruhi di mana seseorang yang bersekolah di asrama penuh yang mempunyai satu gender sahaja akan terdorong untuk melakukannya sekiranya didesak ataupun dipengaruhi oleh rakan sebaya (Mohamad Shatar Sabran 2003:133-134).




HURAIAN SOSIOLOGIKAL

Huraian Sosiologikal

Fenomena gay yang semakin berleluasa pada hari ini sememangnya membimbangkan. Penularan masalah ini adalah akibat beberapa faktor. Salah satu faktor penularan gejala ini boleh dilihat dari aspek hubungan sosial. Dalam hal gay ini, seorang lelaki akan terdorong untuk menaruh harapan dan mula memutik rasa sayang apabila merasakan dirinya sering diberi perhatian oleh kaum sejenis. Selain itu, hubungan sosial juga melibatkan pergaulan bebas dengan mereka yang bergelar homoseksual. Keadaan ini sedikit sebanyak dapat mempengaruhi sesiapa sahaja untuk terjebak ke dalam kancah gay.

            Selain hubungan sosial, faktor kecelaruan gender juga merupakan penyebab masalah penularan gejala gay ini. Kecelaruan gender merujuk kepada identiti yang tidak jelas yang dihadapi oleh segelintir masyarakat sahaja. Akibat daripada kekeliruan tersebut, mereka dengan mudah memilih untuk menampilkan diri dengan identiti jantina sebaliknya. Masyarakat yang tidak memahami faktor masalah sebegini akan membuatkan mereka lebih terdorong kearah perlakuan tersebut sebagai jalan hidup mereka.

            Secara psikologikal, seseorang lelaki akan terdorong untuk melibatkan diri dalam masalah tersebut sekiranya ada elemen-elemen lain yang boleh mempengaruhinya. Faktor psikologi ini juga melibatkan interaksi keluarga, pengalaman seksual, dan peniruan kepada  watak dan perwatakan jantina yang berlawanan. Jika kita lihat melalui interaksi keluarga contohnya, sesebuah keluarga yang mempunyai anak perempuan yang ramai dan juga seorang sahaja anak lelaki sebenarnya lebih cenderung untuk terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini. Hal ini kerana berkemungkinan besar ibu bapa yang memiliki situasi tersebut akan cenderung melayan semua anak-anaknya secara majoriti iaitu keperempuanan. Keadaan ini yang dilakukan sejak dari kecil akhirnya akan terbawa-bawa apabila dewasa (Mohamad Shatar Sabran 2003:134-135).


 Hasil Nukilan

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
HM Production
Ahli AnSos
(Antropologi Dan Sosiologi)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)