I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, October 23, 2011

Tercalar Politik Itu




Saat ia bermula gema,
Cukup ramai yang terpaku,
Cukup sudah kepedihan itu,
Semakin mendalam ia bersatu,

Bendera gemilang berkibar megah,
Pabila bendera palang dicegah,
Bermula saat dan detik itu,
Bersatu kembali bersatu,

Kini bermula kembali,
Bendera gemilang berkibar megah,
Namun kosong tiada berisi,
Hanya tercalar koyak habis sudah,

Bertelingkah sini sana,
Diri sunyi tiada pegangan,
Pro dan kontra kembali bertekak,
Menjual janji-janji kosong,
Muda dan mudi di atas pagar hanya bergayut,
Menanti ulat hidup di dalam batu,

Di saat itu,
Tiada lagi semangat yang padu,
Patriotik itu mula tercalar,
Dan terus tercalar…

(created : 06 Februari 2011)


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, October 13, 2011

Rindu Seorang Pelajar



Termangu aku kesepian,
Menanti apa dibenak fikiran,
Akhirnya kenangan itu berlalu,
Memberi kesan mendalam terhadap diriku,

Bermula saat itu,
Manusia bergelar cikgu ku temui jua,
Bukan untuk meraih simpati,
Tapi untuk ilmu berguna nanti,

Rakan teman dan taulan,
Cuba menemani segenap lapis hati ini,
Bergurau senda,
Berduka kecewa,
Namun kita tetap bersama,
Meniti ranjau di bumi sekolah,

Pelajaran ku tidak terbatas,
Akademik menjadi ukuran,
Namun jiwa meronta inginkan teman,
Teman sejati dalam diri,
Ku ungkap berlagu sepi,
Akhirnya cinta menjadi realiti,

Memang indah di zaman itu,
Belajar,
Berkawan,
Bercinta,
Menjadi asam garam hidup ku,
Kadang pahit untuk ditelan,
Kerana mungkin tidak berkekalan,

Kini semua hanya tinggal kenangan,
Kenangan yang cukup mengusik jiwa,
Matlamat diri harus diutama,
Harapan ibu bapa segunung tingginya,
Membekal diriku di puncak sana,

Oh, aku sungguh merindui,
Merindui kenangan itu,
Yang kian menghantui jiwa dan hati ini.

(created : 06 Februari 2011)


Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi Dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

IMPIAN HIDUP SAYA



Assalamualaikum sahabat, kawan, teman dan taulan sekalian. Gambaran di atas sudah cukup untuk menerangkan tentang apa yang dimaksudkan dengan perkataan "IMPIAN". Impian boleh ditafsirkan sebagai keinginan manusia untuk memuaskan kehidupan. Sebagai contoh, gambaran di atas sebenarnya adalah impian saya sendiri. Saya ada keinginan yang besar yang mungkin sekarang di luar batasan kemampuan saya. Namun ianya tidak mustahil sekiranya saya bergerak seiring dengan "matlamat" saya iaitu untuk mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat (Insya-ALLAH).

Dari pandangan kasar, manusia pada hari ini sememangnya mempunyai satu keinginan yang besar yang sebenarnya di luar kemampuan mereka sendiri. Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada akhbar menjadikan isu "41 Muflis Setiap Hari" sebagai tajuk utama akhbar berkenaan. Kajian menunjukkan bahawa golongan muda masa kini sememangnya mempunyai keinginan dan kehendak yang tinggi sedangkan mereka tidak mempunyai kemampuan. Gemar bergaya. Itulah kunci hidup kebanyakan mereka (mungkin termasuk saya). Walau bagaimanapun istilah "Biar papa asal bergaya" sebenarnya sedikit sebanyak mendorong budaya tersebut. Biarlah kita guna fikiran yang waras dahulu. Tukarkan istilah tersebut kepada "Biar KAYA dulu, Barulah BERGAYA". Kan lebih MANTOP bunyinya.

Dalam kehidupan saya sendiri, matlamat adalah arah tuju hidup kita. Ibarat jalan yang terbentang luas tetapi kita hanya ikut arah yang ditunjukkan sahaja nescaya kita pasti tidak aan tersesat. Ibarat satu kata-kata hikmat yang pernah saya baca melalui salah satu majalah keagamaan, "Jika sesat dihujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar, namun pelbagai masalah menghalang, janganlah berpatah balik, teruskan perjalanan!" Kata-kata tersebut sudah cuup membuatkan saya sedar akan pentingnya satu matlamat kehidupan. Seperti saya, matlamat saya adalah untuk mendapat KEJAYAAN DI DUNIA DAN DI AKHIRAT. Ia bertepatan dengan impian saya yang telah saya gambar dan senaraikan seperti di atas. 

Semoga ALLAH S.WT. memberkati segala usaha yang saya lakukan untuk mencapai impian dan matlamat saya dan tidak memesongkan hatiku ini yang mudah terpesong dari menurut jalan-MU....

Subhanallah...

Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, October 11, 2011

Kasih Sayang




Kasih sayang,
Lahir dari hati yang ikhlas,
Lahir dari jiwa yang tulus,

Membuat hati jadi suci,
Tanpanya insan mati,
Mati tidak berjiwa,
Tanpa sifat insani,




Jiwa-jiwa terhubung dengannya,
Tidak mampu diungkap dengan kata-kata,
Jika dipintal indah,
Indahlah rupa seluruhnya,
Jika dipunah luka,
Rosak binasalah ia,

Kasih sayang,
Mencipta keindahan,
Hilang kebencian,
Hapus kemusnahan,
Naluri hebat kan bersemi selamanya,
Terus di dalam hati makhluk,
Makhluk yang bergelar manusia.




Disedakan oleh :

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, October 10, 2011

Teknologi Dan Inovasi





Teknologi merupakan suatu kaedah yang memudahkan manusia untuk mencapai kehendak dan keperluan. Dalam konteks masyarakat hari ini, teknologi dilihat lebih cenderung kepada penciptaan peralatan canggih yang sifatnya lebih memudahkan manusia untuk hidup. Sebagai contoh penciptaan teknologi maklumat atau internet yang semakin berkembang pesat dan telah menjadikan zaman kini sebagai zaman dunia tanpa batasan dan sempadan. Walau bagaimanapun teknologi dan inovasi yang tercipta ini bukan sahaja mendatangkan banyak kebaikan, tetapi juga boleh menjejaskan akhlak dan sahsiah pelajar-pelajar khususnya dan pada pengguna amnya. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan teknologi dan inovasi tidak menjejaskan disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar khasnya dan para pengguna amnya


Bermula dari rumah, pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah perlu dititikberatkan. Dalam menggunakan sebarang teknologi termasuklah telefon bimbit, televisyen, internet, gadjet, permainan video, mp3, mp4 dan sebagainya oleh kanak-kanak atau remaja sememangnya memerlukan pengawasan yang konsisten oleh ibu bapa. Hal ini disebabkan oleh minda kanak-kanak atau remaja lebih cenderung untuk dipengaruhi dan mudah dikuasai oleh sesuatu yang mereka minati. Sebagai contoh, kanak-kanak yang obses dengan permainan video akan lebih cenderung untuk meniru watak yang terdapat di dalam permainan tersebut yang kadangkala memakai pakaian tidak senonoh.


Ibu bapa juga merupakan individu-individu pertama yang mencorakkan anak-anak. Anak-anak pada kebiasaannya akan menjadikan ibu bapa mereka sebagai rol model mereka. Apa yang dilihat, sudah pasti sedikit sebanyak perbuatan ibu dan bapa mereka itu akan cuba ditiru oleh anak-anak. Hal ini juga berlaku dalam penggunaan teknologi dan inovasi masa kini. Oleh itu, ibu bapa perlu menjaga tingkah laku selain memainkan peranan yang sepatutnya tidak kira apa jua kaedah dan caranya bagi memastikan penggunaan teknologi maklumat atau internet sentiasa dalam landasan yang betul dan terpelihara serta tidak menjejaskan akhlak dan sahsiah anak-anak.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga bertanggungjawab dalam menerapkan didikan agama dan moral dalam kalangan anak-anak bagi memastikan kerohanian mereka kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang aktiviti negatif dan tidak sihat menerusi penggunaan teknologi dan inovasi masa kini yang semakin berkembang. Didikan agama dan moral sebenarnya mampu memberikan peringatan dan kesedaran di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri dan sanubari bukan sahaja anak-anak, tetapi juga ibu bapa. Jika rohani mereka kuat, maka daya tahan mereka akan turut kukuh dan tidak mudah runtuh dengan mudah.

Selain itu, sebagai ibu bapa kedua kepada anak-anak di sekolah, guru juga memainkan peranan penting bagi memastikan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar lebih berkesan. Sebagai contoh, selain daripada memantau dan mengawasi pelajar semasa menggunakan teknologi komputer contohnya, guru juga perlu sentiasa memberikan nasihat dan peringatan berkenaan teknik atau kaedah yang betul semasa menggunakannya. Hal ini bukan sahaja mampu memastikan para pelajar mendapat didikan secara formal dengan lebih berkesan, malah mereka juga mendapat didikan tidak formal terutamanya mengenai tatatertib dan nilai-nilai murni yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.




Dalam konteks masyarakat pula, organisasi kepimpinan komuniti setempat yang sentiasa menjadi tunjang kestabilan sosial perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk memastikan teknologi dan inovasi ini tidak disalahgunakan yang mengakibatkan disiplin, akhlak serta sahsiah para pelajar dan  pengguna aan terjejas. Pelancaran kempen dan program-program yang berbentuk ilmiah dan pembinaan jatidiri seperti program kerohanian, motivasi, kursus kepimpinan, pameran kesedaran dan sebagainya perlu dilaksanakan. Hal ini sedikit sebanyak dapat mempertingkatkan jatidiri, kerohanian dan sahsiah di samping menerapkan kesedaran tentang bahaya salah guna teknologi masa kini. Pihak yang terlibat  juga boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan serta media massa untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan program-program tersebut supaya penyampaiannya lebih berkesan.

Bagi pihak kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, pengawasan terhadap sebarang bentuk teknologi dan inovasi di negara ini perlu diperketat lagi. Dalam hal ini, keutamaan perlu diberikan kepada penggunaan internet. Penggunaan internet tanpa pengawalan oleh pihak kerajaan dibimbangi akan mengakibatkan minda dan perlakuan masyarakat akan diracuni dengan perkara negatif dan juga budaya hedonisme global yang boleh menjejaskan kestabilan sosial negara. Hal ini kerana, dengan kuasa teknologi internet yang ada masa kini, segala budaya global secara tidak langsung boleh disebarkan tanpa batasan  ke serata dunia.




Disediakan oleh,

Mohd Nur Syufaat
Antropologi Dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)