I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, June 8, 2011

Warga Emas

SEKILAS PANDANG





Secara umumnya, warga emas merupakan satu golongan yang sudah mencapai usia lanjut iaitu usia dalam lingkungan 60 tahun dan ke atas. Hal ini merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu menerusi laman webnya (di sini) bertarikh 8 Jun 2011 menyatakan bahawa warga emas boleh didefinisikan sebagai seseorang individu yang sudah mencecah usia 60 tahun dan ke atas. Takrifan ini juga adalah berpandukan definisi yang telah dikeluarkan pada "World Assembly On Ageing 1982" di Vienna.




Di dalam laman web JKM Negeri Terengganu juga ada menyatakan tentang akta-akta yang berkaitan dengan warga emas yang telah digarisi dalam perlembagaan berkenaan dengan kebajikan masyarakat. Antara akta tersebut ialah Akta Orang Papa (Akta 183) dan juga Akta Pusat Jagaan. Selain itu, Jabatan Kebajikan Malaysia juga telah mewujudkan Dasar Warga Tua Negara dan Pelan Tindakan Warga Tua Negara bagi menjaga kebajikan warga emas di negara ini.



Di dalam laman web JKM Negeri Kelantan (di sini)  bertarikh 8 Jun 2011 juga ada menyatakan tentang skim bantuan yang diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Skim tersebut adalah Bantuan Orang Tua (BOT) yang boleh dimohon terus di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah di mana pemohon tinggal. BOT diwujudkan adalah bertujuan untuk memberi sedikit saraan hidup sebanyak RM300 sebulan bagi warga emas yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti.



Disediakan oleh :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, June 5, 2011

Tutuplah Aurat Kamu!

Wanita merupakan makhluk yang sangat istimewa. Dikurniakan kecantikan serta keindahan yang tersendiri dan ianya berbeza sama sekali antara satu sama lain. Keanggunan wanita juga boleh terserlah dari pelbagai aspek termasuklah dari aspek pakaian, pandangan mata, gaya dan lenggang-lenggok serta keayuan wajah. Walau bagaimanapun, dalam agama Islam khususnya, keanggunan atau keseksian tersebut sebenarnya merupakan persoalan peribadi yang tidak boleh dikongsi kepada orang lain.




Persoalan peribadi ini menyentuh soal sensitiviti yang melibatkan maruah seseorang individu. Di sini kita dapat lihat dalam masyarakat Melayu itu sendiri, sekiranya seseorang itu mempertonton keanggunan atau keseksiannya walaupun sedikit, sudah pasti individu yang melakukannya itu akan dicemuh dan dipandang serong oleh masyarakat. Hal ini kerana dalam masyarakat Melayu itu juga terkenal dengan adat dan tatasusila yang sememangnya dititikberatkan termasuklah dalam soal pemakaian.


Dalam dunia hiburan pada masa kini sudah tidak asing lagi dengan pemakaian artis yang semakin seksi dan semakin berani menayangkan alur-alur tubuh mereka seolah-olah perasaan malu mereka 'terpaksa' dibuang jauh-jauh untuk mendapatkan publisiti popular dunia hiburan. Wal hal mereka sebenarnya sedar bahawa kesan dan tindakan mereka dalam pemakaian mereka itu akan mengundang kesan buruk kepada diri sendiri.



Dalam perkara ini, bukan cemuhan yang ingin difokuskan, tetapi pandangan masyarakat yang melihat dan menilai budaya barat tersebut. Negara Malaysia diakui merupakan salah sebuah negara yang membangun dan semakin kearah kemajuan dari segala aspek termasuklah aspek kehidupan sosial. Namun, jika kita lihat hari ini, sebagai salah sebuah negara Islam, adakah ianya dibenarkan berpakaian seksi dan menjolok mata? Adakah artis di Malaysia yang gemar berpakaian seksi ini tidak menjadi tontonan masyarakat lebih-lebih lagi golongan bawah umur? Di sinilah kita sukar untuk mentafsirkannya.

Jika hendak menyelesaikan sesuatu masalah, kita perlu menyelesaikan masalah tersebut bermula dari akar umbinya terlebih dahulu kerana setiap masalah pasti ada puncanya dan ianya pasti dapat diselesaikan dengan satu jalan.


Sebenarnya, bukanlah golongan artis yang ingin dipersalahkan, tetapi jika ianya perlu dibendung bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti jenayah rogol, cabul dan sebagainya, ianya memerlukan kersama yang erat oleh semua pihak masyarakat tidak kira usia dan golongan, badan kerajaan mahupun bukan, institusi pendidikan serta pihak yang berwajib dan ianya perlukan kerjasama yang mantap dan bukanlah sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja. Insya-ALLAH, perkara buruk yang kita tidak ingini dapat dibendung dan masyarakat pula akan dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Disediakan oleh

Mohd Nur Syufaat
Antropologi dan Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Friday, June 3, 2011

Esok Menanti Pasti

Secara lumrahnya, manusia diciptakan saling berbeza antara satu sama lain. Perbezaan yng ketara dapat dilihat dari aspek jantinanya, perlakuannya, perangainya, umurnya dan sebagainya yang telah menjadikan dunia sebagai satu alam yang cukup indah dengan warna-warni kehidupan. Perbezaan ini juga meliputi aspek matlamat seseorang individu di dalam kehidupannya. 




Matlamat merupakan satu aspek yang cukup sinonim dengan angan-angan. Hal ini bermaksud, matlamat bermula daripada bayangan yang cuba ditonjolkan oleh seseorang individu bagi menggambarkan keinginannya dalam melengkapkan kehidupan sehariannya sebagai seorang manusia. 

Sesungguhnya di dalam Surah al-Asr ayat 1 dan 2 yang menyebut, 'Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian'. Dalam ayat tersebut, Allah menyatakan bahawa, manusia sentiasa berada dalam kerugian iaitu berada dalam kekurangan dan sentiasa berkeinginan dan berkehendak. Dalam hal ini, manusia digambarkan sebagai makhluk yang sentiasa berangan bagi membayangkan kehendak dan keinginannya. Dan pembayangan tersebut akhirnya telah melahirkan matlamat dan disertakan dengan langkah atau strategi yang terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.





Seringkali kita dengar pakar motivasi ada menyatakan bahawa, untuk menjadi insan yang cemerlang, manusia perlu menggunakan akal dan sentiasa berfikiran positif dalam setiap langkahnya menuju matlamat hidup. Kita perlu bersikap positif kerana setiap yang berlaku itu sebenarnya ada hikmah yang tersebunyi walaupun ianya kadangkala menyakitkan, menyedihkan dan menggeramkan hati individu lain dalam sesebuah masyarakat. Seseorang yang sentiasa berburuk sangka selalunya akan dijauhi, dipinggirkan oleh masyarakat dan juga idea yang berada di dalam kotak fikirannya juga tidak mampu untuk dikeluarkan menjadi satu idea yang bernas.

Matlamat sebenarnya boleh diubah mengikut perkembangan semasa dunia masa kini yang semakin pesat membangun. Jika 10 tahun dahulu seseorang itu teringin membeli sebuah kereta proton wira, tetapi kini mungkin keinginanannya untuk memiliki sebuah kereta wira tidak terlaksana kerana telah banyak keluaran kereta yang pelbagai jenis dan sudah pasti kereta yang dikeluarkan terkini itu lebih baik dari yang sebelumnya.

Jadi, dapatlah diterangkan di sini bahawa keinginan manusia itu seringkali berubah-ubah setiap hari. Walaupun kadangkala manusia merasakan itu sahajalah keinginan yang ingin dicapai, satu hari nanti pasti akan berubah jua. Kadangkala perubahan itu tidak mengambil masa yang lama. Mungkin hari esok, atau mungkin setiap jam yang seterusnya.

Justeru, seseorang manusia yang hebat dan mantap adalah seseorang yang menghalakan matlamat dan keinginannya pada satu jalan yang lurus. dalam erti kata lain, individu tersebut memfokuskan terhadap matlamat yang ingin dicapainya pada masa hadapan. Kita sebagai manusia tidak perlu menjadi sebagai salah seorang manusia yang gelojoh dan tidak terurus. Keadaan seperti itulah yang akan memusnahkan hidup diri sendiri kelak. Ingatlah, hari esok pasti akan hadir dan mungkin disaat itulah, keinginan dan matlamat hidup kita akan berubah.

Sekian.


Disediakan oleh :
Mohd Nur Syufaat
Antropologi & Sosiologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)