I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, February 14, 2013

Pengurusan Masa


"Masa itu emas!". Ayat tersebut sudah selalu kedengaran di mana-mana sahaja seakan-akan manusia sudah lali dengannya. Apa tidaknya, di media sosial (Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya) telah dikongsikan atau didedahkan bukan sahaja dengan ayat itu, namun ayat-ayat hikmah yang lain juga. Walau bagaimanapun, di sini penulis ingin tekankan berkenaan dengan masa kerana masa yang berlalu takkan berulang (macam lirik lagu pula).

Penggunaan masa yang bijak dalam kehidupan seharian mampu memberikan satu impak yang cukup besar. Sebagai contoh, seorang anak perantauan yang tidak mahu mengangkat telefon ibunya walaupun hanya sekejap telah menyebabkan satu penyesalan seumur hidupnya kerana panggilan tersebut merupakan panggilan terakhir ibunya yang ingin memberitahu bahawa dirinya sedang menanti malaikat maut untk dicabut nyawanya. Adakah perkara ini perlu dibiarkan? Kisah lain yang ingin saya bawakan adalah tentang seseorang yang hanya sesaat sahaja melanggar lampu merah (tandanya berhenti). Namun kecelakaan telah menimpa dan akhirnya maut bertemu.

Benar, masa sangat penting dan ia takkan kembali berulang. Di dalam dunia perfileman yang kadang-kala tidak masuk akal juga telah cuba menonjolkan idea untuk membina mesin masa. Ingat! Kita hanya hamba Allah dan keupayaan kita terhad! Jangan sesekali mengubah ciptaan Allah Taala kerana ia akan mendatangkan kerosakan yang nyata.


Bagi pelajar yang sedang menuntut di mana-mana institusi pendidikan, mereka sebenarnya mempunyai pembahagian waktu yang cukup kompleks. Mereka perlu membahagikan masa antara pelajaran yang pelbagai subjeknya, latihan demi latihan, persediaan peperiksaan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya. Belum cukup dengan itu, ditambahnya pula dengan aktiviti luar bilik darjah (ko-kurikulum). Begitulah kompleksnya pembahagian masa mereka.

Bagaimanapun golongan pekerja juga tidak kurang hebatnya. Pembahagian masa yang mereka miliki bukan hanya pada pekerjaan, namun juga kepada diri, ibu dan bapanya, keluarganya dan juga keluarga mertua (sekiranya sudah berkahwin). Kita sendiri dapat lihat apabila awal bulan di mana begitu ramai yang beratur di kaunter-kaunter pembayaran dan tidak lupa juga kaunter kemasukan dan pengeluaran terutamanya di bank. Itu sememangnya kita tidak dapat sangkal lagi.

Justeru, dengan kata yang mudah, pengurusan masa itu amat penting kerana ia sangat bernilai harganya. Bukan wang ringgit menjadi taruhannya. Namun taruhannya adalah sejauhmana anda semua dapat menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Susun setiap aktiviti terutamanya pada setiap awal bulan. Langkah tersebut dijangka mampu memberi gambaran kepada anda akan segala aktiviti yang akan berlangsung pada bulan tersebut. Kepada pengguna telefon pintar dan telefon yang ada aplikasi kalender, boleh terus atur jadual anda kerana ia dapat memberikan peringatan kepada anda setiap kali sampai pada waktunya.

Sekian, sedikit perkongsian dari penulis khas untuk anda.



Ikhlas daripada :

Mohd Nur Syufaat Bin Jamiran
SM. Sn. Sos.,  Master student
Sains Pengurusan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklaneka...(",)